Saturday, 20 June 2009

PETRONAS

Sumber berita: sini

"Barangkali ada orang lain lebih cekap daripada Hassan Merican...boleh dapat untung lebih besar kot, mana kita tahu" - komen oleh Tun Mahathir berkenaan khabar angin (jika benar) oleh pihak tertentu untuk menggantikan Hassan sebagai pengerusi Petronas, sama ada ianya sesuatu tindakan yang betul, atau sebaliknya.

Kebanggaan kita

Petronas diasaskan pada 17 Ogos 1974 (kini berusia 35 tahun), dengan milikan penuh oleh Kerajaan Malaysia. Entiti gergasi ini menerusi namanya sudah kita ketahui bentuk perniagaan terasnya - aktif di dalam kerja-kerja carigali, pemprosesan dan pemasaran produk berasaskan petroleum, gas asli, produk petrokimia dan perkapalan.

Pencapaian cemerlang Petronas turut mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan tersenarai ke dalam ranking Fortune Global 500's entiti korporat di dunia (sumber).

Pada 2008, Fortune telah menyenaraikan Petronas di tangga ke-95 syarikat terbesar di dunia, ke-8 syarikat paling untung di dunia dan paling mencatat untung di Asia (sumber).

Selain bertapak kukuh di Malaysia dan mencipta kegemilangan di benua Asia, Petronas tanpa menoleh ke belakang terus mengembangkan sayap operasi dan pelaburannya (gas dan minyak) ke 31 buah negara (sumber).

Rajah: sumber

Untuk menghuraikan satu-persatu kejayaan Petronas adalah begitu banyak, cukuplah saya menyimpulkan bahawa Petronas bukan entiti yang main-main buat business. Justeru, kegemilangan dan momentum kejayaan syarikat multinasional ini semestinya perlu dipertahan dan dipertingkat setiap masa melalui urustadbir korporat yang mantap dan mapan.

Dengar kata...

Saya terpanggil untuk melontarkan pandangan setelah akhbar arus perdana hari ini melaporkan komen oleh Penasihat Petronas, Tun Dr. Mahathir berkenaan khabar angin yang sedang bertiup kencang di dunia korporat sekarang ini - adakah Tan Sri Hassan Merican bakal diganti oleh orang lain? - lihat dan baca sumber di awal posting.

Beliau menafikan tahu berkenaan khabar angin ini, memandangkan hal berkaitan lantikan CEO ini adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, D.S. Najib Tun Razak.

Akhbar tersebut juga menyebut bahawa individu yang "berkemungkinan" atau disebut-sebut bakal menggantikan Hassan sebagai CEO ialah T.S. Syed Hamid Albar, bekas Menteri Dalam Negeri.

Artikel yang sama juga turut menyebut, bekas pegawai khas PM semasa menjadi TPM, Omar Mustapha Ong, juga dikhabarkan bakal dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas.

Namun, setelah Tun M sendiri membuat penafian terhadap kebenaran khabar angin ini, seluruh perhatian kini terarah kepada usaha mendapatkan respon PM di dalam jangka waktu terdekat ini.

Fahamilah

Saya membaca komen ringkas oleh Tun itu sebagai membawa maksud yang tersirat a.k.a "baik korang yang membuat keputusan itu, fikir habis-habis".

Mungkin juga saya ini jenis yang suka fikir yang bukan-bukan atau merapu tak sudah.

Apapun, silalah fahami dan selami maksud kata Tun dan nilaikan pencapaian Hassan Merican sepanjang menjawat CEO Petronas. Apakah Petronas kini berdepan dengan masalah yang besar dari segi urustadbir korporatnya sehingga kedudukan Hassan cuba "digugat" dengan khabar angin yang kurang enak didengar ini?

Orang politik di dalam dunia korporat

Hassan Merican bukan orang politik. Namun, beliau adalah seorang Islam dan anak Melayu yang sangat patriotik, sayangkan "harta negara" ini (sebagaimana staf Petronas yang lainnya juga), kuat bekerja dan berani membawa Petronas meneroka peluang perniagaan yang lebih besar di luar sana.

Mungkin semangat Patriotik beliau sendiri saya lihat jauh mengalahkan pekikan dan laungan semangat ke-Melayuan kebanyakan orang politik @ pemimpin UMNO sendiri.

Dengan reputasi, pengalaman dan kedudukan beliau sebagai "orang lama" di dalam urustadbir Petronas, adalah tidak mustahil untuk beliau mendapat tawaran amat lumayan jika memilih untuk menabur bakti di mana-mana sahaja syarikat multinasional di dunia ini.

Dengan gaya pengurusan korporat yang baik oleh pasukan beliau juga, Petronas begitu banyak "menyelamatkan" Kerajaan Persekutuan pimpinan BN di kala kemelesetan ekonomi global.

Tidak terhitung berapa berbillion ringgit sudah wang cukai Petronas disuntik bagi menggerakkan projek-projek mega, selain disalur bagi memenuhi sasaran penyediaan projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di setiap Rancangan Malaysia (RM) 5 tahun.

Bayangkan jika tiada Petronas, apakah cukup untuk Malaysia menyediakan dana bagi menjayakan projek-projek pembangunannya? Mungkin cukup jika bilangan Kasino seperti di Genting Highlands dibina di setiap negeri - ini sindiran saya saja!

Justeru, sumbangan berterusan Petronas kepada kantung kewangan Kerajaan Persekutuan di bawah BN bukan suatu perkara yang main-main.

Begitu jugalah halnya jika ingin menukar CEO Petronas, bukan perkara main-main kerana ia melibatkan perjudian masa depan negara dan rakyat keseluruhannya.

Meletakkan orang politik untuk mengtadbir organisasi korporat pada pandangan peribadi saya, perlu dinilai secara serius oleh pihak yang terlibat. Jujurnya, adalah lebih mudah jika orang politik memainkan peranan mereka dalam pentadbiran kerajaan, dan biarkan orang korporat memainkan peranan mereka di sektor korporat yang turut menyumbang keuntungan (wang) kepada pentadbiran kerajaan.

Bukan juga saya ingin menidakkan kebolehan orang politik. Ada yang boleh berpolitik dan mengurustadbir badan korporat. Namun di syarikat multinasional seperti Petronas, "action speaks louder than words".

Key Performance Indicators - Indeks penunjuk prestasi (KPI), bukan diukur melalui sukatan air liur dan "kesibukan berpolitik", tetapi berapa billion untung yang mampu dijana syarikat.

Orang korporat dalam dunia politik

Namun, hal yang sebaliknya pula boleh berlaku. Jika saya kurang bersetuju dengan idea meletakkan orang politik bagi mentadbir badan korporat, saya tidak membantah jika orang korporat diambil untuk melakukan tugas orang politik (mentadbir negeri).

Contoh terkini bagi membuktikan kemampuan orang korporat menjalankan kerja orang politik seperti mengepalai kerajaan negeri dapat dibaca di sini.

Bukan ingin memuji, namun KPI menyokong kesahihan hujah ini. T.S. Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor merupakan ex-Ketua Exsekutif Permodalan Nasional dan ex-Ketua Exsekutif Kumpulan Guthrie Berhad (sumber) mula mengorak langkah kanan setelah terjun ke dunia politik.

Nampaknya, pengalaman beliau mentadbir organisasi korporat berupaya diterjemah dan dipraktikkan melalui pentadbiran kerajaan negeri.

Apabila jumlah pelaburan dan pendapatan kerajaan negeri terus menunjukkan kesan yang baik, di kala kemuraman ekonomi global, nyatalah "action speaks louder than words".

Nampaknya, MB Selangor ini mula memahirkan diri di dalam menjalankan tugas sebagai orang politik dan orang korporat dalam mengurustadbir negerinya.

Dengan situasi terbaru ini, nampaknya Khir Toyo dan barisan anggota pembangkang di DUN Selangor perlu bekerja dengan lebih kuat dan menunjukkan aksi lebih meyakinkan jika berhajat untuk kembali menguasai Selangor pada PRU akan datang.

Masa depan

Siapalah saya untuk memperkata mahupun menjangkakan nasib dan masa depan Petronas. Bersamalah kita tunggu respon dan kenyataan rasmi mereka yang berautoriti dalam hal ini.

Harapan saya, sebarang tindakan sama ada untuk membenar atau menidakkan khabar angin sebagaimana laporan akhbar tersebut, tidak akan memperjudikan masa depan dan nasib Petronas khasnya, dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kita sayang Petronas (biarpun bukan staf), kita iktiraf sumbangan Petronas kepada negara melalui dana kewangan mereka kepada kerajaan.

Minyak dan gas asli bukan selamanya ada di perut bumi ini. Justeru, visi dan misi pentadbir Petronas yang mantap, bijak bertindak (kurangkan bercakap), adalah amat ditagih bagi memastikan Petronas terus melangkah gagah sebagai gergasi Malaysia di pentas dunia.

Sekian.

No comments:

Post a Comment