Sunday, 21 June 2009

Jalan-jalan cari setem & syiling

Alhamdulillah kerana cuaca pagi Ahad ini agak baik, menandakan cerahnya peluang kami untuk berkunjung ke carboot.

Hari Ahad merupakan giliran Carboot Oxford di Kassam Stadium. Mengambil masa kira-kira 15-20 minit perjalanan dari rumah (berkereta), hari ini nampaknya kurang meriah kerana kurang orang berniaga.

Carboot ini tidaklah sebaik yang di Bicester tempoh hari, tetapi dalam banyak yang kurang baik itu, ada satu pakcik yang setia bertamu ke Kassam menjual koleksi syiling lama dan setem.

Jika tiada apa-apa yang menarik dan berkualiti untuk dibeli, memang kami tidak melepaskan peluang berkunjung ke meja pakcik ini, membelek-belek buku setem dan bekas pameran syiling beliau.

Seringkali juga, kami diberi potongan harga oleh pakcik tu (orang rumah saya memang jenis tak malu nak tawar-menawar, baguslah).

Saya dan isteri telah berbincang dan bersetuju bahawa apa yang dicari ini merupakan hadiah buat ayah di Malaysia, yang memang gemar mengumpul setem dan syiling.

Makanya buat sementara waktu, kami akan pegang dulu koleksi ayah ini di rumah kami.

Hari ini dua syiling kami berkenan dan dibeli. Syiling India (2 Annas) ini tidaklah begitu berusia, tetapi kami suka bentuknya yang unik.

Syiling kedua ini agak lama (tahun 1863)

Setelah dicetak maklumat, syiling-syiling terbabit kemudiannya dibingkaikan.



Terasa lebih puas bila memerhati syiling yang dibingkaikan, berbanding jika disimpan di dalam album.



Selain syiling lama, kami juga ada mengumpul setem. Yang menariknya, entah dari manalah pakcik itu mendapatkan setem-setem lama Malaysia.

Hari ini kami "rembat" 2 set setem, 1 setem Sarawak (tahun 1955 - sebelum merdeka), dan 1 lagi setem Jepun (1899-1914). Sebelum ini kami turut beli 1 set setem North Borneo (negeri tu sudah tidak wujud).


Setem Sarawak 1955


Setem Jepun 1899 - 1914

Sebenarnya banyak juga duit syiling lama yang kami minat. Ada syiling tahun 1699 dari France, 1700+ dari eropah, namun setelah melihat harganya (mencecah GBP15 - GBP20+), membantutkan niat untuk membelinya.

Apapun, kumpul dululah mana yang termampu. Kalau ada yang berkenan dan harganya "boleh dirunding", adalah berbaloi untuk mendapatkannya.

No comments:

Post a Comment