Saturday, 11 January 2014

Jangan Sebar "Kisah Yang Dikutip Dari Tepi Longkang"

Selalu benar, atau mungkin sudah menjadi trend masa kini, penyebaran berita atau maklumat yang belum pasti betul hujung pangkal diterima dengan mudah di media sosial.

Kisah menteri letak jawatan, Najib naikkan harga minyak di tengah malam, status halal-haram sesuatu produk, dengan hanya "1 klik" (share) sahaja, mudah ianya disebar luas ke laman-laman sosial.

Kesannya melarat sehingga mewujudkan perasaan panik, paraniod, phobia yang dimuncul dan dicipta hasil pembacaan dan "terus percaya" bermacam bentuk perkhabaran di atas angin.

Silapnya? Adalah diri sendiri yang malas untuk melakukan semakan (cross-check) terutama terhadap berita-berita yang lebih bersifat sensasi. Ambil dan telan sahaja. 

Kalau ambil dan telan untuk menyuburkan lagi phobia di dalam diri sendiri tu boleh dikira masih OK, namun apa yang lebih dikesalkan adalah, dipanjangkan pula berita kepalsuan dan fitnah tersebut.

Fahamilah konsep dosa. Janganlah menjadi lidah yang menyambung berita fitnah. Hatta jika berita itu benar sekalipun, sedangkan ia merungkai aib seseorang, Islam tetap menegahnya daripada dihebahkan. Masih dikira berdosa.

Pesan saya kepada mereka-mereka yang suka kongsi (share) sesuatu berita di laman sosial:

1) Kalau terima sesebuah berita sensasi, kalau nak baca tu bacalah. Dan simpanlah untuk diri sendiri (tak perlu disebar), terutama jika anda sendiri tidak pasti berita itu sahih atau tidak.

2) Jika anda rasa phobia anda itu perlu dikongsi dengan orang lain, supaya mereka juga berfikiran phobia dan panik, maka buatlah kajian dan semakan (cross-check) terutama dengan sumber yang rasmi seperti halal.gov.my (bagi menyemak status halal-haram sesuatu produk dan perkhidmatan) dan melayari laman web agensi terlibat (bagi berita menteri letak jawatan, tol naik, subsidi dipotong, etc).

3) Sebar dan kongsilah sesuatu berita sensasi itu dengan cara yang bertanggungjawab kerana setiap perbuatan anda mempunyai implikasi perundangan (legal implication) di mana  jika apa yang disebar itu palsu atau fitnah, maka anda terdedah kepada bahaya disaman, didenda dan sebagainya.

Betullah, kadang-kala kita ingin bersikap prihatin dan perlu 'jaga tepi kain orang', tetapi jika ianya membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan, maka beratkan untuk menghindarinya.

Allah lebih mengetahui.

No comments:

Post a Comment