Sunday, 20 October 2013

Kemaraan Mukhriz & Coret-Coret Pemilihan UMNO 2013

Telah selesai pemilihan UMNO (2013-2016), dan telah diketahui akan barisan saf kepimpinan "baharu" parti siasah Melayu Islam terbesar tanah air itu.

Tidak perlulah rasanya saya sertakan senarai pemenang kerana ianya dengan mudah boleh diperoleh dari pelbagai sumber dan laman-laman web.

Apa yang ingin saya kongsikan pada posting kali ini adalah menjurus kepada apa yang boleh direnungkan untuk pemilihan UMNO pada edisi yang akan datang.

Kemaraan Mukhriz

Sekalipun tewas di perebutan kerusi Naib Presiden (NP), kelibat dan kehadiran Mentri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir nyata telah mendatangkan aroma baharu ke dalam pemilihan parti kali ini.

Selamat jalan Mukhriz, pemilihan akan datang sila datang lagi (Sumber foto: sini)

Dilabelkan sebagai mewakili kelompok muda atau generasi baharu dalam parti, Mukhriz yang menyatakan hasrat untuk bertanding agak lewat, masih menokok sokongan yang positif, terutamanya undi popular daripada undi para perwakilan - sekalipun tewas undi bahagian.

Justeru, apa yang boleh kita simpulkan daripada perkembangan ini?

1) Mukhriz telah mendapat respon dan input berguna daripada "test market" yang beliau lakukan menerusi sistem baharu pemilihan parti yang mengambilkira sumbangan undi lebih 145,000 perwakilan, sekalipun "belum" (belum didesak untuk bertukar) menerima sistem undi popular - sekarang menggunapakai undi bahagian yang berjumlah 191 undi.

2) Kemaraan Mukhriz juga telah menyampaikan "mesej" jelas (atau kasarnya, amaran) kepada para pemenang/penyandang pemilihan kali ini bahawa masih ada masa beberapa tahun ini untuk beliau (Mukhriz) gembelingkan sebagai persediaan bagi mencabar kerusi NP pada pemilihan yang akan datang.

3) Mungkin di antara ketiga-tiga pemenang, kedudukan Zahid dan Shafie dilihat begitu kukuh dan bakal tidak terjejas seandainya keduanya dikekalkan PM Najib sebagai Menteri Kabinet sehinggalah tiba pemilihan parti yang seterusnya (selepas 2016).

4) Zahid, sebagaimana Mukhriz, turut menunjukkan aura kemaraan yang kuat, sehingga barangkali boleh "melanggar" penyandang kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang. Manakala, Shafie Apdal pula dilihat selesa kerana menjaga kawasan "ceruk desa" yang menjadi kekuatan undi orang Melayu dan bank undi di Sabah.

5) Maka, mahu tidak mahu, yang paling panas punggung adalah pemenang tempat ke-3 kerusi NP, Hishamuddin. "Senak dan sesak" beliau sebenarnya baru sahaja bermula sebaik diketahui menang - kerana jalan di depan masih jauh, berliku dan penuh penuh kejutan. 145,000+ perwakilan parti yang terlibat "memenangkan" beliau tentunya akan memerhatikan prestasi beliau selepas hari ini - kerana calon pengganti yang sesuai juga telah diperolehi.

6) Jadi, apakah strategi yang bakal dilaksanakan Hisham untuk survival politik beliau? Apakah kemaraan Mukhriz akan mewujudkan gelora kepada kemudi kapal UMNO? Apakah kemasukan aroma baharu ini berpotensi untuk "menolak hierarki" ke atas (erti katanya, Najib dicabar Muhyiddin; Zahid ke kerusi TP; Shafie + Hisham + Mukhriz)?

7) Rencana jangka panjang mungkin seperti begitu, atau mungkin masih mengekalkan "status quo". Jangka pendek, harapan Mukhriz mungkin terarah kepada secure kerusi MT.

Walau apapun kemungkinan, pemilihan dengan format baharu yang dilaksanakan secara berani oleh UMNO bagi pemilihan kali ini adalah sesuatu yang perlu dipuji. Pemberian kuasa memilih kepada lebih ramai perwakilan bolehlah dianggap sebagai suatu bentuk "transformasi" parti, sekalipun barisan pemimpin yang dipilih tidaklah sepenuhnya menterjemahkan maksud kata transformasi itu.

Manakala, pengiraan undi bahagian berbanding undi perwakilan untuk mengukur jumlah undi kepada para calon juga perlulah dilihat semula, walaupun risikonya tetap ada - iaitu kepada UMNO-BN pada PRU ke-14 yang akan datang (kerana BN tidak mendapat undi lebih popular berbanding PR pada PRU13).

Tahniah kepada pemenang pasca "transformasi" parti, semua mata kali ini tentunya terarah kepada pembentangan BAJET 2014!

No comments:

Post a Comment