Sunday, 2 June 2013

Pemilihan UMNO 2013: Perlu ada cabaran dan pertandingan

Kalau yang ramai tidak anggap kita menang, setidaknya menang dalam parti sendiri

Demi memperkuatkan parti dan mengembalikan sokongan yang "solid" kalangan ahli terhadap kepimpinan DS Najib Razak, pemilihan UMNO tahun 2013 ini perlu dijadikan pentas cabaran dan pertandingan, terutama kepada Presiden parti, Najib Razak.

Kemenangan mudah Umno-Barisan Nasional (UBN) di PRU13 yang lalu sekalipun telah "menyelamatkan air muka" Pengerusi BN, merangkap Perdana Menteri, persepsi rakyat nampaknya tetap menggoyahkan UBN. Bukan sahaja kemenangan yang dicapai disifatkan "lebih teruk" berbanding era Tun Abdullah (yang teruk dikritik ahli sendiri itu) dari segi penurunan jumlah kerusi BN (sekalipun UMNO meningkat jumlah kerusi menang), malah persepsi yang dicetuskan pakatan pembangkang bahawa kerajaan Najib "lebih tidak popular" juga masih terkesan di hati sebilangan rakyat.

Justeru, pemilihan parti 2013 saya lihat boleh menjadi platform terbaik ke arah memperkasakan parti UMNO pasca PRU13. UMNO tidak boleh berfungsi secara efektif dalam situasi yang terumbang-ambing dan Najib tidak boleh menjalankan segala rancangannya tanpa "mandat yang solid" daripada ahli partinya.

Najib yang memimpin UBN untuk menang mudah pada PRU belum tentu boleh menyelamatkan imej beliau sebagai presiden yang layak memimpin UMNO jika pada pemilihan parti kali ini, sekadar "menang tanpa dicabar". 

Penutupan ruang pertandingan bukanlah pilihan (is not an option) kerana kelak ianya tidak banyak membantu beliau untuk membuktikan kepada ahli UMNO dan orang Melayu amnya, bahawa beliaulah yang berhak mengemudi UMNO, setelah menang di dalam pertarungan. 

Sekiranya-pun UMNO tidak diterima secara solid untuk  mengemudi negara, setidaknya pemilihan UMNO nanti dapat mempastikan Najib muncul sebagai jaguh serta pemimpin yang boleh diterima, disokong dan dirai oleh ahli partinya sendiri.

Selain itu, UMNO juga perlu membuktikan bahawa pernyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir bahawa Najib perlu kekal (sebagai Presiden) kerana UMNO "tiada alternatif" adalah salah, tidak tepat dan tersasar sama sekali. Apakah UMNO se-lekeh dan setandus itu?

Pemilihan parti perlu menunjukkan kepada ahli dan Orang Melayu amnya bahawa UMNO tidak pernah ketandusan bakat dan pemimpin berjiwa besar dan kental. UMNO, dan BN dengan rekod lebih 56 tahun memerintah negara, amatlah wajar menyanggah andaian oleh Tun Mahathir itu.

Tidak bertanding lebih baik?

UMNO, seperti yang sering dilaung-laungkan para pemimpin mereka baik sebelum mahupun selepas PRU13, perlu berubah. UMNO perlu "gamble". Permainan selamat bukan lagi pilihan yang selamat buat UMNO. Jika sebelum ini UMNO bergantung kepada media massa arus perdana dan (mula) berhubung dengan kelompok pengundi muda melalui media alternatif dan maya untuk berkempen, PRU14 menuntut aktiviti di alam maya yang lebih aktif lagi.

UMNO perlu bergerak dengan pantas (jika tidak seiring). Wujudkan pertandingan jika mahu pengundi kelas pertengahan (working class) Bandar, pengundi Melayu Bandar dan pengundi kaum Cina melihat betapa UMNO dan BN serius untuk berubah. 

Jika tidak, maka UMNO hanya akan diasak agar mengambil label yang pernah ditampal dan menjadi stigma pada parti PAS iaitu sebagai parti orang kampung, parti luar bandar. Hakikat pedih yang perlu diterima UMNO hari ini mula tertolak ke kawasan luar bandar dan hulu (lihat peta keputusan PRU13 bagi negeri Terengganu).

Ada yang berhujah bahawa perpaduan parti adalah lebih utama berbanding pertandingan yang dilihat akan melebarkan lagi jurang perbezaan pendapat dan perselisihan. 

Tetapi pada saya, imbangkanlah juga dengan implikasi yang bakal menimpa UMNO sekiranya tiada pertandingan. Biarlah ahli dan perwakilan parti yang menentukan outcome, setidaknya itu yang majoriti dalam parti mahukan.

UMNO sebenarnya terdesak untuk berubah dan untuk kekal releven kerana perubahan sedang berlaku dan akan terus berlaku. 

Untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa UMNO kini sanggup berubah, maka UMNO perlu menampilkan imejnya yang sedia berubah. Adalah sukar untuk sekadar "mengharapkan" orang rasa kita berubah sedangkan orang tidak melihat sedemikian.

Harapan

Saya berharap UMNO dapat membuat pertandingan pada pemilihan parti itu tahun ini. Saya juga harap Najib akan dicabar, kerana saya harap beliau akan menang besar. Setidak-tidaknya (kemenangan) tersebut dapat "menenyeh" keluar daki kerajaan 47% yang sering dijadikan modal oleh pakatan pembangkang (PR katanya dapat 51% undi popular dan mengukuhkan cengkaman di kawasan Urban). 

Pemilihan tahun ini juga perlu dijadikan pentas mengetengahkan muka-muka baru bagi mendokong aspirasi parti supaya kekal segar, kekal muda seraya menolak telahan Tun Mahathir bahawa UMNO yang keramat itu sudah ketiadaan alternatif!

No comments:

Post a Comment