Sunday, 14 April 2013

PRU13: Apakah MCA kecundang sebelum berjuang?

Sebelum akhir tahun 2012 saya telah menulis sebuah artikel berkenaan MCA, parti yang dikatakan mewakili suara kaum Tionghua di dalam kerajaan pimpinan Barisan Nasional sedari negara bertuah ini mendakap kemerdekaan lebih 50 tahun yang lalu.

Klik (Tawar Hati) untuk membaca artikel yang berkenaan.

Sepintas PRU12 (2008)

Berpandukan pengumuman demi pengumuman yang didengar saban hari, berkenaan kerusi mana yang ditandingi, parti mana yang bertanding, sedikit demi sedikit persoalan mulai terungkai. Antara yang menarik perhatian adalah pergerakan, percaturan dan kedudukan parti MCA dan ke-relevan-annya di dalam konteks persaingan politik negara di ambang PRU ke-13.

Sebelum kita melangkah jauh, suka saya mengajak para pembaca merenung seketika analisa mudah berikut supaya kita mendapat serba-sedikit gambaran secara menyeluruh:

PRU 2008:

  • 222 kerusi Parlimen, BN menang 140 kerusi (63% kemenangan)


Perolehan kerusi menurut parti-parti komponen:

  • UMNO = menang 78 kerusi (tewas hanya 27.3% kerusi yang ditandingi)
  • MCA = 15 kerusi (tewas 62.5% kerusi yang ditandingi)
  • MIC = 3 kerusi (tewas 67% kerusi yang ditandingi)
  • Gerakan = 2 kerusi (tewas 80% kerusi yang ditandingi)
  • PPP = 0 kerusi (tewas 100% kerusi yang ditandingi)*
  • Lain-lain parti = 43 kerusi


(nota: *saya jangka PPP akan 'pupus' menjelang PRU ke-13 ini).

Big Brother


Jelas kepada saya bahawa MCA masih belum mampu bangkit sepenuhnya setelah teruk "terpukul" (ditolak pengundi kaum Cina) pada PRU12 yang lepas di mana parti tersebut hanya mampu mempertahankan 15 kerusi (daripada 40 yang ditandingi).

Kini 5 tahun telah berlalu, dan PRU kembali membuka tirainya. Kedudukan dan gerakan "kebangkitan" (mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN) yang diharapkan BN melalui sekutunya MCA, bagaimanapun dilihat masih "jauh panggang dari api". 

Menurut laporan media (lihat di bawah), pada PRU kali ini, kerusi-kerusi sama ada yang disandang MCA pada PRU12, mahupun kerusi-kerusi yang secara "tradisinya" ditandingi oleh wakil dari MCA, mula dilepas (atau terlepas) kepada "Big Brother" dalam gabungan mereka.

Sebelum ini agak hangat diperkatakan mengenai kedudukan MCA di kerusi Parlimen Wangsa Maju (baca: MCA beri balik Wangsa Maju). Dan belumpun reda isu berkenaan, diperkatakan pula kedudukan MCA di kerusi yang mereka menang dengan majoriti selesa (sekitar 8,000 undi), iaitu Parlimen Gelang Patah di Johor, yang dikhabarkan bakal dilepas (terlepas) kepada "Big Brother" (baca: terlucut Gelang Patah). Sebagai selingan, tidak dilupa juga cakap-cakap mengenai kerusi Raub (baca: Ng Yen Yen sedia lepas kerusi Raub).

Lebih menambahkan persoalan (berbanding menyajikan jawapan) ialah keputusan Presiden MCA, Chua Soi Lek (CSL) yang membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi.

Tentu sekali di bawah amalan demokrasi CSL boleh membuat keputusan tersebut. Namun di saat parti dan jentera kempen MCA dilihat amat memerlukan "tonik penguat motivasi" untuk bekalan menghadapi perang PRU, pendirian yang ditunjukkan pimpinan MCA (baik dari segi mengetengahkan calon dan merundingkan kerusi) telah menggusar dan boleh menggugat keyakinan ahli akar umbi.

Tindak tanduk MCA ini juga turut mengembalikan ingatan saya kepada komen (lebih kepada amaran) yang dilontarkan oleh penyandang kerusi Parlimen Johor Bharu, Shahrir Samad (baca: DAP hanya mahu 'bunuh' MCA di Johor). Pendapat Shahrir, andai direnung secara mendalam, mungkin ada logik dan benarnya juga.

Bahkan, MCA juga sudah dilihat tidak boleh lagi diletak dan dibandingkan sebaris dengan DAP yang kini berani "keluar kepompong" dengan membuka "cawangan baharu" di negeri Johor (termasuklah PAS juga). Sekadar menyebut nama Kit Siang dan Chin Tong sebagai antara pemimpin DAP yang dikatakan bakal mengemudi perubahan di negeri Selatan tanah air itu menjelang PRU13. 

Di dalam konteks tersebut, maka di manakah kedudukan MCA? Apakah MCA telah menjadi tawar atau "mencair" komitmen mereka untuk mengangkat suara kaum Cina di dalam BN yang memegang tampuk kerajaan persekutuan hari ini? 

Atau apakah MCA merasakan kudrat mereka makin berkurang dan mengharap keupayaan "Big Brother" untuk bertindak bagi pihak mereka? 

Atau secara "paksa rela" MCA  melihat telah tiba masa untuk menyerahkan kemudi dan "obor" (yang mewakili hasrat kaum Cina) kepada DAP? - ini situasi yang paling malang.

Kita semua telah sedia maklum bahawa sekalipun kaum Cina "dilihat berbeza" dalam menzahirkan sokongan politik mereka, namun daripada 4 segi, mereka, tidak kira parti politik kerajaan (MCA) mahupun pembangkang (DAP) akan bersatu hati, berpadu suara dan usaha apabila menyentuh "gangguan" luar terhadap (1) sekolah Cina, (2) Tokong, (3) surat khabar, (4) persatuan.

Kesepaduan dan "cerdik politik" inilah yang gagal difahami dan diteladani sejumlah besar kaum Melayu apabila mereka berpolitik. Buktinya, semakin kita maju, tidaklah kita menjadi semakin matang. Bahkan orang-orang Melayu (kebetulan Islam pula) semakin ghairah dengan politik lucah, maki-hamun dan paling laris adalah politik londeh-melondeh.

Sebagai penutup - berbalik kepada persoalan saya, masihkah MCA releven untuk memperjuangkan suara kaum Cina di dalam BN, andai melihat perkembangan yang disajikan kepada kita mutakhir ini?

(nota akhir: rasanya berbaloi untuk anda membaca sepintas lalu artikel saya yang lepas bagi mengetahui sebab-musabab mengapa saya "tawar hati").

Sekian.

No comments:

Post a Comment