Tuesday, 1 January 2013

Kuat pokok kerana akarnya: Menangani Pengaruh Isa Samad

1) Harakah versi cetak hari ini (Selasa) mengeluarkan laporan mengenai Himpunan Oren yang berlangsung di hadapan Wisma FELDA sebaik selesai solat Jumaat yang lalu. Turut dinyatakan bahawa salah satu tuntutan daripada pihak penganjur perhimpunan adalah bagi mendesak pengunduran Tan Sri Isa Samad daripada terus mengepalai FELDA.

2) Bagi saya pula, inilah kali pertama berada hampir dengan perhimpunan jalanan. Mungkin disebabkan ianya berkebetulan berlaku hampir dengan masjid tempat saya selalu bersolat (Masjid UTM Jalan Semarak).

3) Apapun, sebagai "orang luar" (bukan warga FELDA, bukan pendokong mana-mana ideologi politik), tidaklah saya layak untuk menghukum tindakan mereka berkumpul secara aman di kawasan yang sesak dan serba sibuk itu sebagai tindakan yang betul, mahupun sebaliknya. Cuma, sebagai individu yang memerhati, bagi saya eloklah memilih "melakukan perubahan dengan tangan (mengundi), berbanding dengan menggunakan kaki (di jalanan)".

4) Tempoh masa ke arah PRU ke-13 sudah begitu hampir dan cara berdemo, walaupun bukan kali yang pertama dilakukan terhadap Isa Samad, sehingga kini belum mampu meruntuhkan keyakinan masyarakat mahupun warga FELDA seluruhnya terhadap pentadbiran beliau.

5) Apapun, setiap orang yang diiktiraf sebagai warga negara ini tentunya ada cara fikir dan cara bertindak mereka yang tersendiri. Barangkali juga, warga FELDA yang hadir berdemo lebih maklum akan isu dan permasalahan dalaman yang menghantui mereka berkaitan tindakan Isa Samad yang menguruskan hal-ehwal FELDA sejak kebelakangan ini.

6) Kecaman dan kritikan terhadap Isa Samad oleh kumpulan Himpunan Oren ini bukanlah perkara baru mahupun kali pertama dilakukan. Sepanjang menerima kritikan dan tekanan oleh ANAK (badan "tidak bebas" yang memperjuangkan isu FELDA di bawah PAS), saya dapati Isa masih mampu bertahan, malah sebagai seorang ahli politik senior yang kaya pengalaman dan masak dengan selok-belok politik, beliau dilihat pandai menggunakan media arus perdana untuk menangkis segala tohmahan yang dilemparkan, bahkan turut 'memulangkan paku buah keras" kepada kumpulan yang menentangnya.

7) Pada saya, pihak yang berkehendak agar usaha yang mereka lakukan mendatangkan impak yang "diharapkan" perlulah menyiasat di manakah letaknya kekuatan Tan Sri Isa Samad. Untuk lebih faham maksud saya, sila perhatikan rajah di bawah:


8) Jika diperhatikan, usaha "menjatuhkan" Tan Sri Isa daripada kerusi pengerusi FELDA, tidaklah sama dengan usaha "membersarakan" Dato' Seri Shaharizat Jalil daripada kerusi Menteri Pembangunan Wanita di atas skandal NFC. Ini kerana sekalipun Dato' Shaharizat mempunyai kedudukan yang besar dan "merimbun", beliau tidak memiliki "akar" yang kuat kerana telah tewas di Lembah Pantai pada PRU ke-12 yang lalu. Berbanding Isa, beliau masih memiliki kekuatan akar umbi (sebagai ADUN), yang mana setakat ini langsung tidak digugat serta ditentang secara politik.

9) Saya tidak jangka Isa akan terkesan dengan cemuhan dan bantahan yang mengambil tempat ke atas beliau. Jika pembangkang hanya "meracun pokok" (imej) Isa di dalam isu FELDA, mereka tidak mampu mematikan pengaruh Isa. Melainkan mereka perlu aktif untuk turun ke "akar" yang menjadi sumber kekuatan Isa. Barangkali di situlah mereka berkemungkinan ada peluang untuk menggugatnya - iaitu menggesa perubahan dilakukan MENGGUNAKAN TANGAN (melalui kuasa undi dalam pilihanraya).

10) Tetapi, adakah kumpulan yang bersemangat untuk melakukan perubahan MENGGUNAKAN KAKI ini sedar akan kemungkinan dan peluang ini, dan turun menziarah ke Bagan Pinang sebelum PRU ke-13?

Sekian.

No comments:

Post a Comment