Sunday, 27 January 2013

Dewan Himpunan Penyokong Pas - menuju PRU ke-13

Memahami Realiti 

1) Saya membaca laporan berikut yang disiarkan di SinarHarian online dengan "kehadiran" bermacam tanggapan. Baca laporan berkaitan: Dewan Himpunan Penyokong PAS Sedia Kemuka Calon Wibawa.

2) Berselirat dalam kepala saya memikirkan apa yang bakal terhasil oleh perkembangan ini. Kehadiran dan pengaruh DHPP nampaknya mula diiktiraf oleh barisan pemimpin atasan PAS, sehingga parti itu dilihat terbuka dengan bakal mencalonkan beberapa wakil DHPP untuk bertanding pada PRU ke-13 kelak.

3) Dari sudut keterbukaan ini, saya suka memuji PAS yang telah memahami realiti politik hari ini di mana dalam masyarakat yang majmuk, PAS tidak mampu mencapai kemenangan tanpa izin Allah serta tanpa sokongan dan undi daripada komuniti selain Melayu dan Islam. Justeru, langkah PAS menubuhkan DHPP secara langsung telah membuka platform buat komuniti bukan Melayu dan Islam untuk bersama-sama dengan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Sumber foto: google images

4) Hari ini, DHPP yang berkeahlian sekitar 30,000 orang, juga menjadi "sayap keempat" dalam PAS. Jika merujuk artikel di atas (diberi peluang bertanding PRU dan komited menyemukakan calon-calon boleh menang), DHPP memiliki keupayaan dan tarikannya tersendiri untuk menyumbang kepada pertambahan bilangan kerusi "boleh menang" buat PAS pada PRU ke-13.

Respon Organisasi?

5) Di sebalik feel good factor terhadap keterlibatan langsung para pemimpin dan calon DHPP pada PRU-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, kotak pemikiran saya juga turut dihujani persoalan-persoalan berikut:

a) LAZIM-nya, telah kita lihat pada PRU-PRU sebelum ini, majoriti calon PAS (yang Melayu-Islam) telah diletak untuk bertanding menentang calon BN daripada parti UMNO (juga diwakili calon Melayu-Islam). Ada kalanya pertarungan tersebut berlaku di kawasan yang mana parti dan calon UMNO memiliki kelebihan. Sebelum PRU-12, tidak sedikit calon-calon PAS yang telahpun tewas. Manakala pada PRU-12 pula, dapat kita lihat berlaku peningkatan bilamana calon-calon yang diketengahkan PAS telah berupaya menewaskan calon-calon UMNO. Pun begitu, UMNO secara umumnya masih memiliki sokongan komuniti Melayu Islam dan hal ini memungkinkan peluang calon PAS menang pada PRU-13 tetap berliku (mungkin PAS bakal tewas, atau hanya menang tipis).

b) Seperti dilaporkan, calon-calon PAS dari sayap DHPP ini bakal diletakkan bertanding di kawasan-kawasan "pengundi campuran" (atau kawasan pengundi Melayu bukan majoriti) dan bakal menentang calon-calon BN yang "bukan-UMNO", mungkin calon MCA, MIC, atau Gerakan, etc. Jika ini terjadi, dan mood pengundi bukan Melayu-Islam memihak kepada PR, besar kemungkinan calon-calon DHPP ini akan beroleh kejayaan. Ini kerana peluang untuk menambah undi jika tidak menentang calon BN "yang-UMNO" dilihat lebih memungkinkan mereka merubah keputusan dan mencipta kejutan pada PRU-13 ini.

c) Jika ditakdirkan perkara ini berlaku, PAS boleh dianggap sedang "menuai hasil", iaitu hasil benih yang mereka semai melalui slogan PAS for all, yang dianggap mulai diterima baik oleh semua pihak, baik oleh komuniti Islam dan bukan Islam. Maka, PAS bakal dilihat bergerak menuju ke landasan yang memahami realiti politik masyarakat majmuk di Malaysia. Di dalam PAS kini (selepas calon DHPP menang pada PRU-13) bakal ada YB-YB yang mewakili suara dan tuntutan komuniti bukan Melayu dan bukan Islam secara rasminya.

d) Sekiranya hal ini berlaku (iaitu apabila DHPP menang dan memiliki YB), tentulah mereka ini wajar dilibatkan secara langsung di dalam struktur kepimpinan PAS di pelbagai peringkat baik di peringkat Pusat dan Negeri. Tentunya PAS wajar mengiktiraf pengorbanan, pengaruh dan bargaining-power mereka yang telah menyumbangkan kerusi buat PAS dalam usaha parti memenangi PRU-13 bersama-sama PR.

6) Justeru, saya beranggapan, pada masa depan (tidak lama lagi) struktur kepimpinan PAS juga bakal menerima anjakan sebagai respon terhadap perkara ini (bagi mengambilkira peranan para pemimpin dari DHPP). 

7) Adalah menarik untuk sekali lagi melihat bagaimana PAS mentransformasi dasar/polisi parti, dan organisasi secara fizikal (hierarki kepimpinan) parti itu supaya dilihat selari dengan perubahan-perubahan yang berlaku ekoran penglibatan (dan mungkin kejayaan) calon-calon DHPP pasca PRU-13.

No comments:

Post a Comment