Tuesday, 25 December 2012

Manfaatkan Media oleh Wakil Rakyat

Sudah agak lama saya memerhatikan perkara ini dan sepanjang tempoh tersebut, saya sering 'come-across' wajah-wajah yang suka dan bijak memanfaatkan liputan media 'lebih berimbang' seperti Sinar Harian (SH) bagi 'memasarkan' aktiviti yang dijalankan, seterusnya 'menjual' nama mereka kepada masyarakat.

Mungkin andaian saya ini berat sebelah (kerana hanya melihat kepada beberapa nama dan hanya merujuk kepada isu terpilih sahaja). Pun begitu, saya ingin memuji langkah yang diambil beberapa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang (lazimnya wakil bukan Melayu) yang lebih bijak memanfaatkan liputan media ke atas mereka, bagi mempromosikan kegiatan politik kemasyarakatan yang mereka jalankan.

Tambahan pula, Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir, amatlah wajar bagi wakil rakyat yang berhajat untuk menjadi "winnable candidate" menonjolkan imej dan kegiatan mereka dengan memanfaatkan sepenuhnya ruang yang diberikan di media 'lebih berimbang' seperti SH ini.

Lihat perbezaan 3 contoh di bawah (sumber dipetik: Sinar Harian edisi cetak).


YB Kamalanathan (MP Hulu Selangor) merupakan individu dan pemimpin politik yang saya perhatikan kerap muncul wajahnya di liputan berita SH bagi seksyen Hulu Selangor - seterusnya 'memasarkan' nama dan 'keaktifan' aktiviti beliau sebagai seorang YB bagi Hulu Selangor. 

Kita semua tahu bahawa format berita di SH menonjolkan laporan menurut daerah-daerah di negeri Selangor. Satu mukasurat untuk satu daerah. Bayangkan betapa ruginya jika sesuatu seksyen itu hanya menampilkan cerita 1 orang tokoh sahaja. Mengapa wakil parti politik lain terutama pembangkang tidak memanfaatkan ruang liputan yang popular ini untuk turut sama mempromosikan kegiatan mereka?


Selain Kamalanathan, seorang lagi pemimpin bukan Melayu yang sering mewarnai laporan berita di SH ialah ADUN kawasan Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan. Jika anda pembaca setia SH seperti saya, anda akan dapat melihat 'kekerapan' laporan yang dibuat SH terhadap pemimpin muda dari DAP ini.

Daripada aduan longkang tersumbat, iklan haram, bekalan air, tanah mendap, sumbangan cek untuk surau dan masjid dan yang ini, isu meter TNB, ada dilaporkan kepada beliau bagi mendapatkan tindakan dan perhatian pihak berwajib.

Peluang dan ruang yang diberikan oleh akhbar seperti SH ini telah membantu melonjakkan reputasi beliau sebagai seorang wakil rakyat, dilihat aktif di mata para pengundi (melalui kekerapan muncul di akhbar, melaporkan aktiviti beliau), di samping lebih mendapat respon pihak berkaitan kerana pengaruh SH yang popular di dalam menyalurkan sebarang aduan daripada rakyat. 


Kemudian saya terpandang laporan berita berikut, juga disiarkan di SH berkenaan Konvoi Oren yang mana ketuanya dilaporkan ditahan, ditangkap dan diikat oleh wakil penduduk setelah naik berang dengan kehadiran kumpulan tersebut ke petempatan mereka (FELDA).

Memang laporan sebegini memberikan 'publisiti panas lagi segera' kepada kumpulan berkenaan. Apatah lagi di kalangan penyokong mereka. Makin hangat hati dan melimpahlah simpati masyarakat kepada mereka mengenangkan apa yang berlaku ke atas peserta konvoi berkenaan.

Pun begitu, bukankah setiap peserta sudah dimaklumkan akan risiko yang bakal mereka tempoh (occupational hazard) apabila mereka rela terlibat di dalam konvoi terbabit?

Bagi saya, liputan berbentuk sensasi ini juga telah turut 'menenggelamkan' laporan berkenaan Konvoi Oren yang sepatutnya lebih ditonjolkan kepada para pembaca SH. Jika ditanya pembaca, apa yang mereka tahu mengenai Konvoi Oren? Mungkin yang membaca laporan ini akan menjawab pesertanya dipukul dan dizalimi, tetapi tidak memahami intipati dan perjuangan yang diketengahkan oleh konvoi berkenaan - menerangkan isu berkaitan FELDA kepada orang luar bandar.

Selain itu saya juga berharap, di kala PRU13 yang semakin hampir ini, lebih ramai pemimpin politik dapat tampil menyeimbangkan ruang laporan di SH dengan aktiviti kemasyarakatan yang mereka jalankan di kawasan yang diwakili. Kalau boleh untuk seksyen Hulu Selangor, biarlah YB Kamala ada pesaing di dalam 'menjual reputasi' beliau....

SH menyediakan platform untuk semua pihak melapor dan mempromosi diri mereka. Manfaatkanlah ia dengan berkesan!

Sekian.

No comments:

Post a Comment