Saya tidak merasakan yang saya ini mewarisi sifat tegas (atau bekeng) Mok di dalam membesarkan anak-anak. Pun begitu, saya juga tidak nampak yang saya ini menuruti sikap cool Ayoh di dalam mendidik anak.
Menjalankan tugas sebagai ibu atau ayah ini agak sukar juga sebenarnya kerana (tugas itu) tidak didatangkan bersama set manual yang khusus bagi pasangan yang ingin menjadi ibu bapa. Banyak ilmu yang diperoleh merupakan hasil pengalaman yang dikutip melalui pemerhatian, cerita kawan-kawan, cerita orang tua, sedikit pembacaan, menonton rancangan motivasi keibubapaan di TV dan proses "cuba-jaya".
Ada masanya saya memberi arahan, ada masanya saya memilih untuk memproses arahan (sebab malas nak berfikir). Tetapi di kebanyakan waktu, tindakan yang terbaik adalah melalui 'mesyuarat' suami isteri. Di dalam menguruskan keperluan harian anak, saya, secara umumnya, lebih selesa menjadi pembantu khas kepada orang rumah. Kalau nasib tak baik, kami berdua (saya dan anak) akan dikenakan 'nota tunjuk sebab'.
Begitupun, ada ketikanya saya mendapat beberapa pengalaman berharga sepanjang bergelar ayah ini. Mungkin apa yang akan dicoretkan ini dapat mendatangkan manfaat buat anda yang membacanya, mungkin ianya tidak logik langsung. Apapun, berikut hasil pemerhatian yang saya kutip berkenaan hal menjaga anak:
1) Anak kerap bangun malam untuk minum susu
Lazimnya di peringkat umur bayi, anak sering bangun malam untuk menyusu. Jika isteri anda seorang yang amat komited dengan susuan badan, maka 'good luck to you'. Maksud saya anda mungkin dikecualikan bangun di tengah malam setiap 1 atau 2 jam kerana anda tidak mempunyai bekalan susu.
Namun, bagi kes di mana si ibu menyimpan bekalan susu di dalam botol, maka 'good luck to you too' kerana khidmat anda mungkin diperlukan untuk bangun setiap jam di waktu malam bagi 'menyusukan' anak.
Hasil cuba-jaya yang saya dan isteri lakukan, DENGAN SYARAT anak mendapat nutrien secukupnya untuk membesar, apa yang kami buat supaya anak 'kurang motivasi' untuk bangun malam meminta susu adalah dengan 'mengurangkan kesedapan susu' yang diminumnya. Langkah ini tidak digalakkan untuk dicuba di peringkat awal usia bayi kerana dikhuatiri anak itu tidak mendapat zat yang mencukupi bagi membantu tumbesarannya.
Mengurangkan kesedapan susu itu maksud saya adalah dengan mencairkan sedikit susu itu. Biarpun seorang bayi itu tiada akal untuk berfikir, nalurinya sudah dibentuk. Pada mindanya, kalau dia setiasa bangun malam (setiap jam) pun ibu atau ayahnya (god bless you) tetap akan memberi susu yang sedap sebagaimana di waktu siang hari.
Tetapi, sekiranya anda perlahan-lahan menjadikan susu itu kurang sedap (jangan bagi air kosong pulak), gerak hati bayi itu akan memberitahunya supaya 'jangan asyik bangun malam kerana susu tak sedap'. Tetapi kalau cara itupun tidak berjaya, anda dan isteri perlulah banyak bersabar dan menerima ia sebagai salah satu tugasan murni sebagai ibu dan ayah.
Pengalaman anak sendiri, kami berupaya membuang puting (yang dia suka gigit) ketika usianya 1 tahun dan berhenti terus minum susu botol (tapi kekal dengan fresh milk dalam gelas) sewaktu masuk umur 2 tahun.
2) Berpisah tidur dengan anak
Seingat saya, sebaik anak saya masuk umur 2 tahun dia sudah tidur berasingan di atas katil di biliknya sendiri (dengan pintu terbuka). Saya rasa sebagai ibu atau ayah, kita kena mulakan secara perlahan-lahan.
Diperingkat awal, tentulah anak tidur bersama ibu dan ayah. Kalau baru mendapat anak sulung, maka seperti sandwich-lah anda bertiga. Tapi sampai bila hendak berkongsi katil yang semakin hari semakin 'mengecil'. Bila anda sebagai ibu dan ayah hendak recover dari waktu tidur tak cukup kerana anak suka bangun malam beberapa bulan yang lepas?
Tentulah anda mahukan tidur kesemua ahli keluarga itu nyenyak, terutamanya si ayah (god bless you). Berpandukan pengalaman saya dan isteri, apa yang memotivasikan si kecil untuk tidur berasingan (tidur sendiri-sendiri) adalah dengan membelikan katil budak yang cantik berserta duvet cover (sarung katil) yang anak suka (bercorak bunga). Apabila diberi benda yang dia suka, tentulah dia sendiri akan rasa sayang dengan katil cantik dan baru untuknya itu. Maka, adalah modal untuk saya mengusik kalau dia mengada-ngada nak tidur malam dengan kami.
Sumber foto: google images
Apabila sudah mempunyai katil dan bilik sendiri, kami akan menemaninya masuk tidur setiap malam. Dia tidur di atas katil dan saya baring sementara di sebelah katilnya sehinggalah dia tidur. Saya kemudiannya meninggalkan dia tidur sendirian. Namun, yang paling mustahak untuk diingatkan kepada ibu dan ayah yang sedang melatih anak supaya tidur berasingan ialah, sekiranya si anak menangis tengah malam (mengigau ke, nak susu dan sebagainya), kita yang perlu ke bilik dia untuk memeriksa keadaan bukannya membawa dia balik ke bilik tidur kita. If not, you are back to square one.
Ada juga rakan-rakan yang menggunakan kaedah lain yang saya rasakan boleh di'cuba-jaya'. Kesemuanya dimulakan secara perlahan-lahan. Awalnya, ibu atau ayah menemani anak naik tidur di biliknya. Peringkat seterusnya, si ayah atau ibu 'mencipta alasan' supaya si anak naik tidur dulu dan akan disusuli kemudian. Lama-kelamaan si anak boleh naik dan tidur sendirian di biliknya tanpa perlu ditemani ibu atau ayah. Cuma ibubapa kena pastikan katil dan biliknya sudah sedia (selamat dan kemas) untuk si anak masuk tidur.
3) Potty training (melatih buang air tanpa lampin)
Kami sebenarnya agak lewat memulakan potty sekitar umurnya 3 tahun. Waktu itu kami berdua 'terpaksa' kerana kedua sedang menyiapkan tugasan pelajaran di UK. Setelah pulang, barulah kami serius dengan latihan ini.
Sumber foto: google images
Ianya susah dan mencabar, jika menurut pengalaman yang sedang kami lalui. Setakat hari ini, apa yang tidak 'ditanda' oleh dia. Sofa, kerusi makan, katil, tuala ayah, tempat duduk dalam kereta, carseat dia sendiri, you name it.
Rasanya, kami mulakan latihan itu di hujung minggu, apabila kami berdua ada banyak masa lapang, berhati gembira dan badan tidak lesu. Cabut lampin dan pakaikan dia seluar dalam, tetapi pesan pada dia "tell me when you want to pee". Cakap "Ibu, I want to pee/Ibu nak kencing" - ayat dia. Setiap 10-15 minit ibu atau ayah akan bertanya "you want to pee?". "No". Begitulah diulang-ulang. Mula-mula dapatlah setengah hari. Kemudian diteruskan pula untuk hari-hari yang biasa.
Cuma yang sering menggagalkan latihan ini ialah sewaktu si anak leka menonton siaran kartun. Ini kerana dia sanggup cakap tak nak kencing kerana sayang nak tinggalkan TV. Akhirnya, habis basah dan hancing sofa tu.
Namun, apabila sering kita ulang, si anak itu akhirnya akan boleh menerimanya. Kadang-kala dia pula yang berkata kepada kita "Ayah, I want to pee". Saya pula akan main-main "Where you want to pee?". "I want to pee in the toilet". Saya tambah lagi "Why?"...Sudah lain macam je muka budak ni...
Tapi usaha melatih dia supaya buang air tanpa lampin ini masih berjalan. Ada masanya up dan ada masanya down. Ada ketika dia kena puji dan ada masa dia kena bebel.
Sekian.
anak sy berusia 1 tahun 2 bulan. sejak dari kecil dia akan bangun sebanyak 3 kali untuk menyusu. sehingga sekarang. sy rasa pelik sebab dari apa yang sy tahu, mereka akan kurang bangun malam apabila kian membesar. saya memberi dia makan nasik 2 kali sehari dan snek seperti buah pada waktu petang.
ReplyDeleteadakah ini normal atau sy perlu ubah tabiat anak sy yang kerap bangun menyusu waktu malam??