Sunday, 4 November 2012

TAWAR HATI

Saya kira pendirian Presiden MCA merupakan bukti yang terang lagi jelas akan "wajah sebenar" pemimpin kaum Cina terhadap agama Islam, yang secara kebetulannya dianuti oleh majoriti kaum Melayu di negara ini.


Rupa sebenar seorang Presiden parti yang mewakili masyarakat Cina di Malaysia itu bukan hanya digambarkan menerusi ucapan-ucapan beliau yang nyata begitu anti-hudud, bahkan penentangan (dan seperti sudah mengihstiharkan perang) terhadap Islam dan hukum Islam turut jelas dan ketara kelihatan menerusi cetakan-cetakan kekal pada t-shirt yang dipakai oleh para perwakilan MCA.

Sebagai seorang Muslim yang cakna politik, saya tidak boleh menyembunyikan perasaan saya yang kini sudah semakin tawar hati untuk bersahabat dengan orang Cina. Bagaimana mungkin untuk saya berkawan dengan seseorang yang benci kepada agama anutan saya? I'm sorry but I really do. Sampai begitu jelas dan nyata sekali penghinaan mereka terhadap Islam dan hukum Islam. Di manakah kewarasan akal mereka sehingga boleh mencabar secara terbuka akan hukum yang bersabit dengan agama Islam.


Sejahil pemimpin Islam yang lainpun, rasa saya tidak ada yang secara terbuka mengkritik dan menghina agama Budha mahupun Kristian, apatah lagi seorang pemimpin utama sebuah parti politik dalam kerajaan!

Setelah lama berfikir dan membuat pertimbangan, saya memutuskan bahawa saya yakin perasaan tawar hati ini tiada kaitan sama sekali dengan semangat rasisme (perkauman) mahupun kebencian terhadap orang Cina. Ini kerana Soi Lek tidak boleh memilih darah keturunan beliau atau ingin lahir sebagai bukan Cina, atau Melayu atau India sekalipun. Itu bukan pilihan sesiapapun. 

Cuma yang boleh beliau pilih adalah dengan menjadi seorang pemimpin berbangsa Cina yang menghormati agama kaum lain. Janganlah menampakkan kejelasan di dalam membenci hukum Islam, sehingga kini nampak sangat wajah sebenar beliau yang anti-Islam. Menyedihkan.

Barangkali tidak semua orang Cina bersetuju dengan pandangan Soi Lek tentang Islam. Tetapi apakah mereka (yang diamkan diri) ini juga berusaha untuk melakukan sesuatu bagi memperbetulkan keadaan? Apakah maksud diam mereka itu? Apakah "diam itu tanda setuju"?

Selama inipun saya tidak suka memberi komen dan lebih gemar mengambil sikap duduk diam. Ini kerana sebagai rakyat, saya mengharapkan para pemimpin yang bijak di atas itu dapat menyelesaikan kekusutan ini. Tetapi saya sekali lagi hampa. Malah, semakin rancak pula si Soi Lek berkempen agar masyarakat menerima gagasan anti-hudud beliau. 

Menambahkan lagi gundah di hati, muncul pula kelompok agamawan tertentu yang membela pendirian Soi Lek yang jelas anti-hudud. Mereka berhujah apa yang ditentang itu merupakan Hudud ala-pembangkang. 

Benarkah Soi Lek hanya anti-Hudud pembangkang? Bagaimana jika kerajaan yang mencadangkan Hudud versi mereka? Apakah Soi Lek dan seluruh masyarakat Cina akan segera mendakap dan menerima cadangan hukum Islam tersebut? 

Perihal maruah bangsa sudah tidak releven untuk kita bicarakan, apakah kini maruah Islam pula hendak dipersendakan? Apakah kita semua sudah "mati hati" untuk merasa marah dan tersinggung terhadap penghinaan ini? 

Saya tidak terkejut seandainya pada PRU-13 nanti, perebutan untuk membentuk kerajaan hanyalah di antara UMNO-DAP-PAS. Bargaining game akan bermula dari ketiga-tiga parti yang dominan ini. Orang Islam perlu "menjelaskan" pendirian mereka terhadap penghinaan oleh Soi Lek dan partinya, sebagaimana "jelasnya" pendirian orang Cina sendiri terhadap DAP.

No comments:

Post a Comment