Thursday, 15 November 2012

Pendapat: Mengapa DAP pilihan yang "Kurang Mudarat"

Saya semestinya tahu bahawa jangan terlalu serius di dalam mendengar sesebuah khabar angin yang disampaikan. Justeru, di sini juga suka saya ingatkan kepada anda semua supaya mengambil langkah yang sama (jangan mudah terima dan percaya) selagi berita tersebut tidak disahkan atau disangkal sendiri oleh 'yang empunya badan'.

Khabar angin tersebut mula timbul dan dibicarakan di beberapa blog berbaur politik seperti di sini (blog 1) dan sini (blog 2). Selebihnya anda bolehlah 'google' sahaja.

Apapun, penyebaran khabar angin tidaklah menarik perhatian saya, melainkan telah mencetuskan perasaan untuk berkongsi pendapat saya tentang tajuk posting kali ini - iaitu menyertai DAP merupakan pilihan yang "kurang mudarat"

Sama ada anda sependapat dengan saya ataupun berbeza, terpulanglah kepada penilaian masing-masing.

Di dalam mengupas tajuk ini, saya cuba membahagikan perbincangan kepada 3 senario berbeza, bagi mewakili keadaan atau kemungkinan yang bakal dilalui sekiranya 'tokoh tersebut' berhajat untuk menceburi dunia politik (dengan bergiat di dalam pertubuhan politik yang sedia ada) pada masa yang akan datang.

Senario 1: Masuk UMNO-BN

Kita seluruh rakyat Malaysia tentunya sudah maklum bahawa UMNO dan PAS bukanlah 2 pihak yang boleh dibawa berbincang. Walaupun wujud usaha ke arah membina jambatan persaudaraan dan persahabatan di atas dasar permuafakatan Melayu dan Islam, setakat ini belum masih membuahkan hasil yang positif. Kebanyakkan sering berakhir dengan kegagalan yang tentunya menggembirakan 'mereka yang berkepentingan' (daripada perpecahan Melayu dan Islam yang berterusan).

Justeru, sekiranya tokoh tersebut memutuskan untuk menyertai UMNO-BN, beliau bukan sahaja mendaftar namanya sebagai 'musuh segera' kepada PAS, bahkan agak cerah nasib beliau untuk seangkatan dengan kelompok 'ulama muda' di dalam UMNO. Tentulah tindakan ini boleh memberikan mudarat dari segi persepsi orang ramai terhadap pendirian politik beliau yang sebelum ini (dilihat lebih lantang mengkritik tindakan kerajaan, membicarakan hal urustadbir kerajaan yang adil, tidak korup, etc. dan kritis men-tajdid-kan minda masyarakat).


Senario 2: Masuk PAS

Sekiranya ditakdirkan beliau menyambut pelawaan beberapa pemimpin tertinggi PAS untuk bersama-sama PAS di dalam menegakkan perjuangan politik Islam, natijah yang sama bakal beliau terima daripada UMNO dan BN (ditambah dengan cabaran penerimaan dalaman oleh golongan ulama sedia ada dalam PAS). 

Berkemungkinan 'kebebasan' dan kelantangannya di dalam berkarya, berdiskusi dan sebagainya (yang dinikmati sekarang) bakal menghadapi jalan berliku apabila beliau ingin mengeluarkan pandangan yang disifatkan sebagai 'melawan arus/jemaah'. 

Tentunya mudarat ini bakal membantutkan usahanya menyebarluas kefahaman tentang agama dan seterusnya men-tajdid-kan minda masyarakat, yang saban hari dibelenggu bermacam masalah yang tidak kunjung sudah. 


Senario 3: Masuk DAP

Seperti sukar dipercayai, tetapi apabila saya fikirkan 'di luar kotak' - iaitu beralih daripada dua kutub (kutub guna agama vs kutub guna bangsa), saya dapati pilihan yang MUNGKIN kurang mendatangkan mudarat kepada (bakal) perjalanan politik beliau ialah dengan menyertai DAP.

Alasannya saya jelaskan menerusi rajah di bawah:

1) Jika beliau masuk DAP saya rasa beliau MUNGKIN mampu meneruskan kelantangannya melontarkan buah fikiran terhadap sesuatu isu terutama yang melibatkan agama dan bangsa. Saya JANGKA rakan DAP dalam pakatan terutamanya PAS (seperti yang kita semua lihat hari ini), lebih banyak berlembut (tapi bukan mengalah) dengan kerenah para pemimpin dari DAP, sekalipun mereka sering menguji kesabaran PAS melalui isu hudud, negara sekular dan sebagainya.

2) Mudarat menyertai DAP juga saya JANGKA sedikit berkurangan kerana permusuhan di antara UMNO - DAP 'ketika ini' masih lagi di bawah tahap permusuhan UMNO - PAS. Logiknya, UMNO tidak akan sewenangnya 'membelasah' DAP kerana sedar konfrontasi tersebut bakal memberikan kesan amat negatif terhadap MCA, sekutu UMNO dalam Barisan Nasional. Di satu tahap, UMNO mungkin akan meredakan konflik dengan harapan sokongan komuniti Cina kepada MCA dan BN dapat dipulihkan setelah pencapaian teruk tahun 2008 yang lalu. 


Itulah sahaja pendapat saya yang kurang celik politik ini. Khabar angin mengenai masa depan politik 'tokoh ini' bisa saja menjadi khabar palsu. Apapun, timbulnya berita 'kosong' ini telah membuka minda sesetengah orang untuk berfikir dan melakukan penilaian. Hanya masa dan takdir ilahilah yang akan menentukan perjalanan beliau seterusnya....

Sekian.

No comments:

Post a Comment