Sunday, 21 October 2012

Tanda Kertas Exam

Seminggu ini saya asyik memerhatikan orang rumah yang pagi - petang - malam sibuk menanda kertas-kertas jawapan peperiksaan pelajarnya. Ada 46 macam jawapan dan ragam yang perlu beliau teliti dan sediliki, sebelum memberikan markah yang setimpalnya.

Sebelum itu lagi, sudah kerap saya lihat beliau berpayahan melayan kerenah 46 macam jawapan dan pemikiran di dalam menilai tugasan, kuiz, test dan juga re-test. Simpati saya kepada dia.

(sumber foto: google images)

Selain melihat beliau membuat soalan, konsultasi dengan pelajar mengenai tugasan dan menilai segala macam tugasan dan ujian, saya turut memerhatikan (lebih banyak mendengar sebenarnya) prosedur dan proses yang dilalui beliau untuk menderaf, memuktamad kertas soalan, membuat skema jawapan dan proses menanda kertas exam

Umum barangkali tidak tahu bahawa proses pemberian dan pengagihan markah exam sebenarnya amat rumit di mana setiap soalan perlu dipastikan memenuhi kriteria yang dinyatakan pada setiap learning outcome (LO) sesebuah subjek. Kepayahan di dalam mengimbangkan keperluan akademik (ilmu teori), dengan kehendak industri, kehendak universiti dan kehendak pembangunan diri pelajar sendiri ini, tidak dikongsi kepada pelajar. Tugas pelajar hanyalah belajar, fahami subjek dan melakukan persediaan terbaik menjawab soalan peperiksaan. 

Demikianlah juga, pensyarah tidak bercerita kepada pelajar betapa mereka (pensyarah) pagi-petang dan malam dihantui pening kepala untuk menanda kertas jawapan mereka yang berbagai ragam dan macam itu. Lebih pening lagi sekiranya ada pelajar yang mendapat markah rendah di bawah C. Ini kerana pensyarah kena pula isi borang tunjuk sebab. 

(sumber foto: google images)

Sekiranya memang pelajar itu tidak performed, dan di pihak pensyarah itu sendiri dia telah menuruti semua prosedur yang ditetapkan oleh pihak universiti, tentulah "malang" itu terkena pada pelajar itu sendiri. Kalau melihatkan aspek teknikal - worksheet kemasukan markah, perbandingan (nota kuliah-skema-jawapan pelajar), ia sepatutnya sudah "bullet-proof", di dalam menjawab pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan markah yang mereka perolehi.

Saya simpati kepada isteri terutama apabila ada di kalangan pelajarnya yang gagal memperoleh keputusan yang baik. Sekalipun tidak ramai, saya dapat rasakan dia agak terganggu dengan nasib yang bakal menimpa pelajarnya. Sungguhpun dia juga sedar bahawa sedari awal lagi pelajar 'bermasalah' itu memang tidak menampakkan minat terhadap kursus yang dia ambil, masih sebagai seorang pendidik, dia tidak dapat membendung rasa sedih dan kecewa itu.

Tentulah saya hanya boleh mendengar keluhan beliau dan tidaklah boleh melakukan apa-apa. Bagi saya "what you give is what you get". Anda bertekun dan berusaha sebaik mungkin, insyaAllah anda akan mendapat pulangan yang bagus. Sebaliknya, jika anda gagal untuk berusaha, maka anda sebenarnya sedang berusaha untuk gagal. 

Di universiti, tiada istilah "spoon feeding" melainkan memberi jalan yang kemudian perlu disusuli usaha sendiri oleh para pelajar. Di universiti, pelajar sudah dikira "matured" (matang), bukan lagi anak-anak di bangku sekolah. Di universiti tiada sistem rotan atau guru disiplin untuk menakutkan pelajar. Paling boleh "diugut" pun jika jumlah kehadiran ke kuliah tidak mencukupi. Itupun peraturan rasmi di semua universiti. Tidak cukup kehadiran, maka boleh digagalkan seseorang pelajar itu. Itupun masih perlu melalui prosedur tertentu yang sebenarnya pensyarah kalau boleh tidak mahu ia berlaku.

Proses untuk menggagalkan pelajar juga tidaklah semudah yang difikirkan sesetengah orang. Sepanjang pengamatan saya, tidak pernah lagi saya dengar pensyarah itu "suka-suka nak gagalkan pelajar". Kalau pensyarah tu gila, mungkinlah berlaku. Ini kerana pensyarah juga tertakluk kepada peraturan universiti (majikan) - perlu menjawab kepada pegawai atasan di fakultinya.

Sebenarnya di kalangan pensyarah mereka berbincang dan membuat perjumpaan untuk "moderation" dan perlu persetujuan tertentu terhadap markah akhir sesebuah subjek. Ini bermakna seorang pensyarah itu tiada kuasa mutlak terhadap markah untuk subjek yang diajarnya. Ini penting bagi menjaga kualiti dan kredibiliti sesebuah kursus yang ditawarkan.

Sepanjang minggu ini, saya perhatikan orang rumah saya "penat" (mental dan fizikal) kerana beliau amat teliti di dalam menanda dan menilai setiap kertas jawapan pelajar. Malah, bagi kes pelajar yang markahnya sikit lagi "nak naik gred" (dari B+ kepada A- contohnya), pensyarah perlu semak semula kertas jawapan dan "selongkar balik" aspek lain yang boleh dibantu seperti tugasan-tugasan, kuiz dan re-test, untuk mencari jika ada ruang-ruang untuk dibantu memberikan markah agar gred mereka dapat dinaikkan. Dan lebih perlu lagi, kenaikkan markah dan gred yang dibuat pensyarah itu dapat dijustifikasikan secara "legal". 

Di pihak pelajar pula, saya agak mereka tidak tahu mengenai perkara ini. Lazim yang saya lihat, selepas exam mereka akan mencari pensyarah untuk bertanya markah dan ada sebahagiannya lebih gemar merayu supaya tidak diberi markah teruk, seolah-olah pensyarah mereka itu menanda kertas exam mereka "ikut sedap rasa" sahaja. Persepsi ini tidak tepat.

Sebagai pensyarah, banyak yang difikirkan. Selain tidak mahu melihat adanya pelajar yang gagal, atau mendapat gred yang rendah, pensyarah juga "ada hati perut" terutama apabila memikirkan masa depan pelajar itu sendiri. Malah tak terbayang perasaan kedua orang tua pelajar itu apabila mendapati pencapaian anak mereka tidak sebagus yang disangka. Sudah tentu mereka sedih.

(sumber foto: google images)

Saya menulis ini bukan untuk membela pensyarah, tiada benang yang basah untuk ditegakkan. Saya cuma ingin berpesan bahawa setiap pekerjaan yang kita buat itu ada risikonya. Profesyen pensyarah ini bukanlah tugas yang main-main, apatah lagi sekiranya sebarang keputusan itu mempunyai implikasi terhadap masa depan seseorang dan emosi pelbagai pihak. 

Saya harap jika ada pelajar yang membaca entri ini, ketahuilah, kejayaan mahupun kegagalan anda adalah dicorakkan oleh diri anda sendiri. Kalau anda minat, tunjuk usaha dan performed, tiada pensyarah yang waras akalnya dapat menggagalkan anda. Malah, adalah menjadi kebanggaan seseorang guru itu sekiranya kesemua anak didiknya berjaya!

No comments:

Post a Comment