Thursday, 11 October 2012

PIRATE NATION

Saya selalu kagum apabila membaca artikel yang ditulis mengenai kemajuan dan kepesatan pembangunan negara China. Pendek kata, apa sahaja perusahaan sekalipun kecil, wujud di tempat lain di muka bumi ini, jika dibawa dan diusaha oleh pelabur dari China, ianya akan menjadi produk yang laku, bahkan tidak mustahil lebih laku dan berjaya berbanding produk yang asal.

Di dalam sebuah buku yang menarik bertajuk "China Inc." tulisan Ted C. Fishman, beliau merungkai pelbagai fakta dan "kehebatan" revolusi perindustrian di China. 


Bagaimana wilayah kecil seperti Zhejiang telah berkembang menjadi "magnet pekerjaan" yang dituju 9/100 tenaga buruh bagi keseluruhan China, walaupun majoriti pekerjanya hanya dibayar sekitar 40sen/jam.

Perkembangan wilayah-wilayah kecil melalui aktiviti perkilangan turut merangsang kelahiran usahawan "copycat" (peniruan produk), dalam skala yang besar. Bagi mengelakkan persaingan, monopoli dan dominasi dari kalangan pengusaha dan pelabur, setiap industri di dalam wilayah tersebut akan mengamalkan konsep kluster atau pengkhususan produk.

Bagi entri kali ini, saya mengutip kajian yang dijalankan oleh Fishman berkaitan contoh-contoh atau fakta kes melibatkan perusahaan peniruan (atau lebih mesra dipanggil LANUN CETAK ROMPAK) di China:

1) Penghasilan produk tiruan oleh pengusaha kilang arak di wilayah Tianjin yang melibatkan jenama terkenal Heineken dan Budwiser. Beer tiruan ini dihasil dan dipasarkan di restoran dan pusat-pusat hiburan. Beer tiruan lazimnya dijual dalam botol yang nipis dan ramai pelanggan dilaporkan cedera disebabkan botol beer meletup.

2) Produk makanan tiruan di China lazimnya mensasarkan jenama terkenal antarabangsa terutama Coca-Cola, Starbucks, Haagen Dazs dan pelbagai jenama keju terkemuka.

3) Shampo yang dibawah lesen Procter & Gamble terutama Head & Shoulders dan Rejoice dilaporkan diciplak di Lanzhou.

4) Pegawai penguatkuasa di Kenya telah menahan satu penghantaran skala besar membabitkan tayar dan bateri tiruan dari China.

5) Beribu-ribu produk tiruan yang dikilangkan di China menggunakan jenama seperti Tommy Bahama, Polo, Ralph Lauren, Tommy Hilfiger, Hermes, Lacoste, Hugo Boss dan Amporio Armani. Barang tiruan ini hanyalah sebahagian produk tiruan bernilai $1 juta yang dirampas pihak berkuasa di Apex, Carolina Utara. Pengeksport seringkali menggunakan eBay bagi menjual dan bagi transaksi perniagaan.

6) Sekalipun pihak berkuasa China mengumumkan serbuan dan rampasan terhadap produk optik dan kaca mata palsu, masih terdapat 50% produk optik yang dijual di Renmin Road, Guangzhou adalah tiruan. Bingkai cermin mata berjenama Gucci dan Versace hanya berharga $0.80 dan $2.50. Malah jenama lain seperti Louis Vuitton turut dijual, sedangkan LV tidak pernah mengeluarkan sebarang produk optik atau kaca mata. Siasatan pihak berkuasa juga mendapati lebih 80% produk ciplak ini memudaratkan mata.

7) Ford Motor menyalahkan pengkilang alat ganti tiruan di atas kerugian berjumlah $1 billion yang dialaminya setiap tahun. Satu serbuan ke atas kilang di China yang memproses brek pad palsu telah berjaya merampas lebih 7,000 set brek palsu bagi kenderaan Ford. Jika kepesatan industri peniruan alat ganti kenderaan dapat disekat, dianggarkan lebih 210,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

8) Pada Julai 2004, dua warga Amerika ditahan di Shanghai bersama-sama 210,000 DVD filem cetak rompak.

9) Dianggarkan beratus ribu salinan cetak rompak buku Harry Potter karya JK Rowling dijual di seluruh China. Kejayaan mereka di dalam mencetak rompak membolehkan peniru di China mengeluarkan volume mereka sendiri dan masih menggunakan nama JK Rowling.

10) Apabila Yamaha menyaman kerajaan China supaya memberhentikan pengeluar China daripada terus menghasilkan motosikal ciplak tanpa kebenaran Yamaha, pihak yang mewakili syarikat Yamaha telah menunggang 3 buah motosikal Yamaha "Sebenar" ke mahkamah untuk dibandingkan dengan yang "Palsu". Kesudahannya, Yamaha hanya menerima pampasan berjumlah $109,000. Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun menganggarkan daripada lebih 11 juta motosikal Yamaha yang dihasilkan di pasaran China pada 2002, 9 juta merupakan motosikal Yamaha Palsu. Ini menyumbang kepada penurunan jualan motosikal Yamaha di peringkat global.

11) 90% daripada produk Microsoft di China adalah tiruan.

12) Pegawai penguatkuasa di wilayah Shenzhen menyerbu kumpulan kilang pengeluar barangan elektrik yang menghasilkan pemain DVD palsu di bawah jenama Toshiba, Panasonic, Sony, Philips, Sanyo dan pelbagai lagi. Yang lucunya, sebelum serbuan dijalankan, kumpulan syarikat tersebut telah memenangi anugerah kerajaan bagi kategori "an honest private company".

13) Mahkamah Beijing telah menolak saman oleh Toyota terhadap Geely, syarikat pengeluar kereta terbesar China  di atas tuduhan Geely menggunakan logo Toyota pada kenderaan syarikat dan menjualnya. Alasan penolakan oleh mahkamah adalah kerana China tidak mengenali logo tersebut milik Toyota, sedangkan ianya salah satu logo korporat yang terkenal di dunia.

Selain contoh-contoh kes di atas, statistik oleh Fishman turut menyatakan bahawa perusahaan cetak rompak, ciplak dan tiruan dunia adalah berjumlah sekitar $250 billion setahun dengan China menguasai sekitar $19 billion dan mampu menjangkau sehingga $80 billion.

No comments:

Post a Comment