Wednesday, 24 October 2012

IKLAN produk kesihatan yang amat mengelirukan di Harakah (foto)

Mengucap panjang saya apabila terbaca iklan makanan kesihatan keluaran Muslim seperti yang tersiar di dalam akhbar Harakah beberapa minggu yang lepas.

Lihat rajah (iklan) berikut yang sempat saya rakamkan:


Secara peribadi, saya menganggap iklan ini adalah pakej "rip-off yang lengkap" dengan "strategi promosi dan pemasaran yang sempurna":

1) Janji KEAJAIBAN produk, walaupun tidak disertakan sebarang bukti klinikal atau disokong fakta saintifik bagi menyatakan ianya berkesan. 

Amat menggelikan hati saya bilamana mengetahui bahawa pengusaha produk ini "senang hati sahaja" menyatakan produk yang dihasilkan itu berkesan merawat kanser!!! (lihat foto iklan).

Jika ianya (dakwaan terbabit) BENAR (nota: menipu itu berdosa dan boleh masuk neraka. Manakala pihak yang sama "bersekongkol menyebarkan penipuan" si penipu juga akan turut mendapat saham dosa) maka wajarlah kita sarankan supaya semua pusat kajian dan institut kanser, dan kempen melawan kanser yang telah menggunakan ratusan juta ringgit wang untuk menjalankan penyelidikan mencari penawar kanser agar DITUTUP kerana penawarnya telah kita temui (pada produk di atas)!!!! 

Begitu jugalah dengan para saintis dan pelajar jurusan perubatan di semua universiti di dunia ini yang siang-malam bertungkus lumus, selama puluhan tahun mengkaji untuk menghasilkan penawar kanser, perlulah mereka mencari profesion lain kerana penawar kanser rupanya ada pada produk ikan masin keluaran syarikat ini!

Lawak sebegini turut menimbulkan 2 soalan lanjutan seperti berikut:

i- Adakah produk ini telah melalui proses Research and Development (R&D) di MAKMAL milik syarikat tersebut, selain turut mematuhi piawaian keselamatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan badan kesihatan antarabangsa?

ii- Adakah produk ini telah turut dihantar untuk diuji dan seterusnya lulus ujian makmal yang dijalankan oleh badan bebas sama ada ujian makmal di dalam mahupun luar negara?

2) Dilabel sebagai PRODUK MUSLIM (kadang-kala produk dilabel "Produk Sunnah") bertujuan menarik pengguna Melayu-Islam.

Seringkali apabila ada pihak yang kritikal terhadap sesetengah produk kesihatan alternatif keluaran bumiputra Muslim, antara suara sinis yang kedengaran adalah: "dengki la tu, tak senang tengok orang Melayu dan Islam maju dalam perniagaan!"

Dude, ini bukannya soal siapa dengki siapa. Pokok pangkalnya adalah keinginan untuk membantu insan lain mendapatkan pendapat kedua (second opinion) mengenai kebaikkan atau risiko sesuatu produk. Ia juga untuk membantu mendidik pengguna supaya tidak mudah terpesona dan terpedaya dengan pelbagai janji manis pengeluar sesuatu produk. 

Tak salah kalau nak berjaya dan jadi jutawan. Tetapi jangan sesekali menggunakan cara yang mengelirukan pengguna demi mengaut keuntungan.

Lebih penting lagi, niat saya yang mengkritik ini adalah demi menjaga kesucian agama Islam daripada dimanipulasi oleh golongan peniaga demi melariskan produk jualan mereka. Andai ditakdirkan sesuatu produk itu membawa mudarat, bukan sahaja pengguna teraniaya, malah bukankah nanti agama Islam yang suci ini juga akan turut terheret serta terpalit dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan negatif?

3) Diperkuat atau diperkasa dengan ayat-ayat Qur'an tertentu.

Benar, al-Qur'an itu merupakan penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Ia merupakan suatu bentuk ikhtiar yang boleh kita ambil. Tetapi, sebagai orang Melayu Islam, takkanlah kita sendiri tidak mampu membaca al-Qur'an? Bukankah membaca al-Qur'an itu tuntutan buat setiap dari kita?

Saya khuatir dengan "skala komersil" ini, pengusaha produk ini mungkin "memperkasakan" produknya dengan kaedah yang tidak sebagaimana difahami oleh para pengguna Melayu Islam. 

Question: Kita sering tertanya-tanya, bagaimanakah rupanya / kaedahnya sesuatu produk itu diperkasa dengan ayat al-Qur'an?

Adakah pihak syarikat mengupah para ustaz bekerja secara shif untuk mengalunkan bacaan al-Qur'an tatkala produk itu melalui production line? Atau demi mengejar kuota pengeluaran dan tempahan pelanggan yang besar (skala komersil), pengusaha sebenarnya hanya pasang CD bacaan al-Qur'an? Dan kemudiannya mendakwa itulah yang dimaksudkan dengan "produk diperkasakan dengan ayat-ayat al-Qur'an". Kalau sekadar pasang CD, pengguna pun boleh buat sendiri di rumah masing-masing.

Adakah perbuatan sebegitu (andai berlaku) sebenarnya lebih mendekati kepada amalan mempersendakan (memperguna) agama demi mengaut keuntungan?

4) Membawa kepada "pukulan" harga produk hingga menjadi tidak munasabah mahalnya. 

Produk yang dihasilkan di atas "label" Muslim mahupun Sunnah sewajarnya tidak menekankan aspek mengejar keuntungan. Bahkan, produk ajaib dengan penawar kepada 1000 macam penyakit kronik sebegini patutlah dijual pada harga "seikhlas mungkin" supaya selari dengan tuntutan al-Qur'an dan al-Sunnah (selain mengelakkan ianya dicop sebagai cuba mengeksploitasi agama demi mengaut keuntungan duniawi).

Tetapi apa yang selalu berlaku adalah sebaliknya. Produk-produk Sunnah ini, walaupun boleh didapati dalam bentuk konvensional (iaitu ikan masin biasa di pasar), seringkali dijual dengan harga yang tidak logik mahalnya. 

Sukar untuk akal ini menerima di manakah logiknya untuk seseorang pengguna (pesakit kanser contohnya) membayar RM200 bagi harga sekilo ikan bilis. Sedangkan kita boleh beli sekilo ikan bilis pada harga sekitar RM30 di pasar dan balik ke rumah kita pasang bacaan al-Qur'an dari YouTube secara percuma. Boleh nampak tak betapa besarnya perbezaan harga produk konvensional vs "Sunnah/Muslim" itu?

Sudah nampak menjadi trend pula penggunaan "label" produk Muslim dan "label Islam (guna ayat Qur'an)/al-Sunnah" ini dijadikan asbab bagi para peniaga menjustifikasikan kenaikan harga produk yang mereka jual itu secara "gila-gila" mahalnya!

Memanglah dengan harga mahal sebegini usahawan-usahawan Melayu Muslim akan lebih cepat kaya dan hidup senang. Tetapi di manakah "keberkatan" terutama setelah mereka mendakwa produk berubat tersebut dapat merawat kanser, etc. selain mengandungi / menerapkan unsur-unsur agama.....

Fikirkanlah!

1 comment:

  1. Inilah namanya kapitalis agama. Mereka menjual agama untuk mendapatkan habuan dunia yang sedikit. Bahkan semua ini bukannya mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam. Lebih dari itu ia memberikan fitnah kepada Islam sebagai agama jampi dan "teko Aladin".

    Dunia ada sistem dan dengan sistem itu ia ditadbir. Itulah SUNNATULLAH.Mereka membakulsampahkan sunnatullah!

    ReplyDelete