Wednesday, 19 September 2012

PAS Perlis Perlu Belajar Daripada Pengalaman Terengganu - Suatu Pandangan


Canang

Apabila diamati, ramai pula orang yang mengulas keceluparan Pengerusi DAP Perak di dalam twitternya berkenaan “pembaziran masa dan tenaga umat Islam”. Nasihat saya, pemimpin yang berkenaan “jangan jadi kaduk naik junjung”. Kelak rakyat sendiri akan mengadili perbuatan "kurang bijak lagi tak bertempat" anda.

Apapun, hati saya sebenarnya lebih tertarik untuk memberikan komen terhadap sebuah artikel yang disiarkan di akhbar online, the Malaysian Insider hari ini, bertajuk "PAS yakin tawan Perlis kerana perpecahan UMNO".

(google images)

Tertariknya saya adalah kerana (1) selain dakwaan berlakunya perpecahan di dalam UMNO Perlis, yang dilihat bakal mengalih sokongan para pengundi kepada PAS Perlis, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Hashim Jasin juga; (2) mendakwa pembangkang telah mendapat sokongan besar dari kalangan kaum Tionghua, situasi yang beliau sifatkan lebih baik berbanding ketika PRU yang lepas.

Feel good factor?

Pada pendapat saya, apa yang dicanangkan oleh Ustaz Hashim itu, sebahagian besarnya merupakan ulasan yang bersifat SUBJEKTIF. Dengan erti kata lain, pernyataannya telah dibuat tanpa disokong oleh data kajian mahupun melalui bukti yang kukuh, sama ada dakwaan wujudnya perpecahan dalam kalangan pemimpin UMNO negeri, mahupun sokongan yang sebenarnya diterima PAS negeri daripada pengundi kaum Cina.

Sebagaimana pernyataan beliau yang disiarkan oleh the Malaysian Insider:

“Perubahannya sangat menarik di Perlis ini. Masyarakat Cina cenderung kepada Pakatan sekarang. Misalnya di Sanglang, kawasan saya bertanding sebelum ini. Dulu masa PRU 12, saya dapat 30 undi sahaja dari 800 pengundi Cina yang ada. Sekarang ini, saya rasa BN akan dapat 30 undi itu dan selebihnya calon PAS akan dapat. Saya kira antara 70 hingga 80 peratus dari mereka menyokong Pakatan dalam pilihan raya akan datang ini. Dan yang menariknya, ini kali pertama fenomena ini berlaku di negeri ini.” (SUMBER)

Benar, adalah mudah bagi seseorang pemimpin itu menzahirkan perasaan yakin dirinya melalui pernyataan berbentuk “saya rasa" ataupun "saya kira", dan sebagainya. Namun begitu, tanpa adanya bukti dan data sebagai menyokong dakwaan-dakwaan tersebut, ianya tidak lebih (saya anggap) sekadar ingin mencipta “feel good factor” terutama terhadap kumpulan pemimpin dan pendokong PAS di Perlis.

Ini merupakan observation saya dan maaf seandainya anda yang membaca merasa saya nyata tersilap terhadap observation (tinjauan terhadap pendapat) saya ini.

Saya juga khuatir sekiranya luahan “feel good factor” ini akan segera diyakini dan “didakap kuat” oleh pimpinan serta para pekerja parti sehingga mereka juga merasa cukup yakin bahawa “kelebihan” ini (perpecahan UMNO) bakal membawa mereka mengambilalih teraju pemerintahan kerajaan negeri.

Sekali lagi, apa jua pendapat anda, ianya merupakan hak anda dan terpulang untuk membuat penilaian dan keputusan masing-masing. Tetapi sebelum itu, di sini juga suka saya kongsikan observation saya terhadap fenomena yang “seakan sama” yang dialami oleh PAS Terengganu pada PRU ke-12. Barangkali ada pengajaran tertentu yang releven untuk direnung dan difikirkan bersama oleh kita semua.

"Keunikan" Terengganu

Jika tidak silap saya, waktu hampir dengan PRU-12 yang lalu, bertiup kencang juga perkhabaran mengenai perpecahan dalaman yang berlaku dalam UMNO Terengganu. Ramai pemerhati dan penganalisis politik “tidak rasmi” yang muncul waktu itu (di blog politik) melabelkan ianya adalah pertembungan di antara 2 kem iaitu Idris Jusoh (kem Besut) dan Mat Said (kem Kemaman).

Dan kemuncak kepada manifestasi “perpecahan” ini juga telah mempopularkan suatu ungkapan yang semua kita tahu mengenainya hari ini iaitu “Kami nok Derih Natang!”. Anda masih ingat?

Menurut rumusan para pemerhati dan penganalisa politik Terengganu, waktu itu, pendek kata keadaan digambarkan begitu meruncing dalam UMNO Terengganu dan itulah peluang terbaik bagi parti PAS untuk kembali bertapak di Terengganu - setelah “terpukul dengan teruknya” pada pemilihan sebelumnya.

Sebagai anak Terengganu, isu ini tentunya menarik perhatian saya kerana adalah menjadi hasrat peribadi untuk melihat berlakunya pertukaran kerajaan yang ada sebagai tanda rakyat berani untuk menentukan dan memilih mana-mana parti yang dirasakan mereka boleh menjamin kesejahteraan rakyat. Dan juga sebagai simbol sesungguhnya masih ada masa depan terhadap amalan “sistem 2 parti”.

Malangnya, di sebalik “perpecahan” (dalam UMNO) yang dicanangkan oleh pemimpin pembangkang dan para penyokong mereka di Terengganu, keputusan yang terhasil adalah meleset jauh daripada apa yang dicita-citakan. UMNO menang besar. 

Tidak dapat disangkal bahawa itulah ketentuan dan kuasa Allah Taala. Begitupun, sebagai insan yang diberikan tanggungjawab serta akal fikiran oleh Allah, kita tidak dapat mengelak daripada memiliki perasaan ingin tahu. 

Mengapa hal ini berlaku? Atau lebih tepat lagi, mengapakah “perpecahan” dalam UMNO (yang giat dicanangkan) masih gagal memberi kemenangan buat PAS Terengganu?

Di samping faktor takdir dan ketentuan ilahi, observation saya yang dhaif ini menemui 2 perkara iaitu:

(1) Walaupun UMNO dilihat bergesel di peringkat atasan (dikatakan wujud hubungan yang keruh lagi dingin bak salju di kalangan ADUN, EXCO dan Pemimpin Negeri), secara umumnya rakyat Terengganu masih lagi bersatu menyokong UMNO. Bererti, alasan perpecahan di peringkat atas tidak sesekali mempengaruhi sokongan atau minat rakyat di bawah, sehingga ke tahap mahu menukar kerajaan yang ada.

(2) Terengganu ini unik kerana di negeri ini tidak menerimapakai istilah “beri wang ambik, tapi undi orang lain”. Di kebanyakan kes, termasuklah di Hulu Terengganu pun, siapa yang memberi wang, pihak itulah yang akan dipangkah. Siapa yang berbudi (dengan wang bantuan), kepada merekalah sokongan akan dibalas. Saya tiada idea sama ada pemikiran rakyat Terengganu mampu “dimerdekakan” ataupun akan ia berterusan dan disuburkan sehingga ke suatu tahap boleh “diwariskan” pula kepada generasi yang terkemudian. Jujurnya saya tidak tahu.

Pengundi Cina & Faktor Ekonomi

Baiklah. Berbalik kepada pernyataan Ustaz Hashim mengenai sokongan kaum Cina kepada pembangkang, PAS Perlis juga perlu melihat dan membuat “survey of Chinese communities” untuk melihat trend, keperluan sebenar serta aspirasi mereka terhadap politik dan corak pentadbiran negeri.

Dengan cara ini, PAS negeri akan mendapat serba-sedikit idea terutama berkaitan “kekuatan sokongan” terhadap parti – iaitu apakah ianya (sokongan itu) disebabkan keupayaan PAS menampilkan sesuatu yang mereka inginkan, atau mereka sebenarnya sekadar bermain “tarik-tali” dengan UMNO negeri supaya memberikan perhatian terhadap permasalahan dan tuntutan mereka sebelum PRU ke-13 nanti, jika UMNO mahu mengekalkan sokongan kaum Cina.

Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa bangsa Cina majoritinya adalah golongan peniaga. Justeru, selagi UMNO berupaya menjamin dan mengekalkan persekitaran perniagaan yang baik buat mereka (seperti yang dibuat Mahathir selepas krisis kewangan 1997), rasanya UMNO tiada masalah untuk meraih kembali sokongan padu kaum peniaga ini.

Malah, sebagai kaum peniaga, orang Cina saya lihat memiliki financial independent yang jauh lebih kuat berbanding orang Melayu (termasuklah Melayu yang tinggal di Hulu Terengganu).

Justeru, istilah “terima wang kena sokong” tentulah tidak terpakai ke atas mereka. Dengan financial stability (less dependency) yang kuat, kaum Cina juga berupaya mewujudkan strong society dan seterusnya meningkatkan bargaining power komuniti mereka terhadap sebarang tuntutan mahupun permintaan terhadap sesebuah parti politik (yang sedang terdesak).

Penutup

Di akhirnya, saya mensarankan agar pihak-pihak yang terlibat agar menilai dan memikirkan semula dengan serius:

(1) Apakah rakyat Perlis juga secara majoritinya berkongsi “feel good factor” sebagaimana dirasakan oleh Ustaz Hashim?

(2) Apakah wujud isu besar selain perpecahan parti lawan (di peringkat atasan di dalam UMNO negeri), sehingga mampu “menggoyahkan kepercayaan dan keyakinan” pengundi terhadap kerajaan negeri sekarang?

Jika tidak dinilai dan difikirkan kedua-dua perkara tersebut (disamping banyak lagi perkara yang anda sendiri boleh senaraikan), saya khuatir ianya akan tinggal sebagai “feel good factor” pemimpin PAS. Bahkan, saya juga khuatir PAS Perlis tidak akan mendapat sokongan yang cukup kuat sehingga dapat membenarkan berlakunya peralihan tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perlis.


(sumber foto: FB Tuan Loyar)

Rakyat Perlis sendiri rasanya masih ada rasa sayang kepada UMNO.

No comments:

Post a Comment