Saya mulakan posting ini dengan membawa firman Allah Taala dalam Surah al-Munafiqun (Ayat 10-11):
Terjemahan:
"Lalu mereka berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematianku) walau sejenak, agar (dengan waktu yang singkat itu) supaya aku dapat bersedekah dan aku termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh. "Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan."
Berharganya sebuah kehidupan
Perjalanan hidup ini adalah sesuatu yang misteri. Nikmat hidup yang dikecapi dan ujian yang menimpa juga memberikan "warna" serta asam-garam kepada kehidupan.
Insan yang melalui (kehidupan ini) juga melihat perjalanan hidup ini menurut dimensi masing-masing. Ada yang bersyukur dan menjadi mukmin yang soleh dan beriman, malah tidak kurang juga yang terus alpa dan mensia-siakan waktu hidupnya.
(google image)
Pun begitu, pada ayat di atas Allah Azza Wajal telah mengingatkan kepada kita yang masih hidup ini bahawasanya kesemua mereka yang diambang kematian dan telah mati, mereka kesemuanya cukup mengetahui akan harga sebuah kehidupan.
Di dalam hal ini termasuklah mereka yang (mati) ini semasa hayatnya di dunia itu adalah hamba Allah yang beriman, atapun yang kufur dengan nikmat dan nilai kehidupan yang dikurniakan Allah Taala.
Orang-orang mukmin yang telah dijemput pulang oleh Allah kita lihat semasa hayatnya memang menghargai dan menilai tinggi harga sebuah kehidupan. Kerana itulah mereka tidak bisa melakukan sesuatu perbuatan yang sia-sia lagi merugikan. Kehidupan yang sejenak di dunia telah dimanfaat sepenuhnya dengan melakukan amal ketaatan kepada Allah Taala.
Dan setelah mereka bertemu ajal, bergembiralah mereka setelah dipertemukan oleh janji-janji Allah sewaktu hayat di dunia (melalui ajaran Al-Qur'an) dan menerima sebaik-baik balasan di atas amalan tersebut.
Manakala, bagi golongan kuffar dan ahli maksiat pula, yang semasa hayatnya di dunia tidak tahu menilai betapa mahalnya harga sebuah kehidupan yang dikurniakan Allah Azza Wajal, setelah matinya, diselubungi penyesalan yang amat sangat.
Setelah didatangi ajal, barulah mereka ingin menghargai kehidupan dunia, betapa sia-sianya masa dan umur yang diberikan kepada mereka, dengan melakukan perbuatan dan amalan yang mungkar lagi bertentangan dengan suruhan Allah.
Pun begitu, mereka masih cuba merayu kepada Allah agar ditangguhkan kematian mereka sekalipun hanya sejenak supaya dengan penangguhan itu, kononnya mereka akan menghargai baki kehidupan dengan melakukan amal-amal yang soleh.
Latih diri dengan disiplin urus waktu
Apabila sudah mati, tiada lagi jalan kembali kepada kehidupan dunia, apatah lagi untuk merubah dan memperbaiki apa-apa.
Justeru, sebagai persediaan bagi menempuh perjalanan yang kekal abadi, bekalan yang hendak dibawa perlu dipastikan ada dan disediakan secukupnya. Di sini wajarlah kita mengambil pengajaran atau iktibar dari sifat golongan yang soleh.
Iaitu menghargai dan memenuhi masa serta umur yang Allah kurniakan kepada diri kita dengan amal kebaikan. Mereka yang soleh tidak akan merayu kepada Allah Taala apabila ajal mereka tiba. Ini kerana semasa hayatnya, mereka telah menggunakan umur yang diberi semaksima mungkin dengan berbuat kebaikan yang membawa mereka kepada redha Allah.
Justeru, orang-orang yang beriman (yang tahu mengurus masa dan umur) juga tidak bersedia untuk menjadi penagih masa di hari akhirat kelak. Sesungguhnya kedatangan qiamat telah menutup segala rayuan dan penyesalan.
(google image - urus masa)
Berbeza sekali dengan mereka yang kuffar dan pelaku maksiat bilamana mereka berusaha merayu agar Allah dapat mengembalikan mereka ke dunia untuk berbuat kebaikan, walaupun sejenak. Ini kerana mereka inginkan (dengan amal kebaikan) Allah akan meringankan azab-Nya ke atas diri mereka.
Namun, rayuan mereka gagal. Pun begitu, mereka kemudiannya berharap agar mereka akan mati apabila berada di dalam bakaran api neraka sebagaimana matinya insan itu di dalam api di dunia. Dengan berfikiran begitu (mati dibakar api di dalam neraka), mereka fikir tentulah tidak lagi merasai pedihnya azab Allah ke atas mereka.
Tetapi Allah Azza Wajal telah menisytiharkan bahawa tiada lagi mati kepada ahli syurga dan ahli neraka, sedang mereka akan kekal hidup di dalamnya sepanjang masa.
Ahli-ahli syurga akan kekal menikmati kelazatan syurga tanpa mati lagi, demikian jugalah dengan ahli-ahli neraka yang kekal meratap dan diseksa di dalamnya tanpa mati lagi.
Namun, apakah peringatan dan amaran oleh Allah Taala ini didengari setiap kita?
Sebagai penutup, saya bawakan ingatan berikut iaitu firman Allah di dalam Surah Nuh, ayat 7:
Terjemahan:
"Dan setiapkali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutup bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan terlalu sangat".
Moga diri kita, isteri-isteri kita, anak-anak kita dan seluruh kaum keluarga dan masyarakat kita terhindar daripada kerugian dan penyesalan ini (kerana alpa dan tidak menghargai masa dan umur yang dikurniakan Allah).
Ingatlah bahawa pemberian (masa dan umur) ini amatlah mahal harganya dan terlalu tinggi nilainya. Manakala kesemua pemberian ini tetap akan ditanya dan dihitung (terhadap apa yang telah kita kerjakan semasa hidup) di hadapan Allah pada hari kita bertemu dengan-Nya.
(idea penulisan dicetuskan hasil penelitian karya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (1996). Melihat Qiamat dari jendela Al-QurĂ¡n <--- bukan buku politik).
Terimakasih pak cik Atas nasihatnya, semoga mati adalah perjumpaan kita dengan Allah Jalla wa'Ala, bukan suatu "penyesalan yg terlambat". Aamiin.
ReplyDelete