Friday, 24 August 2012

Menyedihkan

Peristiwa waktu Maghrib di surau tadi benar-benar meruntum hati dan nurani saya selaku salah seorang ahli kepada kariah di situ.

"Tuan, saya mau azan (maghrib), boleh?" Seorang jemaah mengajukan soalan (lebih kepada permintaan) kepada salah seorang AJK surau.

"Awak Bangla, tak boleh azan sebab takut sebutan awak lari dan jadi salah maksud. Kalau Melayu atau Indon tu saya boleh benarkan sebab sebutan lebih kurang sama". Lebih kurang begitulah jawapan yang "Tuan" tersebut berikan.

Saya lihat raut wajah saudara Bangla yang bertanya itu jelas kecewa apabila permintaannya ditolak mentah-mentah. Tambah memilukan (memalukan kalau kena pada saya), perbualan tersebut mengambil tempat betul-betul di depan saya yang sedang duduk berhadapan sejadah Tuan Imam yang akan memimpin solat berjemaah sebentar lagi.

Tersentak saya. Sedih pun ada apabila memikirkan bagaimana mungkin seseorang itu mampu menilai kemampuan (agama) seseorang yang lain hanya kerana bangsanya, walhal sahabat itu belum-pun diuji (dengan diberikan peluang dengan sewajarnya)?

Teruk sangatkah sebutan atau makhraj serta nahu saudara seagama tetapi berbangsa Bangla itu? Saya tidak tahu. 

Atau mungkin "Tuan" itu telah terkhilaf sehingga tidak sempat memikirkan jawapan terbaik untuk diberikan buat saudara Bangla tersebut. Mungkin juga.

Walau apapun alasannya, peristiwa tersebut telah mengembalikan ingatan saya terhadap pengalaman sepanjang hidup di bumi asing, suatu ketika dahulu.

Sepanjang pengalaman saya tinggal dan beranak-pinak di bumi Oxford (sahabat di sana yang membaca entri ini mohon betulkan fakta sekiranya saya salah), komuniti Islam Bangladesh merupakan antara kelompok yang aktif menjaga dan mengembangkan syiar Islam di bumi Oxford dan UK. 

Bandar ilmu Oxford telah menjadi bukti keunggulan dan kesungguhan masyarakat Islam Bangla di dalam memastikan saudara se-Islam yang lain termasuklah orang Melayu seperti saya tidak terkontang-kanting mencari tempat untuk mempraktikkan Islam-nya di bumi asing.

Masjid Bangladesh di Cowley Road dan Bath Street Mosque ditadbir oleh komuniti Bangladeshi Oxford dan besar jasa mereka di dalam menyembangkan syiar Islam.


Justeru, maaf katalah, saya MENG-ANDAIKAN (kemungkinan sahaja) "Tuan" itu seorang yang kurang mengembara untuk melihat bagaimana perkembangan Islam berlaku di tempat orang, justeru selera beliau lebih berpaksikan "sajian tempatan".

Berdasarkan pengalaman bersolat (fardhu mahupun tarawikh) di kedua-dua masjid ini, saya dapati mutu bacaan para imam mereka adalah baik. Sekalipun lidah mereka bukanlah Arab, masih, pada penilaian saya kualiti bacaan mereka lebih baik berbanding sesetengah para Imam Melayu kita.

Bukan untuk mencetuskan kemarahan sesiapa, jauh sekali untuk menghina "Tuan" tersebut, tetapi itulah sekadar berkongsi pengalaman saya sepanjang mengembara dan tinggal di tanah Barat, yang indahnya kerangka Islam itu jelas kelihatan setelah dicorakkan oleh pelbagai kaum Muslimin dari pelbagai negara.

Saya berdoa agar insiden tadi tidak akan berulang. Ini kerana saya tidak mahu menyibukkan diri. Memalukan imej Islam sahaja kalau itulah cara kita menilai (kualiti) orang. 

Sepatutnya sebagai orang lama, AJK pula tu, kita dianjurkan agar bermanis muka dan mengalu-alukan kesudian dan kerelaan saudara se-Islam. Bagi peluang untuk dia buktikan, dan barulah kita nilaikan. 

Bagi seorang buruh kasar (Bangla itu) yang boleh istiqamah ke surau setiap malam bagi saya itu sudah cukup baik, andai nak dibandingkan dengan ramai lagi orang Melayu kita yang selesa bersolat di rumah masing-masing. 

Moga Allah Taala granted satu peluang buat sahabat Bangla itu untuk melaungkan azan di surau itu, suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment