Wednesday, 29 August 2012

BN Kuat Apabila Rakyat Berterima Kasih

Imbas PRU ke-12

Landskap politik Malaysia telah bertukar wajah selepas pilihanraya umum (PRU) ke-12 tahun tahun 2008. Entah di mana silapnya percaturan dan perancangan, menyebabkan parti yang memimpin Kerajaan Persekutuan semenjak kemerdekaan negara hampir setengah abad, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, telah menerima tamparan paling perit, menyakitkan lagi mengaibkan.

Bukan sahaja mereka kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, malah turut terlepas tampok pemerintahan di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Perak, bagaimanapun, dikembalikan ke pangkuan UMNO dan BN pada tahun 2009 apabila 3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) menjadi ADUN Bebas dan berikrar untuk menyokong BN. Tambah memeritkan, pencapaian baik UMNO pada PRU ke-11 (tahun 2003) gagal diteruskan di negeri Kelantan, malah menerima pukulan lebih berat di sebalik "cakap-cakap berdengung" kononnya Kelantan akan mereka tawan pada PRU ke-12.

Andainya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu sebuah negeri, maka ia juga akan dikira terlepas daripada tangan BN-UMNO. Ini kerana di WPKL, BN hanya menang 1 kerusi, dan itupun di kawasan di mana undi pos menyumbang 25% daripada jumlah undi keseluruhan. Manakala baki 11 kerusi lagi ditawan oleh wakil-wakil yang diutuskan oleh PR.

(google images)


Begitulah serba-sedikit imbasan keputusan dan pencapaian BN pasca PRU ke-12. Anda tentunya telah berdarah telinga mendengar angka-angka yang disebutkan. Barangkali jika sering ianya diulang-ulang, boleh menjadi gaduh pula.

Namun, di sebalik kesemua senario itu, apa yang boleh semua pihak pelajari adalah, "perubahan" serta "kehendak" para pengundi pada PRU ke-12 dilihat lebih demanding dan sophisticated dan ini telah menghadirkan cabaran kepada semua parti politik yang terlibat.

Tuntutan baru serta perubahan mood pengundi ini akhirnya memaksa semua pihak, baik BN mahupun PR merenung dan seterusnya menilai semula pendekatan (approach) mereka berpolitik serta cara mereka menangani kerenah dan tuntutan para pengundi.

Jika dahulunya, janji-janji seperti "hanya kami yang mampu membawa pembangunan", atau "hanya kami yang mampu membela hak dan perpaduan kaum", kini ia mungkin dilihat sudah tidak begitu laku untuk dijadikan modal memikat hati para pengundi (malah dijadikan bahan sindiran pula).

Kebal

Bagi entri kali ini saya ingin mengupas sedikit isu yang dibentangkan oleh Zainal Abidin Ahmad di dalam bukunya yang bertajuk "PRU 13 - UMNO Tumpas?" (2012), terbitan GerakBudaya Enterprise.

Kerana terdapat banyak perkara yang disentuh beliau di dalam naskah ini, dan sekiranya melihat tajuknya sahaja, anda tentu boleh mengagak yang beliau telah cuba bersikap "berat sebelah" di dalam melontarkan idea dan pandangannya. Apapun, itu hak beliau terhadap hasil karyanya. Kita yang membaca perlulah bersikap "selective" (pandai memilih) di dalam menerima dan menilai sesuatu maklumat.

Di awal bukunya, beliau mengemukakan senarai faktor-faktor yang menyumbang kepada kebebalan "kekebalan" UMNO. Ada banyak faktor rupanya. Jadi, untuk mengetahui dengan lebih lanjut saya sarankan anda sendiri beli dan bacalah sendiri naskah tersebut. Tapi dari senarai faktor-faktor tersebut ada satu elemen yang ingin saya petik secara khusus bagi entri ini iaitu "Rasa Terima Kasih".

(google images)


Faktor rasa terima kasih ini rasanya menarik untuk dikongsikan bukan sahaja bertujuan "menumpang semangkuk atau dua mangkuk" akan kehangatan cakap-cakap mengenai PRU ke-13, malah turut berkait dengan sambutan hari Kemerdekaan negara yang ke-55 yang bakal dirayakan beberapa hari sahaja lagi.

Rasa Terima Kasih

Seperti tidak lengkap sekiranya tidak kita bicarakan (atau istilah manisnya "mengungkit") akan jasa serta pengorbanan para tokoh terdahulu, terutama para pembesar dan pemimpin Melayu, terutama mereka yang lahir dan berjuang di bawah panji UMNO - di dalam membela hak dan keistimewaan orang-orang Melayu di Malaya setelah penjajahan Inggeris yang durjana itu berjaya ditamatkan.

Tanggal 31 Ogos 1957, tercatatlah satu detik paling bersejarah di mana di Studium Merdeka Kuala Lumpur, seorang anak Malaya iaitu Tunku Abdul Rahman telah menyempurnakan upacara pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.

Ratusan ribu rakyat yang hadir ke studium keramat waktu itu telah turut menyambut laungan kemerdekaan dengan tangisan dan air mata gembira kerana saat itu jugalah menandakan berakhirnya era penjajahan selama hampir 500 tahun ke atas bumi yang bertuah ini (bermula oleh Portugis 1511, diikuti Belanda 1648 sebelum disambung oleh British sekitar tahun 1824).

Dengan kemerdekaan yang baru menyusul ini, maka muncullah sinar harapan baru bagi rakyat di bumi Malaya untuk membina masa depan baru yang lebih cerah dengan kerjasama dan dokongan pemimpin serta rakyat yang berbilang bangsa dan agama.

Sekiranya di zaman penjajahan, sesuatu pembangunan itu disediakan hanyalah bersifat untuk memenuhi kepentingan mereka, tanpa mengambilkira kehendak sebenar penduduk tempatan. Malah bukan sedikit hasil mahsul Malaya terutama Bijih Timah telah diangkut pulang ke Britain bagi memperkayakan industri dan memajukan negara penjajah itu.

Kini, tampuk pemerintahan telah diserahkan secara rasminya kepada anak tempatan, anak Malaya dan tentulah besar harapan sekalian rakyat untuk melihat para pemimpin kita ini membangunkan "negara muda" ini selari dengan  kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.

Tidak dapat dinafikan (walaupun ada yang secara nakal cuba menafikan), bahawasanya fungsi dan peranan UMNO dan BN (Perikatan ketika itu) adalah amat penting lagi signifikan ketika di peringkat awal negara merunding proses mendapatkan kemerdekaan ini.

Setelah berjaya "menguburkan" gagasan Malayan Union, UMNO bergerak bersandarkan sokongan kuat bangsa Melayu untuk mendesak usaha mendapatkan kebebasan pula daripada British. Bersama-sama rakan dalam Perikatan, usaha dan desakan yang tanpa jemu, akhirnya ia membuahkan hasil setelah Tunku bangun dan bergerak ke arah mikrofon dan meluangkan ungkapan keramat "Merdeka"!

Walaupun tidak lama dahulu timbul "versi lain" tentang perjuangan menuntut kemerdekaan, di mana terdapat pihak yang menghujahkan bahawa bukan UMNO sahaja yang terlibat di dalam usaha membawa kemerdekaan buat tanah Malaya. Gerakan Kumpulan Berhaluan Kiri juga turut "berjasa" di dalam mencorakkan usaha dan jalan ke arah pengunduran British dari tanah bertuah ini.

Tanpa penentangan mereka, sudah tentu pihak British kekal berasa senang hati (feel good factor) dan barangkali berdalih bagi melengahkan tuntutan dan desakan kemerdekaan tanah jajahan yang amat menguntungkan ini.

Walau apapun dakwaan dan andaian yang dibuat, dua perkara penting yang tidak dapat kita pinggirkan adalah (1) pemimpin UMNO-lah (Tunku) yang dengan megah dan penuh semangat melaungkan laungan "Merdeka" seraya mengisytiharkan bumi Malaya ini telah bebas daripada penjajahan, dan (2) UMNO-lah yang menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan "Jalur Gemilang" di Studium Merdeka tanggal 31 Ogos 1957.

Tentunya, sebagai bangsa yang baru mengecap erti kemerdekaan dan kebebasan daripada belenggu dan cengkaman penjajahan, generasi waktu itu, tidak kira Melayu, Cina mahupun India, amatlah mengenang budi terhadap pihak yang berjasa kepada mereka.

Mungkin pahit-maung golongan tua ini tidak kita rasai hari ini kerana untuk membeli tiket wayang pun tidak memerlukan kita bertumbuk dengan sesiapa. Segalanya masih aman dan sejahtera.


Malah, ciri-ciri berterima kasih ini bukanlah asing terutama bagi orang-orang Melayu kerana ianya merupakan budaya serta nilai baik yang diamalkan sejak turun-temurun lagi.

Maka, jasa dan pengorbanan UMNO di dalam memerdekakan negara Malaysia, di sebalik pertikaian sesetengah pihak mengenainya, amatlah diingati dan dikenang oleh orang-orang Melayu khususnya. Tambahan pula, penerapan aspek pendidikan Sejarah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia juga tidak pernah lupa mengajarkan peristiwa penting ini kepada generasi pelajar dan murid.

Dan sebagai tanda terima kasih, UMNO telah disokong dengan sepenuh jiwa dan raga mereka.

Hari Ini Yang Meninggalkan Semalam

Kejayaan UMNO memupuk dan menyuburkan rasa terima kasih rakyat kepada mereka akan dibalas dengan sokongan rakyat terhadap mereka, terutamanya oleh orang-orang Melayu yang sememangnya menerapkan budaya berterima kasih ini.

Di atas faktor kuatnya rakyat berterima kasih jugalah UMNO dan rakannya dalam Perikatan (sekarang BN) berupaya mengekalkan formula perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini.

Rakyat yang kuat rasa terima kasihnya akan menzahirkan perasaan serta sokongan tersebut melalui pelbagai cara termasuklah melalui peti-peti undi. 

Dan bersempena Perayaan Hari Merdeka tahun ini, salah satu caranya adalah dengan rakyat beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang, sebagai tanda semua orang bergembira dan bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

(google images)


Oleh kerana itulah, seperti yang telah saya sebutkan di awal tadi, bahawasanya peristiwa Kemerdekaan ini amat sinonim dengan jasa dan pengorbanan UMNO, maka sekiranya tahun ini rakyat Malaysia dilihat masih "liat" untuk mengibarkan Jalur Gemilang, maka ada asas/logik bagi pihak UMNO untuk merasa "curiga" akan kekuatan mereka (iaitu bimbang dengan tahap sebenar sokongan rakyat kepada mereka). Di kala PRU ke-13 yang semakin hampir, apakah rakyat hari ini mulai kurang berterima kasih kepada kerajaan (secara tidak langsung mula melupai segala jasa UMNO)?

Sekian.

(NOTA: Adalah "tak aci" jika hanya mengusik UMNO. InsyaAllah saya akan mencari masa dan kelapangan untuk menulis perihal pengaruh daripada 'Homogenisation' bangsa Cina ke atas nasib orang-orang Melayu di Singapura, apabila bangsa ini dipaksa menjadi minoriti. Ingat nak tulis mengenai Penang...hehe. Apakah benar statement seorang teman yang berbunyi "kalau belum dapat (kuasa), bukan main lagi manis mulutnya. Tapi apabila dah dapat, habis segala perkara hendak diusiknya". Moga diberikan masa dan kelapangan bagi merangka dan menyiap dan menerbitkannya kelak.)

No comments:

Post a Comment