Saturday, 11 August 2012

Emas Olimpik: Sukan Malaysia perlukan strategi ‘Blue Ocean’


Sekali lagi, impian emas negara di sukan Olimpik berakhir dengan kehampaan. Atlet dan acara yang diharap-harapkan untuk memunculkan pingat emas pertama Malaysia di kejohanan Olimpik terus gagal memenuhi sasaran tersebut.

Kegagalan ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang memeranjatkan, apatah lagi perlu ditangisi. Saya kira beberapa atlit dan acara sukan yang diletakkan untuk membawa pulang pingat emas, telah berusaha sedaya yang mereka mampu. Tentunya menjadi adat sesuatu pertandingan itu, ada yang menang dan ada yang kalah.

Bagi beberapa acara, kekalahan yang ditempa para atlit sememangnya menghadirkan kritikan dari kalangan pemimpin dan peminat sukan di tanah air. Manakan tidak, bukan sejuta-dua wang kerajaan telah dilaburkan bagi membiayai latihan, pengurusan dan persiapan mereka. Bagi beberapa acara lagi, semangat juang tinggi yang telah mereka tunjukkan, sekalipun pulang tanpa membawa pingat emas, masih menerima pujian dan sanjungan melangit para pemimpin dan peminat.

Sukan badminton tentunya tidak asing lagi dan sering dijadikan sandaran lubuk pingat di setiap kali kejohanan Olimpik. Bagi edisi 2012, hanya Lee CW sahaja yang membawa pulang pingat (Perak) setelah tewas di tangan bintang ternama China, Lin Dan. Manakala, nasib jelas tidak menyebelahi pasangan bergu negara yang tewas di penentuan pingat gangsa di tangan pasangan bergu no. 1 dunia dari Korea Selatan.


(google images)

Di penghujung kejohanan, tumpuan dan cakap-cakap mengenai pingat saya lihat agak reda dengan kembalinya Lee CW bersama pingat yang dimenanginya ke tanah air. Sambutan yang diterimanya begitu meriah di samping pelbagai insentif menarik juga bakal beliau nikmati di atas kejayaan merangkul pingat pertama Malaysia di London 2012.

Namun, belumpun sejuk kehangatan peminat sukan tanah air meraikan kejayaan atlet kita yang menebus maruah sukan negara, dengan membawa pulang sebutir pingat Perak yang amat berharga, muncul pula berita gembira kedua iaitu kejayaan atlet penerjun wanita negara Pandalela yang merangkul pingat gangsa bagi acara 10m terjun. Beliau yang ‘memecut’ dari kedudukan belakang akhirnya berjaya memperoleh kutipan mata ketiga tertinggi di belakang jaguh terjun China dan Australia, membolehkan beliau menjadi atlet wanita sulung di dalam sejarah Malaysia yang berjaya naik podium dan menang pingat di kejohanan Olimpik.

(google image)

Bercakap mengenai kejayaan kedua atlit negara, saya teringat komen Lee CW mengenai sistem latihan dan persiapan skuad badminton China yang beliau sifatkan sebagai yang terbaik di dunia. Komen beliau ini telah diterjemahkan melalui kejayaan negara Tembok Besar berkenaan yang menggondol kesemua pingat emas yang dipertandingkan bagi sukan badminton di London 2012.

Nasihat Lee CW itu wajar diambil serius oleh menteri Sukan, Kementerian sukan, para pemimpin BAM, Kelab-kelab badminton, persatuan badminton negeri dan sehinggalah sistem dan latihan yang sedia ada dijalankan di sekolah-sekolah sukan tanah air hari ini.

Ini kerana, kudrat Lee CW mungkin akan berkurangan, selari dengan faktor usianya yang meningkat. Ini bakal membataskan peluang beliau untuk menebus kehampaan Malaysia merangkul emas sulung pada edisi Olimpik yang akan datang di Rio Brazil 2016 kelak.

Justeru, suatu corak latihan dan persiapan yang terbaik perlu diteliti dan segera diterapkan terutama kepada barisan pelapis masa depan jika kita serius ingin meneruskan hajat membawa pulang pingat emas bagi acara badminton.

Ini kerana negara China tidak akan duduk berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan ulung kali ini. Tentunya usaha lebih keras dirangka dan diterapkan seboleh mungkin oleh mereka demi mempertahankan legasi emas acara badminton di Olimpik. China juga boleh dianggap tidak menghadapi krisis ketiadaan barisan pelapis memandangkan pemain mudanya, Chen Long telah meraih pengalaman berharga di pentas Olimpik dengan memenangi pingat gangsa.

Apakah model kejurulatihan dan pembangunan atlit badminton yang perlu kita terapkan supaya dapat menang emas/kalahkan China? Siapakah atlet pelapis yang ingin kita didik dan tonjolkan sebelum tibanya Rio 2016? Berbaloikah sekiranya kita berterusan menyandarkan harapan pingat emas kepada sukan badminton?

Yang di atas itu hanyalah antara persoalan yang boleh ditanyakan kepada para pemimpin dan kementerian yang berkaitan.

Asalkan emas

Berdasarkan kefahaman saya, negara meletakkan sasaran untuk menggapai pingat emas di sukan Olimpik dan beberapa acara dilihat berpotensi untuk menyumbangkan emas tersebut.

Begitupun, secara umumnya, apa jua acara boleh kita fokuskan, selagi ianya berpotensi memberikan pingat emas, sekalipun bukannya sukan yang arus perdana (yang diminati dan dikenali ramai).

Mengenai perletakan sasaran pingat emas bagi acara yang terkenal seperti badminton dan renang (memanah tidak terkecuali), saya dapati peluang untuk atlit Malaysia yang bertanding sentiasa sukar memandangkan itulah juga lubuk utama oleh para pemain bintang bertaraf dunia dari China bersaing. Hakikatnya, persaingan dengan atlet China jarang sekali berakhir dengan kemenangan memihak kepada atlit kita.

Justeru, mengapa kita masih ingin mempertaruhkan peluang merangkul pingat emas menerusi acara yang sememangnya dicengkam begitu kuat sekali oleh atlit dari China, yang menurut Lee CW di awal posting tadi, memiliki dan menerapkan sistem latihan yang terbaik di dunia?

Acara yang kita inginkan sumbangan emas (justeru kita banyak melakukan pelaburan wang, masa, bina fasiliti, upah pakar, etc), tetapi itulah juga “red ocean” buat atlet kita yang bersaing nanti. Tambahan pula, peluang dan masa juga semakin singkat menjelang saingan 2016 memandangkan negara masih di peringkat “bercakap” mengenai mencari pemain badminton pelapis. Itu belum mengambilkira penambahbaikan dan perubahan terhadap sistem latihan dan pengurusan semasa skuad negara.

Hal yang sama boleh kita lihat bagi acara renang. Benar, kemenangan atlit renang pada edisi kali ini telah menjadi bukti bahawa negara sudah mampu melahirkan atlit bertaraf dunia dan berupaya untuk "berdiri sama tinggi" dengan bintang terkenal dari China. Namun, mampukah kita menjamin kecemerlangan ini dapat diperingkat dan mengatasi China untuk pingat emas di Rio 2016 nanti? Ataupun, acara tersebut hanya membawa impian emas Malaysia sekali lagi memasuki “red and bloody pool”?

Atau, pihak-pihak yang berkaitan sukan di negara kita dapat menghasilkan satu analisa yang kukuh, hasil bedah-siasat pencapaian di London 2012 ini dengan melihat kemungkinan lain untuk difokuskan bagi memperoleh pingat emas?

Iaitulah dengan mencari dan memfokuskan kepada acara yang mana “China tidak kuat”, supaya di Rio nanti atlit negara tidak terjun ke dalam “red ocean” atau “bloody pool” bersama-sama bintang ternama dari China“, yang sememangnya ganas dan tidak menjamin prospek emas kepada kontinjen negara.

Justeru, di sinilah perlunya pihak dan badan-badan berkaitan sukan mengkaji penggunaan “blue ocean strategy” dengan mengenalpasti: (1) acara yang atlit China tidak sertai, atau yang mereka lemah; dan (2) acara yang tidak melibatkan persaingan fizikal secara langsung (iaitu acara yang libatkan persaingan dengan diri sendiri).

Saya melihat adanya potensi untuk atlit negara lebih menyerlah di dalam acara melibatkan cabaran terhadap diri sendiri seperti acara menembak, berkuda, memanah dan termasuklah terjun. Pendek kata, acara ini hanya memerlukan seseorang atlit itu bersaing dengan dirinya sendiri. Untuk itu, aspek kekuatan mental adalah teras bagi mengukur pencapaian. Kejayaan bagi acara-acara bercorak sebegini juga bergantung kepada sejauh mana seseorang atlit itu berjaya mengekalkan fokus mereka dan melakukan yang terbaik buat dirinya sendiri, dalam acara yang disertai.

Manakala, acara yang melibatkan pertarungan kekuatan fizikal adalah seperti badminton, lawan pedang, lumba basikal, olahraga berkait rapat dengan persiapan fizikal dan mental, selain diperlengkapkan dengan strategi dan "ilmu teknikal serta tentikal taktikal" yang tinggi bagi mengatasi dan menewaskan lawan. Soalnya, apakah para atlit kita memiliki kelebihan dari segi kekuatan fizikal berbanding lawan bagi acara-acara yang kita sasarkan?

Secara yakin, negara China juga akan segera melaksanakan strategi blue ocean ini berdasarkan maklum balas serta pencapaian atlit mereka di dalam acara-acara yang bukan teras sebaik selesai kejohanan ini. Mereka juga tentu akan merangka sistem latihan yang komprehensif untuk menguasai lautan baru/acara baru/blue ocean di Rio 2016 nanti.

Ayuh teroka dan cipta nama!

Janji pingat emas! Jika itulah sasaran yang masih kita cari, saya sarankan agar pihak dan badan sukan tanah air segeralah menggunapakai dan meneroka “blue ocean”, mengenalpasti acara-acara sukan yang mungkin bukan arus perdana yang popular, tetapi mungkin tiada atlit China atau negara kuasa besar sukan tidak menyerlah, untuk difokuskan bagi mendapatkan pingat emas pertama Malaysia di Rio 2016.

Untuk menerapkan strategi lautan biru ini tidaklah mustahil kerana kerajaan Malaysia telah melaburkan wang yang besar menyediakan "tapak" dengan menyediakan sekolah-sekolah sukan di seluruh negara, sekolah-sekolah projek khas sukan di seluruh negara, menubuhkan kementerian yang khusus bagi menjaga kemajuan sukan (KBS), organisasi sukan yang komprehensif di segenap peringkat, penglibatan aktif di pertandingan sukan di peringkat IPT, kelab, negeri, wilayah, negara (SUKMA), Asia Tenggara (Sukan Asia), Komanwel dan pelbagai lagi.

Kita mungkin boleh bersabar untuk menunggu sukan badminton memberikan pingat emas pertama buat negara sekalipun selepas 2016. Tetapi, bukankah kita juga boleh berbangga sekiranya acara lain seperti menembak dan equestrian memberikan emas pertama Malaysia di kejohanan Olimpik nanti?

Sekian.

No comments:

Post a Comment