Wednesday, 18 July 2012

Renungan: Pendekkan ucapan khutbah

Salah satu "dilema mingguan" saya sementelah pulang ke tanah air ialah apabila tibanya hari Jumaat - lebih tepat lagi, perihal penyampaian Khutbah Jumaat yang terlalu panjang oleh Khatib di masjid tempat saya sering bersolat.

Hal ini bukanlah fantasi, bahkan satu realiti kepada saya. Namun, ianya mungkin tidak dianggap sebagai perkara besar oleh para jemaah lain yang sudah lali dengan situasi ini.

Justeru, tidak hairanlah saya perhatikan semasa khutbah disampaikan, masih ramai pelajar, remaja dan orang dewasa yang duduk lepak, merokok, makan dan bersembang di luar masjid. Ini membuatkan saya terrfikir dan tertanya-tanya "Mengapakah masyarakat kurang minat terhadap khutbah yang disampaikan di masjid kita?"

(khutbah: google image)

Adalah tidak adil untuk saya bandingkan pengalaman bersolat Jumaat di UK yang mana purata panjang khutbahnya adalah sekitar 5 minit sahaja (ada kalanya hanya 3 minit - dalam bahasa Inggeris di Universiti). Tetapi jikalau di "masjid kita" khutbah lazimnya bermula jam 1.30 petang hingga jam 2.00 petang (kadang-kala terbabas hingga 2.11 petang).

Ini saya kira sudah agak panjang (menyebabkan selesai solat sekitar jam 2.30 petang).

Masalah ini mungkin juga berlaku ataupun tidak berlaku di tempat lain. Kalaupun berlaku, saya agak orang kita masih boleh "pejamkan mata".

Namun berdasarkan pemerhatian saya, alangkah eloknya jika pihak masjid dan Khatib dapat melihat kesesuaian terutama memahami "kategori jemaah" yang bersolat Jumaat kerana rata-rata yang hadir di "masjid ini" merupakan kakitangan dan pekerja di agensi kerajaan dan swasta yang berdekatan. 

Pihak yang menguruskan teks dan bacaan khutbah juga haruslah sensitif dan peka bahawa semua jemaah (kakitangan yang bekerja pejabat) juga mempunyai waktu rehat tengah hari yang terhad sebelum kembali menyambung tugas (mana waktu untuk makan, urusan di pejabat Pos, bank, etc).

Makanya di sini, ingin saya kongsikan nasihat dan ingatan berikut, yang terkandung di dalam kitab Shahih al-Imam Muslim:

Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Wa'il r.a:

"Ammar r.a pernah berkhutbah kepada kami dengan singkat, tetapi padat isinya. Setelah dia turun dari mimbar, kami berkata, "Wahai Abul Yaqzhan, sungguh, isi khutbah engkau sangat padat dan singkat, andaikan engkau perpanjang sedikit lagi, tentu lebih baik lagi." Ammar menjawab, "Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya lama shalatnya seseorang dan singkatnya berkhutbah adalah petanda kedalaman agamanya, maka panjangkanlah shalat dan persingkatlah khutbah. Sesungguhnya, sebagian kefasihan (al-bayan) itu mengandungi sihir (mempersona)." (Sahih Muslim 3:12)

Rujuk: Ringkasan Shahih Muslim (Arab-Indonesia) 2004, Bab: Menyingkat Khutbah (muka surat: 239).

Di dalam kitab yang sama juga (muka surat: 241) turut melaporkan hadith berikut:

Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah r.a: Saya biasa mengerjakan shalat bersama Rasulullah s.a.w. Shalat dan khutbah baginda itu singkat". (Sahih Muslim 3: 11).

Nabi s.a.w telah memberikan contoh terbaik sebagai ikutan kita, maka jika kita sedar dan mengikutinya, ia (ikut perbuatan tersebut) merupakan Sunnah. 

(sumber: google image)

Sungguhpun menjadi keutamaan bagi para Khatib hari ini untuk memendekkan khutbah, Baginda Nabi s.a.w juga turut mengajarkan kepada kita yang terkemudian ini tentang apa yang tidak boleh dibuang dari kandungan khutbah.

Sebagaimana diriwayatkan dari 'Adi bin Hatim r.a: 

Seorang laki-laki pernah berkhutbah di dekat Nabi s.a.w, dia berkata, "Barang siapa taat kepada Allah dan RasulNya, dia telah mendapatkan petunjuk, dan barang siapa mendurhakai keduanya, tersesatlah dia". Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, "Sejelek-jelek orang yang berkhutbah adalah kamu. Katakanlah, "Dan barang siapa mendurhakai Allah dan RasulNya, tersesatlah dia." (Sahih Muslim 3: 12, muka surat: 239)

Justeru, sekiranya ada di kalangan pembaca artikel ini merupakan para Imam dan Khatib, saya berharap dapatlah kita semua mengambil iktibar serta pengajaran. Jika wujud kemusykilan, rujukan lengkap telah saya berikan, minta dibuat semakan. 

Pesanan saya kepada pihak masjid dan khatib, berlaku adillah kepada para jemaah di kariah anda dengan meneladani amalan Nabi s.a.w dan para sahabat r.a iaitu memendekkan (memadatkan dengan isi) teks dan bacaan khutbah anda. Namun, janganlah pula ditinggalkan apa yang perlu pada sesebuah khutbah, sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Kembalikan minat golongan pelajar, orang muda dan orang dewasa kepada khutbah Jumaat, bukan sekadar datang, bersembang dan merokok di luar masjid dan berkejar-kejar masuk hanya setelah Imam mula bertakbir untuk solat. 

Allah lebih mengetahui.

No comments:

Post a Comment