Kita ikut harga pasaran, bang
Sabtu lepas saya ke Pameran Hartanah Bumiputra yang berlangsung di PWTC. Ramai yang berkunjung sekalipun pameran yang diadakan itu tidaklah besar. Hanya mengambil ruang foyer depan tingkat bawah PWTC (dan rasanya disertai lebih kurang 50 peserta/pemaju hartanah).
Setia Alam (google image)
Menariknya, setelah 2 round meronda, saya dapati, hari ini, harga rumah yang ditawarkan bagi sekitar Lembah Klang adalah begitu mahal. Rata-rata hartanah ditawarkan pada harga yang mencecah had maksimum bagi pinjaman kakitangan awam. Rasa nak menangis pun ada apabila diberitahu harga rumah-rumah yang dijual. Huhu..
Hasrat mencari rumah teres di sekitar Shah Alam atau Setia Alam atau Bangi semakin hari tampak semakin kurang realistik memandangkan harga Rumah Teres 2 Tingkat di Alam Nusantara (Projek PKNS di sebelah Setia Alam - pertanyaan melalui telefon) sahaja sudah berharga RM550,000.00 (RM620,000 bagi corner lot). Manakala, di beberapa bahagian lain di Lembah Klang pula harga yang lazimnya ditawarkan adalah di sekitar RM500,000+.
Alam Nusantara (google image)
Seingat saya, jarang sekali telinga ini "menangkap ayat" harga rumah sekitar RM400,000, kerana kalau ada penjual yang sebut harga bawah 400K tentu saya akan ingat kerana itulah takat yang boleh "gagah-gagah" lagi bagi mendapatkan government loan (setelah bayar down payment yang tinggi).
Bukan tiada unit landed property (rumah teres, semi-D, etc) yang berharga di bawah RM400,000, cuma ia lebih sesuai jika anda bekerja sebagai pegawai kerajaan di Kuala Selangor, atau pensyarah di UPSI di Tanjung Malim, atau peniaga kain di Bandar Nilai atau yang bersempadan dengannya.
Jika berminat, turut ditawarkan adalah unit rumah Banglow dan Semi-D di bawah RM200,00, tetapi anda perlu berpindah tempat kerja sama ada ke Alor Setar, Kedah ataupun ke negeri Kelantan Darul Serambi Mekah.
Justeru, pilihan yang ada dan realistik (dan mampu milik) adalah unit-unit kondominium dan apartment. Itupun harga ditawarkan adalah sekitar RM250,000 - RM700,000/unit.
Kondominium (google image)
Beberapa pilihan saya dapati agak menarik iaitu projek apartment di Selayang (paling dekat dengan office) yang menawarkan harga RM500,000+ bagi unit 3 bilik, manakala "sky banglow" pula ditawarkan pada harga RM1.1j/unit. Prospek kedua adalah projek kondominium di hadapan kampus MMU di Cyberjaya yang ditawarkan dengan perabot (furnished) dan yang ketiga, di Seksyen 7, Shah Alam.
Beza sedikit, tapi untung besar
Sekarang semacam dilema terutama kepada golongan kelas tengah yang berpendapatan sedikit sahaja di atas garis RM3,000/bulan.
Golongan kelas tengah ini ibarat "terapung-apung" di antara kumpulan berpendapatan rendah yang menikmati pelbagai bantuan kerajaan dan kumpulan berpendapatan tinggi yang majoritinya tiada masalah mendapatkan rumah "pada harga sekarang".
Tambah malang, nasib dan dilema yang dihadapi oleh kumpulan kelas tengah (kumpulan terbesar) ini juga kurang mendapat perhatian, baik kerajaan mahupun pemaju hartanah untuk mengenalpasti apakah keperluan dan kemampuan mereka, terutama di dalam aspek pemilikan rumah.
Jika kita tengok, saban hari di dalam berita TV dan di dada-dada akhbar, kerajaan melalui skim perumahan rakyat (PR1MA contohnya) dan agensi-agensi terlibat lazimnya menyalurkan bantuan perumahan yang khusus kepada golongan rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 (atau RM2,999.99 - paras miskin bandar) dan juga miskin di luar bandar.
Biarpun hanya dengan perbezaan RM0.01, ia mungkin masih boleh dijadikan syarat bagi seseorang itu untuk dipertimbangkan "layak" atau "tidak layak" bagi memohon rumah yang dibangunkan di bawah skim-skim perumahaan kerajaan yang "mampu milik".
Sedangkan dengan perbezaan kecil, pekerja yang berpendapatan RM3,001 contohnya, perlu dan terpaksa membeli rumah dengan margin perbezaan harga yang besar dengan yang berpendapatan di bawah RM3,000.
Lebih malang lagi, pekerja dengan pendapatan RM3,000 mungkin tidak mampu mendapatkan pinjaman bank, menjadikan mereka kekal menyewa, atau hanya layak membeli rumah nun jauh dari tempat kerja, yang mana setelah dicampur dengan kos petrol dan tol setiap hari, tetap merugikan mereka secara jangka panjang. Bahkan, mungkin lebih rugi berbanding rakan yang berpendapatan di bawah RM3,000 yang mendapat rumah di bawah skim perumahaan kerajaan.
Jika mengikutkan pemikiran yang "nakal" ini, hendak juga saya nasihatkan kepada orang lain supaya eloklah dicari pekerjaan dengan pendapatan di bawah RM2,900, supaya berpeluang memohon rumah di bawah skim perumahan kerajaan. Tetapi itu pilihan masing-masinglah.
Pencarian kami akan diteruskan, insyaAllah.
Tengoklah dan fikirlah dulu, di samping berdoa semoga ada rumah yang berkenan dan dipersetujui bersama isteri. Kalau banyak duit tu tidaklah ralat sangat, boleh beli dan simpan sebagai pelaburan. Tapi kami hanyalah orang biasa yang inginkan sebuah rumah untuk tinggal dan tempat membesarkan anak-anak.
Tidak teringinkan kepada "sky-villa" atau luxurious living environment, berpadalah dengan aksess yang baik ke tempat kerja, ada kedai, ada sekolah dan ada surau yang berdekatan.
UPDATED:
UPDATED:
Iklan rumah Link 2-Tingkat di Alam Nusantara (Foto yang diambil sebentar tadi sewaktu singgah menjemput Mawaddah di Kompleks PKNS)
dilema yg sama kita lalui.saat teringin memiliki umah pertama kami harga rumah melambung tinggi.klo 'gagah2' jgn bak dr. ckp tu alamatnya miskin bandar la kami
ReplyDeleteHarapnya, pihak kerajaan melalui Bajet 2013 dapat melihat kembali isu/dilema berkaitan pemilikan rumah mampu milik, terutama buat pembeli rumah pertama.
ReplyDeleteMungkin kerajaan tidak mahu campur tangan di dalam menurunkan harga rumah, namun sebolehnya mengawal (melalui peranan KPKT) aspek spekulasi nilai hartanah/rumah agar tidak menindas atau menyulitkan golongan pembeli baharu.
Juga diharap kerajaan dapat memantau pemaju yang mengambil kesempatan 'kow-tim' dengan agen-agen hartanah yang menjual stok rumah secara PUKAL kepada agen/syarikat besar, yang kemudian dijual semula dengan harga 'mark-up' yang berkali ganda tinggi.
Harapannya begitulah...