Monday, 28 May 2012

Siri Akhir: Korupsi - Implikasi kepada negara

Pada siri sebelum ini saya telah menghuraikan bagaimana korupsi atau rasuah, dan sama ada mereka yang memberi mahupun yang menerima, kedua-duanya telah terjerumus ke dalam satu kitaran ganas yang tidak berkesudahan. Saya juga turut menghuraikan bagaimana rasuah berlaku, i.e. kerana wujudnya peluang-peluang bagi seseorang itu memperolehinya (rasuah). 


Hakikatnya, bagi jangka masa panjang, rasuah akan menjadi "duri dalam daging" serta wabak yang sukar diubati dan akan merosakkan bukan sahaja mereka yang memberi dan menerimanya, bahkan negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Di dalam siri yang terakhir ini saya akan mengupas tentang kesan atau implikasi rasuah kepada kerajaan dan negara. Jujurnya, perbincangan mengenai rasuah ini terlalu panjang dan sukar untuk saya kupas kesemuanya memandangkan saya sekarang lebih banyak "menulis ikut masa dan ikut rasa suka nak menulis".

Korupsi yang melemahkan kerajaan

Bagi sesebuah kerajaan di sesebuah negara, rasuah boleh menghadirkan kesan buruk yang bukan sahaja mampu menggoncangkan pemerintahan, bahkan tidak mustahil ianya boleh menjadi punca kejatuhan sesebuah pemerintahan dan meletakkan negara dalam situasi yang tidak aman.

Sekiranya seseorang pegawai yang diberi tanggungjawab memungut pelbagai bentuk cukai itu sendiri terbabit dengan prilaku rasuah, tentunya kerajaan, secara langsung, akan kehilangan sumber pendapatan hasil kutipan dan perolehan cukai.

Dengan lain perkataan, cukai tidak dapat dikutip kerana ia telah dielak pembayarannya melalui pemberian rasuah kepada pegawai yang terlibat.

Kekurangan hasil kutipan cukai kemudiannya membawa kepada penurunan jumlah pendapatan kerajaan. Ini bermakna wujudnya halangan kepada kerajaan dari segi kemampuan membayar gaji yang adil kepada kakitangannya. Dan apabila gaji yang dibayar tidak adil dan rendah, maka ianya kembali dijadikan alasan mengapa pegawai dalam kerajaan berterusan mengambil rasuah! 

Dapatkah anda melihat kitaran ganas ini dan kesannya? Rujuk rajah.


Rasuah yang sebati sehingga menjadi tabiat dan ketagihan

Seperti yang ditunjukkan pada rajah di atas, situasi ini berlaku kerana kakitangan kerajaan tidak menerima jumlah gaji yang mencukupi bagi menampung jumlah perbelanjaan mereka. Namun, bagaimana pula jika rasuah telah menjadi tabiat (habit), yang tiada kaitan lagi dengan saiz pendapatan "halal" dan sah seseorang pegawai tersebut?

Ini kerana kehendak manusia dan sifat tamak insan itu tiada had dan batasan. Bagi mereka yang berpendapatan rendah mungkin sekali akan berhujah "sekiranya saya dibayar gaji yang tinggi, tentulah saya tidak ambil rasuah".

Namun perlu diingatkan juga bahawa ramai pegawai tinggi yang bergaji besar, mereka juga turut terlibat dengan amalan rasuah. Apakah mereka ini tidak cukup-cukup dengan gaji yang tinggi? Jawapannya adalah: rasuah tidak lagi diambil kerana kesempitan wang, tetapi ianya telah menjadi suatu tabiat dan ketagihan.

Lebih buruk lagi, sifat tamak ini bukan sahaja gagal membendung nafsu insan terhadap rasuah, malah mereka sendiri meminta jumlah bayaran (rasuah) yang lebih besar agar setara dengan gaji besar yang mereka nikmati!


Oleh yang demikian, langkah kerajaan menaikkan gaji belum tentu dapat menghentikan amalan rasuah.

Bagi negara yang mana rasuah sudah menjadi sesuatu yang biasa (common practice), peningkatan kadar gaji hanya akan meningkatkan kadar rasuah. Dengan kata lain, bagi situasi yang amalan rasuahnya sudah diterima secara terbuka, peningkatan gaji bukan sahaja gagal membendung rasuah malah menyubur dan menggalakkan lagi amalan tersebut!

Rasuah: Kita di tahap mana? 

Sesungguhnya tiada negara yang bebas sepenuhnya dari amalan rasuah di dunia ini. Menghapuskan rasuah secara total adalah sesuatu yang dilihat mustahil. Begitupun, masih ada harapan untuk mengurangkan penyakit ini dengan syarat ianya belum lagi mencapai dua tahap kritikal berikut.

Tahap kritikal pertama:

- ialah apabila rasuah masih dijalankan secara "bawah meja" tetapi telah mewujudkan jaringan erat di antara pegawai junior dan senior di dalam sesebuah organisasi. Pada peringkat ini, pegawai yang junior akan menerima rasuah dan akan berkongsi hasilnya dengan pegawai yang senior, dan begitu jugalah sebaliknya. Apabila hal ini terjadi, setiap pegawai tidak kira junior atau senior, mereka akan melindungi satu sama lain. Ini juga mungkin turut melibatkan para pegawai di peringkat tertinggi termasuklah menteri, orang politik, badan kehakiman dan penguatkuasa undang-undang.

- kesan daripada rasuah peringkat ini adalah jelas. Laporan mengenai rasuah sukar mendapat respon. Malah, apabila masyarakat umum ingin mengambil tindakan terhadap pihak tertentu yang ada kaitan dengan rasuah, tiada pihak yang sudi tampil membantu, apatah lagi untuk bertindak, kerana semua pihak di dalam rantaian tersebut juga turut terlibat dengan rasuah!

- pegawai mahupun menteri yang rasuah mungkin boleh diganti dengan orang lain. Namun begitu, "orang baru" itu juga tiada jaminan yang dia boleh selamat dan terlepas daripada cengkaman rasuah. Sekalipun mereka yang "bersih" ini enggan bersekongkol, besar kemungkinan mereka akan "lumpuh" (dipulaukan) oleh kerana staf bawahan mereka tidak akan patuh kepada arahan pegawai yang "tidak se-aliran". 

- tambahan pula, jika ingin memecat kesemua kakitangan kerajaan dan melantik kakitangan yang baru, juga tidak logik untuk dilakukan, bahkan boleh menimbulkan keadaan yang lebih bercelaru serta kacau-bilau, dan membuka peluang-peluang kepada pelbagai kegiatan berunsurkan rasuah yang baru!

Tahap kritikal kedua:

- ialah apabila rasuah sudah naik "di atas meja" dan diterima sebagai sesuatu yang biasa oleh masyarakat. Apabila rasuah sudah mencapai tahap ini, kesannya terhadap negara amatlah buruk (dan mungkin tipis peluang penyembuhan).

- pertama, kerajaan akan menjadi lemah. Setiap kali rasuah berlaku, kerajaan akan kehilangan pendapatan dan tidak mampu untuk memenuhi fungsinya. Sekiranya kerajaan gagal menjana kewangan yang kukuh, khidmat sosial seperti pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam tidak mampu disediakan. Bukan setakat negara gagal bergerak ke hadapan, bahkan jurang ketaksamaan kaya-miskin juga akan terus melebar! Ini kerana kebanyakan khidmat sosial oleh kerajaan adalah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan dan kos terhadap golongan yang miskin.

- dalam keadaan yang mana miskin bertambah miskin dan rasuah terus memburukkan keadaan tersebut, golongan ini tentunya tidak mampu menawarkan rasuah kepada pegawai. Kesannya mereka akan terhalang untuk menikmati sesuatu perkhidmatan (kerana tidak mampu beri rasuah). Keadaan ini akan berterusan, sehinggalah laungan keadilan itu hilang maknanya dan majoriti rakyat akan tinggal di dalam kekecewaan terhadap kerajaan.

- sekalipun sedar ekonomi negara boleh hancur disebabkan amalan rasuah, pegawai yang terlibat tidak mudah insaf. Ini kerana sikap tamak insan itu tiada sempadannya. Akhirnya, wang rasuah yang mereka terima juga tidak akan lagi dapat memberikan kesenangan kepada hidup mereka. 

- di negara yang rakyatnya makmur dan aman, rakyatnya boleh mencari dan mengumpul kekayaan dengan mudah. Rakyat yang makmur juga boleh menjana ekonomi negara melalui kuasa beli mereka yang tinggi (keep on buying the goods sold). Namun apabila ekonomi rosak disebabkan rasuah, pengguna (rakyat) akan mengalami penurunan kuasa beli. Apabila kuasa beli rakyat merosot (sebab kerajaan tidak mampu bayar gaji yang adil), perniagaan juga akan merosot. Para peniaga yang terjejas juga sudah tidak mampu lagi menawarkan rasuah dan pegawai yang makan rasuah akhirnya turut menanggung kesannya

- di kebanyakan negara yang mana amalan rasuah tidak dianggap sesuatu yang asing, kebanyakan pegawai yang korup ini tidak juga menikmati kehidupan dengan selesa dan aman (soal keberkatan itu jauh sekali)!

Jalan di hadapan...

Rasuah telah terbukti bukan sahaja dapat melemahkan kerajaan, malah boleh meruntuhkan sesebuah masyarakat dan tamadun manusia. Justeru, rasuah perlu diperangi secara serius, di segenap lapisan di dalam kerajaan dan masyarakat. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang ada. 

Sesungguhnya, rasuah itu satu wabak yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja, termasuklah pemimpin yang sebelum mereka menjadi kerajaan dan sebelum mereka sendiri diuji oleh berbagai "peluang untuk mendapatkan rasuah". Sedangkan sebelum mereka menang dan membentuk kerajaan, merekalah pihak yang begitu lantang menentang rasuah!

Justeru, jika rakyat mahukan perubahan (termasuklah jika mahukan kerajaan yang baru), mereka tidak boleh hanya mengharapkan kehadiran muka-muka baru di dalam kerajaan. Sesuatu perubahan dan pembaharuan itu amat memerlukan satu ideologi yang baru, yang mampu membendung dan mengawal seminima mungkin amalan rasuah di dalam kerajaan dan masyarakat.

Jangan jadikan rasuah "a way of life". Sekian.

---------
Rujukan:
- Mohamad, M. (1986). The Challenge. Selangor: Pelanduk Publications

No comments:

Post a Comment