Thursday, 3 May 2012

Siri 1: Korupsi - apa dan bagaimana ia bermula

Penerimaan terhadap nilai

Korupsi merupakan suatu amalan yang dianggap keji oleh hampir semua masyarakat di dunia ini. Perihal kejinya amalan korupsi ini juga merupakan keputusan yang dipilih secara tradisi oleh sesebuah masyarakat, dan bukannya melalui kajian mahupun pengalaman.


Sumber foto: sini

Nilai yang sering menjadi pegangan sesebuah masyarakat merupakan sesuatu yang telah dijana dan difahami melalui warisan satu generasi kepada generasi yang berikutnya (dilabelkan juga sebagai kod etika). Malahan, sesuatu nilai yang menjadi warisan zaman berzaman itu juga jarang sekali dipersoal. Malah sekiranya amalan tersebut dilakukan secara berleluasa pada zaman tersebut, ianya tetap dikira sebagai sesuatu nilai yang perlu diterima dan tiada kesalahan untuk melakukannya. Contoh amalan ini telah kita baca berlaku di zaman jahiliah di mana masyarakatnya ketika itu menanam anak perempuan mereka hidup-hidup, atau kita boleh lihat amalan membakar janda (suttee) di India, di mana masyarakatnya di waktu itu boleh menerima amalan tersebut untuk dilakukan, dengan tidak menganggapnya sebagai "kemarahan terhadap nilai-nilai kemanusiaan".

Begitu jugalah setelah kita melihat nilai masyarakat hari ini yang telah memahami dan memperakui bahawa korupsi itu adalah satu perbuatan yang keji, malah dianggap sebagai suatu perlakuan jenayah.

Walau bagaimanapun, sesiapa jua yang mengutuk perbuatan korupsi ini, ia tidak bermakna yang semua orang juga berkongsi interpretasi yang sama terhadap terma "korupsi" itu, atau kesemua mereka telah benar-benar memahami kesan buruk yang terhasil oleh amalan tersebut.

Korupsi - apa dan bagaimana ia bermula

Korupsi boleh didefinisikan sebagai perlakuan yang membenarkan seseorang itu mendapatkan pembayaran wang bagi sesuatu pekerjaan dengan cara yang tidak sah (a practice which enables someone to obtain remuneration through illegitimate means).

Sebagai contoh: seorang pegawai yang menerima bayaran gaji bulanan bagi menjalankan tugas-tugasnya, mungkin menerima pemberian daripada seorang individu untuk melaksanakan salah satu tugasan yang diamanahkan kepadanya. Sungguhpun perbuatan ini boleh dianggap sebagai korupsi, di awalnya, ia mungkin tidak memberikan kesan buruk yang ketara. Si pemberi mungkin "ikhlas" dan memberinya secara percuma, dan si pegawai yang menerimanya juga tetap akan menjalankan tugasnya seperti biasa, termasuklah kepada pelanggan-pelanggan lain (di tempat kerjanya) yang tidak memberikan apa-apa ganjaran kepadanya.


Sekadar hiasan

Namun, sekali pemberian itu diterima, kali yang seterusnya akan wujudlah ikatan untuk "mendahulukan" permohonan si pemberi itu. Ini bermaksud barang siapa yang tidak menawarkan ganjaran akan juga dilayan, tetapi "sedikit lambat" (served less promptly).

Sehingga ke peringkat ini, sebarang "kemudaratan" (deprivation) hanya dirasai oleh mereka-mereka yang terlibat dengan rantaian perkhidmatan tersebut dan yang berurusan dengan pegawai tersebut. Masyarakat umum dan negara secara keseluruhannya masih belum terlibat dan terjejas secara langsung.

Memandangkan masyarakat tidak terkena tempias perbuatan ini, mereka juga tidak merasa kesan buruk amalan korupsi itu. Kemungkinan ini juga menjadikan masyarakat memandang ringan selain tidak berminat untuk membuat aduan dan bertindak. Tambahan pula, masyarakat sendiri menganggap gaji yang diterima setiap bulan seseorang pegawai itu adalah rendah dan tidak mencukupi.

Pembentukan sistem "tip"


Namun, bagi pegawai lain yang mana bidang tugas mereka tidak melibatkan hubungan langsung dengan pelanggan (dengan kata lain, tugas yang tidak berpotensi untuk menerima ganjaran) tentunya akan merasa tidak senang hati dengan pegawai lain yang mudah mendapat ganjaran.

Untuk mendapatkan bahagian/"saham" terhadap ganjaran yang diterima pegawai lain, pegawai-pegawai (yang tiada peluang untuk korup) ini akan secara sengaja pula menyekat peluang (lubang-lubang rezeki) yang berkait dengan bidang tugas pegawai lain yang "bernasih baik" itu.

Perbuatan ini telah membawa korupsi ke peringkat aktif (active stage) - bilamana tindakan yang positif diambil untuk mempromosikan lagi amalan korupsi. Ini boleh dilihat di dalam pembentukan sistem tip.

Pada asalnya, tip diberikan, sebagai contoh, pelayan di restoran yang membawa hidangan kepada pelanggan (directly served the customers). Saiz sesuatu tip itu bergantung kepada kemampuan poket pelanggan dan perkhidmatan yang diberikan. Awalnya, perbuatan memberi tip itu dianggap sebagai sesuatu yang janggal kerana perkhidmatan (ambil pesanan dan hantar hidangan) tetap diterima si pelanggan sekalipun dengan atau tanpa diberikan tip.

Tetapi tidak lama kemudian, sikap pelayan mulai berubah di mana tiada servis atau servis yang "hampeh" akan diberikan sekiranya tiada pemberikan tip oleh pelanggan. Di peringkat ini, peranan tip telah berubah. Jika sebelumnya tip diberi sebagai tanda kepuashatian pelanggan di atas perkhidmatan yang bagus, kini perkhidmatan yang bagus hanya diberikan sekiranya pekerja itu mendapat tip.

Sekadar hiasan

Daripada peringkat ini, amalan "tipping" (memberi tip) telah berevolusi ke fasa yang baharu iaitu tip perlu diberi pada kadar tertentu yang ditetapkan.

Di sini, para pelanggan telah tidak lagi memiliki kuasa dan hak untuk memberikan jumlah yang mereka kehendaki, tetapi mesti mematuhi kadar yang telah ditetapkan: selalunya dalam lingkungan 10% hingga 15%.

Bersambung di siri 2.

--------------------

Rujukan: 
- Mohamad, M. (1987). The Challenge. Selangor: Pelanduk Publications.

No comments:

Post a Comment