Saturday, 28 April 2012

Pasca Bersih 3.0: Anda boleh bernostalgia, tetapi Najib akan terus meninggalkan anda (PR)

Alhamdulillah, selesai sudah perhimpunan raksasa Bersih 3.0 semalam. Tahniah dan setinggi ucapan perhargaan saya tujukan buat para peserta "Duduk dan Bantah" yang hadir dengan komited, selain menjaga adap sopan, berdisiplin serta bertatasusila untuk mempraktikkan ruang demokrasi yang dibenarkan oleh negara kita.

Saya kira ramai di kalangan peserta Bersih yang benar-benar ingin "Duduk dan Bantah", sekalipun masih ada segelintirnya yang belum matang untuk memahami apakah tuntutan dan maksud sebenar sebuah "perhimpunan aman".

Sumber foto, dan banyak lagi: pinkturtle

Saya tidaklah layak untuk mengupas dan bercerita panjang kerana tidak hadir dan tidak ada rasa untuk hadir. Cukuplah bagi saya memastikan diri sebagai seorang pengundi, mendapatkan berita dari pelbagai sumber, kemudian menilai dan membuat keputusan melalui kertas undi pada PRU-13 yang akan datang tidak lama lagi.

Melainkan wujudnya "perubahan" iaitu (1) isu-isu pokok di saat akhir, (2) persoalan calon yang saya rasa "layak" dan (3) selesai/tidak isu-isu setempat yang menjadi rungutan ramai penduduk sejak selepas PRU12 hingga kini, di DUN yang saya akan membuang undi, rasanya keputusan saya telahpun ada.

Berbalik kepada tajuk posting. Semalam, ketika ibu negara dikerumuni puluhan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, Perdana Menteri dan Timbalannya tiada di semenanjung. Najib kini dalam rangka lawatan beliau ke Sarawak, manakala Muhyiddin ke pedalaman Sabah.

Namun, kedua mereka tidak terlupa untuk turut mengulas perkembangan Bersih 3.0 yang berlaku di semenanjung. Ulasan kedua mereka itu, saya serahkan kepada anda dan rakyat yang matang dan bijak untuk menilaikannya.

Yang pasti, di sebalik gegak-gempita dan teriakkan satu kelompok dalam masyarakat, saya secara jujur masih tidak nampak yang ianya (perhimpunan) boleh menggugat mahupun membantutkan pengumuman demi pengumuman oleh PM dan TPM berkaitan penyaluran bantuan (BR1M, durian runtuh FELDA, etc), serta pelancaran projek-projek pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.


Malah, sebelum inipun, Najib saya perhatikan seperti tiada tanda-tanda akan memperlahankan hayunan langkahnya, serta progress dan program lawatan beliau ke negeri-negeri, di sebalik beberapa isu yang dimainkan pepimpin Pakatan Rakyat bagi menyerangnya.

Najib kelihatannya (seolah-olah) tidak langsung terganggu (atau membenarkan dirinya dibebani) isu-isu yang sedang berlegar dan dijadikan modal kempen PR terhadap pemerintahan kerajaan BN di peringkat pusat dan beberapa negeri yang dikuasainya.

Bahkan, untuk Bersih 3.0 juga, tidak kita lihat adanya kelibat Perkasa, Jati dan lain-lain NGO yang pro-BN, amat berbeza dan tidak seperti sebelumnya.

Justeru, jika BN, dan Najib, tidak mahu memperlahankan gerak kerja dan "kelajuan" mereka berkempen, mengapa para pendokong PR pula seperti membenarkan diri mereka terus dibuai keasyikan dan nostalgia, kesan daripada kejayaan penganjuran Bersih hari semalam?

Tidak salah untuk mengenang apa yang baru (pengalaman baru) dan semangat yang baru, tetapi realitinya, Najib dan Muhyiddin pula seperti tiada masa untuk (bernostalgia) itu, bahkan mereka akan terus menggunakan apa jua cara untuk memikat hati rakyat dan para pengundi.


nota: lihat koleksi cerita dan nostalgia mengenai Bersih 3.0 yang mewarnai segenap blog-blog pro-Pakatan (bloglistpolitik).

Percayalah, pelbagai cerita mengenai Bersih tidak akan berupaya dijadikan modal jangka panjang untuk kempen PR, melainkan mereka segera kembali kepada realiti politik, menyusun gerak kerja serta menginsafi betapa hampirnya mereka dengan tarikh pilihanraya.

Tanpa kerja keras, tentu sekali mereka akan semakin jauh ditinggalkan Najib dan Muhyiddin, yang semakin melajukan langkah kaki mereka menuju ke garisan PRU-13, dengan membawa bersama janji-janji projek pembangunan, liputan media siang dan malam serta disokong kekuatan jentera dari segenap lapisan, tempat dan masa.

Sedarlah dan keluarlah dari lamunan nostalgia kerana masa tidak pernah menunggu mereka-mereka yang hanya "menang sorak, tetapi akhirnya negeri tergadai" (menang cerita berhimpun, tapi kalah dalam pilihanraya).

No comments:

Post a Comment