Wednesday, 8 February 2012

Calon MB Johor: mengapa perlu mencipta isu?

Apa cerita? Baca kedua-dua artikel ini terlebih dahulu:



Awalnya saya sangka, Perdana Menteri Dato Najib telah mengumumkan tarikh pilihanraya... 

Iyelah, hujan tiada, ribut pun tiada, alih-alih PAS Johor mengumumkan pencalonan pemimpin PAS Kelantan dari Johor, Salahuddin Ayub (SA) sebagai calon Menteri Besar (MB) Johor, jika PR menang pada PRU-13 nanti (baca berita di atas).


Secara jujur dan ikhlasnya, saya tidak faham dan tidak nampak apakah strategi yang ingin ditonjolkan PAS dengan menimbulkan isu jawatan MB Johor di kala banyak lagi perkara lebih mustahak yang perlu dirancang dan digerakkan bagi menghadapi cabaran PRU yang bakal menjelang.

Apakah pemimpin PAS Johor telah membuat penilaian baik-buruk sebelum membuat pengumuman tersebut di media? 

Jika sebelum ini ramai menyatakan PKR sebagai parti yang bernafsu besar kerana pelbagai cara dikempenkan bagi menawan Putrajaya dengan Anwar Ibrahim dipromosikan sebagai calon Perdana Menteri (PM) pihak PR, jika mereka menang.

Dan kini, PAS pula nampaknya telah turut sama 'berkongsi pentas' dan bersaing mengejar jawatan tertinggi di peringkat negeri. 

Kalau yang mengumumkan langkah mencalonkan MB itu dibuat di negeri Terengganu oleh Badan Perhubungan PAS Terengganu, tidaklah begitu menghairankan saya, kerana PAS pernah menang/menawan negeri terbabit sebelum ini. Justeru, PAS mungkin telah membuat kira-kira peluang mereka untuk kembali bertapak di Terengganu, dengan rundingan pembahagian kerusi DUN tentunya lebih memihak kepada PAS. 

Tetapi di Johor?

Apakah PR Johor sudah selesai dengan proses pembahagian kerusi sesama mereka? Apakah PAS Johor sudah mendapat cukup 'suara' (perwakilan/bakal ADUN) untuk menyokong perlantikan calon mereka - Salahuddin Ayub kelak?

Tidak salah sebagai parti politik, PAS menunjukkan nafsu besar bagi kerusi MB, tetapi mengapa begini caranya - dengan mencipta isu?

Sekarang bukan sahaja ianya menimbulkan sensasi yang tidak diperlukan 'at the first place', bahkan rakan mereka dalam PR juga turut berkongsi rasa 'kurang senang' dengan tindakan dan keputusan tanpa konsensus (persetujuan) bersama ini. 

Saya tertarik dengan komen pengerusi DAP Johor, Dr Boo:

“Saya khuatir sekiranya banyak cakap mengenai calon yang akan mengisi jawatan menteri besar boleh menyebabkan rakyat Johor melabelkan PR sebagai parti yang gila kuasa dan mahu jawatan semata-mata.”

Bagi saya, memadailah dengan mengumumkan kejayaan PAS Johor membawa pulang SA kembali ke negeri kelahiran beliau untuk berentap pada PRU-13 kelak. Soal calon MB itu tunggulah waktu yang lebih molek dan setelah 'dibawa berbincang'.

Saya tahu SA adalah pemimpin PAS yang aktif dan menonjol di peringkat Pusat. Namun, saya kurang pasti apakah impak beliau di negeri Kelantan. Saya belum dapat menjawab jika ditanya: "Apa yang anda paling ingat mengenai Salahuddin Ayub?"

Jujurnya, jika orang bertanya saya soalan yang sama, tetapi mengenai Mazlan Aliman, saya dengan cepat boleh menjawab: ANAK (biro dalam PAS yang khusus memperjuangkan isu-isu berkaitan FELDA dan generasi anak FELDA). Contoh sahaja.

Faktor 'anak jati Johor' bukanlah tiket segera dan jaminan untuk diterima dengan mudah oleh para pengundi. Ini kerana para pengundi sekarang mudah bijak dan mereka terdedah kepada pelbagai maklumat. Tambahan pula 'attachment' beliau sebelum ini lebih kuat kepada Kelantan dan PAS Pusat. 


Justeru, jika beliau telah bersedia untuk kembali ke Johor, wajarlah beliau menghulurkan tangan persahabatan dengan tempat beliau ada 'attachment' sebagai tanda pengenalan diri.

Benar, SA sendiri enggan diheret oleh isu yang ditimbulkan oleh pemimpin PAS Johor sendiri. Mungkin SA sendiri tidak menjangka rundingan turut meliputi prospek bagi menjadi calon MB Johor!

No comments:

Post a Comment