Saturday, 14 January 2012

"Politik Kafir-Mengkafir" - suatu kepelikan yang tidak saya fahami

Nota awal:

Terima kasih kepada "rakan sembang" malam tadi di atas idea penulisan ini. Untuk entri ini, saya cuba menulis dan menyampaikan hujah secara cermat. Namun sekiranya anda yang membaca artikel ini dan rasa ingin komen (tidak bersetuju barangkali), saya persilakan, tetapi hendaklah dibuat secara berfakta, rasional dan matang. Terima kasih.

ISLAM & BUKAN

Saya mulakan dengan contoh berikut:

Logikkah apabila saya bertemu dengan seorang rakan yang bukan Islam bernama Ah Ching (bukan nama sebenar), saya berkata "Eh, Ah Ching kenapa kau tak solat?"

Tentulah jawabnya TIDAK. Mengapa? Kerana saya sudah mengetahui dan mengiktiraf ke-tidakIslaman beliau. Makanya, tidak boleh beliau didesak untuk menerima hukum Islam kerana perbuatan beliau (di dalam contoh ini, kerana tidak bersolat).

Kemudian, saya dan Ah Ching bertemu dengan seorang lagi sahabat bernama Rahman (bukan nama sebenar) dan saya menegurnya "Eh Man, kenapa kau tidak solat lagi ni, waktu dah nak habis?!". Di sini mengapa saya menegur dan mendesak si Man supaya bersolat? Kerana saya tahu dan mengiktiraf ke-Islaman beliau. Makanya jatuh hukum kewajiban bersolat ke atasnya.

Kesimpulannya, daripada contoh yang saya sebutkan, suruhan untuk perlaksanaan hukum Islam boleh kita desak setelah kita sendiri mengetahui dan mengiktiraf ke-Islaman seseorang itu mahupun sesuatu kelompok itu.

Saya harap anda dapat faham "contoh Ah Ching dan Rahman" sepertimana yang saya faham.

SEKULAR, KAFIR, SYURGA & NERAKA

Inilah bahana yang menimpa jika kita tidak cermat di dalam menggunakan teknologi seperti YouTube, di mana sekarang ini apa jua yang kita syarahkan dengan mudah boleh dirakam dan disiar untuk tontonan umum masyarakat. Maka, semakin sukarlah seseorang yang 'tersilap cakap' atau 'terlepas cakap' untuk menafi dan menarik balik cakapnya andai ianya telah dirakam, disiar dan dimuat-turun secara meluas di internet. 

Kalau dahulu sebelum adanya teknologi seperti YouTube, orang yang dituduh masih boleh berselindung dengan alasan "khabar angin" atau pun "fitnah orang".

Penatnya teknologi seperti ini adalah selain boleh membawa kebaikkan di satu masa, boleh mendatangkan mudarat pula di masa yang lain.

Baru-baru ini saya disarankan agar menonton satu klip video di YouTube yang menyiarkan komen seorang Ustaz yang juga seorang penceramah popular. Beliau adalah seorang yang saya hormat, sanjung dan besar sumbangannya saya kira di dalam mendidik insan kepada agamaNya.

Saya sertakan klip video beliau:

(lihat komen-komen yang diberi oleh penonton video. Ramai menyentuh mengenai "najis Sekular")

Menurut apa yang saya faham setelah mendengar ucapan beliau, jelas dan secara putus bahawa UMNO (sebagai pihak yang beliau tujukan) adalah sebuah parti politik yang dahulu, kini dan selamanya, sesat (masuk) di dalam api neraka. 

Kerana menurut Ustaz (dan itu yang saya faham), UMNO merupakan parti yang menganuti fahaman Sekular, dan Sekular ini pula telah diiktiraf oleh para ulama sebagai terkeluar daripada Islam serta sesat dunia akhirat.


Di ketika yang lain pula, yang berbahagia Ustaz telah mengeluarkan pernyataan dan desakan supaya pemimpin atau pemerintah negara (dituju kepada UMNO) agar "tidak lagi bertapi-tapi" di dalam melaksanakan undang-undang Hudud.

Ingin saya jelaskan dengan berpandukan ilmu agama yang sedikit ini, bahawa KAFIRNYA seseorang itu ialah dengan 2 sebab iaitu: (1) dia menolak Allah dan (2) dia menolak Rasul. Di dalam konteks ini, hukum Hudud adalah hukum Allah dan orang yang secara sedar, waras dan terbuka menolaknya adalah sama seperti menolak Allah dan boleh jadi kafir.

Sehingga di sini, adakah anda masih boleh faham penghujahan saya?

OK, kini masuk kita ke Bahagian I benda yang pada saya adalah "pelik" sehingga sukar untuk saya fahami kepelikan ini apabila dikaitkan dengan cara kita berpolitik.

Bagi menghuraikan kepelikan ini, saya kembali kepada dua sahabat saya iaitu "contoh Ah Ching dan Rahman".

Ah Ching yang diketahui dan diiktiraf bukan Islam tidak boleh didesak untuk menerima dan memakai hukum Islam. Manakala, si Rahman tertakluk dan menjadi kewajiban ke atasnya untuk patuh dan melaksanakan hukum Islam kerana beliau saya tahu dan iktiraf sebagai Islam.

Setelah mendengar banyak kali ucapan yang berbahagia Ustaz di YouTube, ternyata ustaz melihat UMNO ialah sebuah parti Sekular, telah terkeluar dari Islam (iaitu Kafir). Yang saya pelik, di masa yang sama ustaz masih mendesak supaya UMNO melaksanakan perundangan Hudud.

Di sini timbul persoalan: Apakah status sebenar UMNO pada penilaian pemimpin dan penyokong PAS? Masihkah UMNO itu Islam atau telah menjadi kafir?

Kalau berdasarkan desakan-desakan yang "seperti tiada kesudahan" dari para Ulamak PAS dan penyokong PAS supaya Hudud dilaksanakan UMNO, saya kira UMNO tentulah dianggap masih Islam (seperti sahabat saya Rahman yang saya iktiraf Islam dan wajib patuh hukum Islam). 

Sebaliknya, kalau UMNO diiktiraf sebagai kafir (kerana menganut Sekular dulu, kini dan selamanya), maka tidak perlulah penyokong PAS "membazirkan air liur" mencabar dan mendesak UMNO supaya melaksanakan perundangan Hudud (seperti sahabat saya Ah Ching yang saya tahu dan iktiraf sebagai bukan Islam dan tidak wajib patuh dengan hukum Islam).

Ringkasnya, "sudahlah kita isytihar pihak itu kafir, kemudian kita desak pula mereka melaksanakan undang-undang Islam". Samalah jika sekiranya komuniti Islam di UK mendesak kerajaan Kristian UK supaya menerimapakai perundangan Islam. Memang tidak akan berlaku/diterima.

Di sini ramailah orang telah menjadi keliru dan bercelaru.

PERLEMBAGAAN YANG SEKULAR & MENGKAFIRKAN DIRI SENDIRI?

Sesuatu yang menarik, namun jarang saya jumpa ianya diperbincangkan, terutama oleh golongan yang menentang fahaman Sekular itu sendiri.

Kita semua tentu maklum bahawa perundangan tertinggi negara adalah berpandukan "perlembagaan penjajah". Namun, seperti yang boleh anda dengar melalui klip video di bawah, sesungguhnya tiada perlembagaan yang lebih tinggi melainkan Al-Qur'an dan Hadis. Mana-mana perlembagaan yang tidak memakai dan mengiktiraf kedua-dua sumber ini dikira terbatal dan mereka yang berpegang kepada (perlembagaan) yang selainnya juga boleh terbatal syahadah mereka (atau menjadi Kafir).


Sebelum pergi lebih jauh, ingin saya tegaskan bahawasanya saya 100% bersetuju dengan yang berbahagia Ustaz bahawa tiada sumber tertinggi selain Al-Qur'an dan Hadis. Siapa yang menolak hakikat ini samalah menidakkan Allah dan Rasul. Cukuplah dengan 2 penolakan ini seseorang itu mendapat "pakej lengkap" menjadi KAFIR.

Sehingga di sini, adakah anda masih boleh faham penceritaan saya?

OK, kini masuk kita ke Bahagian II benda "pelik" sehingga sukar untuk saya fahami kepelikan ini apabila dikaitkan dengan cara kita berpolitik. Bahkan, jadi keliru pun ada.

Daripada apa yang saya faham, PAS sendiri haruslah tegas (seperti kata Ustaz di dalam rakaman video) untuk tidak mengiktiraf dan menggunapakai perlembagaan negara kerana ianya tidak Islamik. Kerana dibuat oleh penjajah yang tentunya Sekular.

Di sini timbul persoalan: Apakah status ke-Islaman Ahli Parlimen PAS sendiri yang telah mengangkat sumpah, ikrar dan janji di hadapan Yang Di-Pertua Dewan, menjunjung perlembagaan dan peraturan-peraturan yang terkandung di dalamnya? 

Apakah mereka (Ahli Parlimen PAS) telah secara tidak langsung "meng-kafirkan diri mereka sendiri" kerana telah bersumpah untuk bersetuju menerima dan mendokong perlembagaan yang Sekular/tidak Islamik ini? (boleh terbatal syahadah mereka menurut ustaz - rujuk video)

Contoh: Lafaz sumpah dan janji setiap Ahli Perlimen untuk menjunjung keluhuran perlembagaan

Contoh: Setiap ahli Yang Berhormat wajib memeterai secara bertulis sumpah dan janji mereka

Bukankah ini sesuatu yang aneh, pelik dan mengelirukan?

Dan hari ini, PAS melalui kerjasama dengan PKR dan DAP secara sebulat suara pula berikrar untuk terus mengekal dan menjunjung "Perlembagaan yang ada" sekalipun setelah mereka berjaya menawan Putrajaya selepas pilihanraya umum (PRU) yang akan datang. 

Pelik-lah perkara ini bagi saya. 

No comments:

Post a Comment