Thursday, 5 January 2012

Peristiwa yang merubah dunia (siri 4) - Penerbitan "Das Kapital"

Tempat berlaku: London, UK
Tarikh berlaku: 1867

Karl Marx dianggap sebagai "bapa" Sosialis Moden. Melalui karya beliau yang terkenal, Das Kapital (Capital), Marx telah mencadangkan satu teori radikal yang mengaitkan perjuangan golongan kelas pekerja (working class) dengan peraturan ekonomi yang digunapakai di dalam sesebuah masyarakat yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Semasa menjalani kehidupan dalam buangan di London, Marx telah menyaksikan sendiri betapa daifnya suasana bekerja dan pengeksploitasian melampau, seperti tidak berkesudahan terhadap golongan pekerja. Waktu itu juga beliau telah dipengaruhi oleh teori politik radikal yang diperkenalkan oleh seorang rakan yang bernama Friedrich Engels. Tidak hairanlah, sebahagian pandangan Engels telah digabungkan Marx di dalam pembikinan karyanya.

The library of the British Museum telah dijadikan tempat beliau mendapatkan bahan-bahan untuk karyanya. Hasilnya, pada tahun 1867, Das Kapital (Jilid 1) diterbitkan. Begitupun, hasrat beliau untuk menyiapkan jilid yang berikutnya tidak kesampaian kerana beliau mati pada tahun 1883.

Sumber foto: google image (Karl Marx)

Di dalam karyanya, Marx telah menjejak asal-usul Kapitalism yang membawanya kembali ke zaman di mana golongan pekerja diasingkan daripada bahan mentah dan tanah. Golongan pekerja ini dipaksa bekerja untuk pemilik perusahaan yang kaya, yang memiliki modal yang besar sehingga setelah membayar harga bahan mentah dan tanah, para pengusaha ini masih mampu menjana keuntungan.

Sesuatu produk yang mendapat permintaan yang tinggi boleh meningkat harganya (menguntungkan pengilang). Namun golongan pekerjanya masih digaji menurut 'exchange value' iaitu bayaran berdasarkan tenaga yang dicurahkan (tempoh lama bekerja), bukannya berdasarkan nilai sebenar produk yang mereka hasilkan.

(saya guna contoh: seorang buruh yang buat beg tangan Gucci mungkin diupah RM50/beg, tetapi syarikat menjual beg itu pada harga RM15,000. Inilah yang berlaku kepada pekerja di banyak negara membangun seperti China, India, etc. hari ini)

Menurut undang-undang ekonomi yang diterimapakai oeh masyarakat Kapitalis, segala keuntungan yang terhasil adalah menjadi milik tuan punya perusahaan. Manakala, bayaran gaji kepada golongan pekerja tidak berkait dengan keuntungan syarikat, malah kadar pemberiannya hanyalah cukup bagi membenarkan mereka memenuhi keperluan asas hidup. 

Walaupun perasaan simpati Marx dilihat cenderung kepada pembelaan golongan kelas pekerja, adalah jarang sekali beliau memasukkan elemen penilaian moral (morale judgement)

Bagi Marx, apa yang beliau percaya adalah amalan Kapitalis dengan jelas telah membawa mudarat, menjatuhkan taraf seseorang pekerja menjadi seperti seorang hamba dengan ramai diambil bekerja tetapi hanya diberi tugas yang sama dan dilakukan secara berulang-ulang.

Menurut penilaian Marx, objektif utama sistem Kapitalis adalah untuk memaksimakan penghasilan dan pengeluaran - bahasa mudahnya memaksimakan keuntungan. Lazimnya, keuntungan yang dijana ini akan disalurkan semula ke dalam perusahaan (suntik modal tambahan) demi memperbesarkan lagi skala aktiviti, seterusnya menjadikan golongan pengusaha yang kaya semakin kaya manakala golongan pekerja terus kekal miskin dan tertindas.

 Sumber foto: google image (the reading room at the British Museum)

Marx turut menjelaskan bahawa untuk masyarakat moden kembali ke era sebelum revolusi industri (jurang perbezaan tidak ketara) adalah mustahil, memandangkan telah wujud pergantungan yang kuat golongan pekerja kepada "tuan-tuan mereka" yang memiliki perusahaan, yang akan menggaji mereka bekerja.

Ironinya, golongan pekerja telah dianggap sebagai satu komoditi (dipandang sama nilainya dengan bahan mentah dan tanah), dan mereka menawarkan tenaga bekerja demi menikmati upah harian. Hasilnya, akan sentiasa wujud tawaran yang tinggi terhadap sumber buruh bagi menyokong pertumbuhan sistem ekonomi yang kapitalis ini. Manakala, kesan buruknya, andai berlaku kelembapan ekonomi, maka lebih ramai pekerja akan diberhentikan, sehingga mencetuskan fenomena pengangguran yang tinggi di dalam masyarakat yang sedia tertekan.

Bagi Marx, matlamat utama yang mendasari sistem Kapitalis Moden adalah demi mengejar keuntungan dan kekayaan. Beliau juga percaya bahawa sistem Kapitalis yang diamalkan ini adalah tidak mapan, dan bakal membawa penentangan dan golongan kaya ini akhirnya akan disingkirkan oleh revolusi golongan pekerja. Perkara ini telah diulas panjang di dalam karya beliau sebelum itu, the Communist Manifesto. Malah, beliau sendiri amat yakin bahawa akan berlaku satu revolusi Sosialis di peringkat antarabangsa sewaktu hayatnya.

Beliau bagaimanapun mati sebelum sempat melihat cita-citanya tercapai!

-------------------------------
Baca lanjut:

Heatley, M. and Howard, M. J. (2010) Events that changed the world. Igloo Books Ltd, UK.

No comments:

Post a Comment