Monday, 2 January 2012

Peristiwa yang merubah dunia (siri 2) - Pemindahan jantung pertama

Tempat berlaku: Cape Town, Afrika Selatan
Tarikh berlaku: 3 Disember 1967

Pada tahun 1967, satu operasi pembedahan telah mengambil tempat di Cape Town, Afrika Selatan, mencatat permulaan yang merevolusikan profesion pembedahan hari ini. Peristiwa yang menjadi titik mula kepada prosedur pembedahan yang mampu menyelamatkan berjuta nyawa manusia.

Pada 3 Disember 1967, Christiaan Barnard telah melengkapkan pembedahan pemindahan jantung pertama di dunia.

Sumber: google image (first heart transplant)

Barnard merupakan seorang pakar bedah dari Beaufort West, Arfika Selatan. Ketika umurnya 34 tahun, beliau telah mengembara ke USA (tahun 1956) untuk menyambung pengajiannya di peringkat lepas ijazah dalam bidang pembedahan jantung (cardiac surgery). Beliau kembali ke Afrika Selatan 2 tahun kemudian dan berkhidmat di Groote Schuur Hospital sebagai pengajar dan di masa yang sama memulakan usaha membentuk pasukan bedah jantung yang pertama.

Beliau telah membentuk prosedur pembedahan yang komprehensif melalui pembedahan pemindahan buah pinggang yang pertama di Afrika Selatan pada Oktober 1967. Setelah kejayaan tersebut, Barnard diangkat sebagai salah seorang pakar bedah terkemuka Afrika Selatan. Dengan beberapa eksperimen pemindahan jantung ke atas haiwan telah berjaya, langkah seterusnya iaitu percubaan ke atas pesakit/manusia bakal mengambil tempat.

Pesakit telah dipilih; Louis Washkansky, 54 tahun merupakan penghidap sakit jantung yang tiada harapan sembuh. Dengan jangkaan umur yang tidak panjang, beliau tidak teragak-agak bersetuju dengan operasi pembedahan tersebut. Manakala pendermanya pula hadir di dalam keadaan yang tragik, Denise Darvall, wanita muda yang mati terbunuh di dalam satu kemalangan jalan raya.

Barnard, disokong kumpulan bedah 30 ahli termasuk abangnya Marius telah mengambil masa kira-kira 5 jam untuk memindahkan jantung Darvall kepada Washkansky. Di akhir pembedahan, jantung 'baru' yang dipasang pada Washkansky berdenyut tanpa bantuan mekanikal.

Bagaimanapun, tragedi muncul pada hari ke-18 setelah pembedahan di mana Washkansky telah mati akibat pneumonia. Sistem imuniti badan beliau tidak dapat melawan jangkitan yang dialami sebaik selesai pembedahan.

Di sebalik insiden tersebut, operasi pemindahan dianggap berjaya memandangkan jantung Washkansky dapat berfungsi tanpa bantuan sehinggalah hari kematiannya. 

Percubaan berikutnya memberikan hasil lebih baik dengan seorang pesakit, Dirk van Zyl, yang dibedah pada tahun 1971, mampu hidup selama 23 tahun sebelum meninggal pada umur 68 tahun.

Semenjak pembedahan yang pertama, beribu-ribu manusia selepas itu telah menjalani operasi pemindahan jantung yang berjaya, sekalipun dihimpit kesukaran mendapatkan penderma organ. 

Pada tahun 1984 pula, pakar bedah British, Sir Terrence English telah muncul sebagai orang yang pertama di dunia berjaya menjalankan operasi pemindahan jantung dan paru-paru.

------------------------------
Baca lanjut: 

Heatley, M. and Howard, M. J. (2010) Events that changed the world. Igloo Books Ltd, UK.

No comments:

Post a Comment