Wednesday, 18 January 2012

Pendapat: Daripada nak hapus PTPTN, baik janji 100% BIASISWA buat penuntut IPT!

Saya tidak tahu apa penilaian anda terhadap isu yang dibangkitkan (rujuk foto), namun saya mempunyai pandangan tersendiri, yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca. 

Tetapi sebelum itu, suka saya syorkan anda membaca artikel pada foto di bawah terlebih dahulu (klik - SINI), cuba fahami dan kemudian baca selanjutnya artikel saya. Selepas meneliti kedua sumber ini, maka saya serahkan kepada kebijaksanaan saudara-saudari untuk menilai dan menimbang secara objektif kedua-dua pendapat.

Graduan: antara 'hapus pinjaman' dan 'jaminan peluang pekerjaan'

Di kala para penganalisa ekonomi serantau menjangkakan tahun 2012 sebagai tahun penuh mencabar bagi pertumbuhan ekonomi Asia (baca - SINI), saya secara peribadi meletakkan harapan untuk melihat pimpinan Pakatan Rakyat dapat tampil bersama tawaran-tawaran yang lebih meyakinkan ke arah memakmurkan rakyat dan mengangkat ekonomi Malaysia.

Salah satunya saya ingin melihat bagaimana kerajaan PR menggariskan dasar, langkah serta rancangan untuk menjamin penyediaan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat (graduan) di pelbagai sektor ekonomi dan perkhidmatan sebagai 'tawaran PRU13'.

Tersasar sedikit jangkaan saya, kerana salah satu daripada 4 kertas kerja yang dibentangkan menyentuh secara jelas hasrat kerajaan PR (andai menang PRU13), adalah untuk menghapuskan semua pinjaman PTPTN.

Saya yakin ramai peminjam PTPTN yang di luar sana pastinya lega dengan pengumuman Dato Husam tempoh hari. Namun ingin saya tanyakan: benarkah ia (hapus semua pinjaman PTPTN) menjadi sesuatu yang baik untuk kerajaan dan rakyat? 

Mungkin memperuntukkan sejumlah besar wang untuk membiayai hutang graduan adalah mustahak. Begitupun pada saya masih ada perkara yang lebih mustahak, termasuklah seperti yang telah saya sebut sebelum ini - sediakan jaminan peluang pekerjaan di pelbagai sektor kepada graduan.


Bangsa berdikari: Sendiri berhutang, sendiri bayar

Sebagai salah seorang peminjam PTPTN (yang dah nak habis bayar), prinsip saya mudah. Apabila menandatangani surat perjanjian pinjaman, secara automatiknya saya telah mengikat diri dengan bersetuju dan berjanji untuk membayar balik pinjaman pada kadar yang dipersetujui.

Tapi itu situasinya jika kita bercakap mengenai prinsip.

Apapun, mungkin masih terlalu awal untuk saya komen apakah mekanisma yang bakal digunapakai kerajaan negeri Kelantan di dalam menguruskan penghapusan pinjaman PTPTN ini kelak.

Namun bagi saya, terdapat beberapa aspek yang rasanya perlu dilihat oleh kerajaan Kelantan secara serius. 

Pertamanya, dasar pinjaman PTPTN bukan dibuat dengan mengikut latar belakang seseorang peminjam. Ringkasnya, siapa sahaja yang bergelar mahasiswa layak untuk memohon mendapatkan pinjaman PTPTN sekalipun datang dari keluarga jutawan atau kaya-raya. Bukan juga untuk serkap jarang, namun ada segelintir peminjam yang berada/kaya yang meminjam PTPTN bukan untuk kegunaan pelajaran, tetapi inginkan wang untuk bergaya dengan membeli barangan berjenama, atau motosikal baru dan sebagainya. Maaf kata.

Pun begitu, tidak dinafikan PTPTN juga banyak membantu meringankan bebanan kewangan pelajar terutama yang datang dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah (sepanjang tempoh belajar).

Justeru di sini soalan saya: Apakah penghapusan hutang PTPTN ini akan dibuat secara 'pukul rata' (semua dikira sama, kaya dan miskin selagi mereka peminjam PTPTN dikira 'layak' mendapat penghapusan hutang?), atau dilakukan secara penelitian 'case by case' oleh kerajaan PAS Kelantan?

Ataupun kerajaan negeri dan Dato Husam perlu berfikir untuk merombak prosedur pembayaran balik pinjaman supaya lebih mudah dan meringankan beban peminjam terutama di kalangan graduan menganggur dan yang baru memulakan karier?

Dan sekiranya mekanisma penghapusan pinjaman PTPTN adalah yang terbaik, barangkali kerajaan PR dapat menimbang supaya graduan diberikan diskaun seperti hanya membayar semula 20% pinjaman (baki 80% dihapuskan melalui dana kerajaan). 

Tawaran berkebajikan "BR1M, baucer buku dan air percuma"

Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang diagihkan kepada rakyat Malaysia berpendapatan di bawah RM3000/bulan dan 'baucer Buku' untuk penuntut IPT merupakan strategi terkini bagi 'membantu rakyat' secara tebar pukat.

Jangan cepat melenting dengan BR1M kerana strategi yang hampir sama konsepnya juga telah dijalankan oleh kerajaan PR di Selangor dengan mengagihkan air percuma 20 cubic meter pertama kepada seluruh rakyat Selangor.

Strategi BR1M mahupun air percuma pada saya merupakan satu langkah popular lagi terkesan kerana dengan membantu 1keluarga, kerajaan sebenarnya telah menyentuh hati semua ahli keluarga.

Sebagai contoh, memberikan air percuma ke 10,000 buah rumah, sebenarnya telah memanfaatkan 50,000 penduduk (a.k.a bakal PENGUNDI).

Justeru, di sini timbul soalan: Apakah IMPAK menghapuskan hutang PTPTN ini akan sama dengan impak pemberian air percuma mahupun BR1M atau Baucer Buku kepada rakyat? 

Ini kenalah anda tanya kepada Dato Husam. 

Harapan saya: Guna wang royalti untuk pastikan 100% biasiswa buat anak Kelantan

Sebagai penutup, saya menaruh harapan untuk melihat wang royalti minyak yang bakal diperoleh Kelantan setelah kerajaan baru PR mengambil alih Putrajaya kelak, dapat disalurkan untuk keperluan yang lebih mustahak dengan manfaat yang lebih besar, terutama kepada generasi anak Kelantan yang akan datang iaitu dalam bentuk pengurniaan 100% biasiswa. Jika berupaya direalisasikan, langkah ini juga saya jangka bakal mengangkat kerajaan PR sebagai pembela semangat perlembagaan negara - iaitu hak kepada biasiswa.

Manakala generasi yang telah bersetuju untuk menanggung hutang dengan PTPTN (sama ada mahasiswa yang sedang belajar mahupun graduan yang sudah tamat belajar) pula hendaklah dibantu oleh kerajaan baru PR dengan cara memperbanyakkan peluang pekerjaan baru di pelbagai sektor kepada mereka agar dapat membina hidup dan seterusnya melunaskan hutang-hutang yang ditanggung.

Ini kerana kalaupun hutang PTPTN mereka 'dibayar kerajaan', mereka bakal dihimpit beban hutang rumah, hutang kereta, hutang kad kredit dan bermacam jenis hutang lagi.

Pendek kata, hidup ini tidak pernah sunyi daripada menanggung hutang! Selesai satu, muncul lagi satu...

Sekian.

No comments:

Post a Comment