Monday, 26 December 2011

Persoalan yang melingkari “calon BOLEH MENANG”

Saya ingin menarik perhatian anda kepada petikan di bawah:

“Dalam bahasa Inggeris, “winnable” bermaksud “boleh menang”. Untuk menjadi calon yang boleh menang, seseorang itu mestilah terlebih dahulu menjadi calon yang boleh memenangi hati pengundi. Kalau tanya pengundi dan orang ramai siapa calon yang boleh menang itu, tentunya mereka akan kata calon yang baik, bersih, mesra, berusaha, berkebolehan, ada dasar dan wawasan, dan banyak lagi. Masalahnya, semua calon akan kata, itulah ciri-ciri yang ada pada mereka. Semua parti pun akan kata, itulah calon-calon yang mereka kemukakan.”


Selepas istilah “winnable candidates” ini dicetuskan UMNO-BN, sepertinya tidak sah bagi mana-mana parti politik di tanah air hari ini untuk tidak bercakap mengenai keperluan parti masing-masing meletakkan calon “jenis ini” bertanding pada PRU13 kelak.

Seperti yang dikupas oleh saudara Kadir, pelbagai kriteria yang begitu ideal perlu ada dan dipenuhi seseorang yang berhajat menjadi calon, seperti baik (akhlak dan moral), bersih (tidak rasuah), ada wawasan (bukan beku otak), berkebolehan (bukan sebab ada kabel) dan sebagainya.

Saya amat bersetuju bahawa kalau benarlah dapat ditemukan orang yang sesuai, kerana inilah ciri-ciri terbaik dan paling ideal patutnya ada pada seseorang calon atau bakal pemimpin itu.

Pun begitu, timbul persoalan lain di benak pemikiran saya.

Q: Apakah benar kriteria yang dinyatakan seperti di atas menghuraikan kriteria "calon boleh menang" (winnable candidate)? Atau sebenarnya lebih menjurus kepada kriteria seorang “calon yang layak” (qualified candidate)

Mengapa saya timbulkan persoalan ini? Kerana bagi saya “calon boleh menang tidak semestinya calon yang layak”. Mengapa "tidak semestinya"? 

Ini kerana di dalam permainan politik yang mana kemenangan adalah penentu kekuasaan, maka ada kemungkinan calon-calon yang layak kerana baik peribadi (tidak main wang, berpendidikan dan berwawasan), tidak semestinya dinilaikan “boleh menang” pada mata parti dan para penyokong mereka.

Maka di sini wujud juga kemungkinan iaitu pada PRU13 nanti, kita akan sekali lagi disajikan dengan muka-muka “calon yang tidak layak” (seperti muka lama, muka dah kalah PRU12, calon kitar semula, calon yang pernah disabitkan/terpalit isu rasuah dan politik wang, calon kroni, etc.), NAMUN mereka inilah pada penilaian parti (tidak kiralah BN ataupun PR) adalah “calon boleh menang” memandangkan pengaruh mereka yang begitu besar di dalam parti dan di peringkat akar umbi.

Apakah pilihan yang kita ada?

No comments:

Post a Comment