Wednesday, 7 December 2011

UPDATED: Kupasan: Kebangkitan Ikhwanul Muslimin pasca Mubarak

Kupasan ini dibuat sewaktu dalam train (dari London-Paddington to Oxford), jam 9.15pm, Sabtu. Bayangkan lewatnya pukul 9 malam itu pada saya, memandangkan Isya' sekarang masuk pukul 5.53 petang! Dua orang mamat British yang duduk kat sebelah saya hanya tersenyum apabila melihat gambar cover story the New Statesman ini. LOL.

Melewati Didcot power station (Oxford to London)

"Pemenang Sebenar" Arab Spring?  

Setelah sekian lama ditekan, dihalang dan diberi label yang negatif baik oleh kerajaan Mubarak, mahupun oleh pihak Barat, apakah Gerakan Ikhwanul Muslimin pasca Mubarak ini akan berupaya menjadi pemenang sebenar the Arab Spring, seterusnya meraih sokongan dan mengambil alih kuasa politik Mesir?



Sekalipun rejim Mubarak telah berjaya diundurkan, suasana dan persaingan politik di Mesir masih belum menampakkan tanda-tanda untuk reda dan pulih. Sedangkan pelbagai pihak sebelum ini begitu menaruh harapan (iaitu setelah runtuhnya pemerintahan diktator yang dibina 50 tahun yang lalu itu), agar bermulanya sistem politik baru yang lebih demokratik di bumi Mesir.

Sesungguhnya, punca kejatuhan rejim Mubarak adalah disebabkan beliau dan pihak tentera tidak dapat membaca dengan jelas mesej rakyat Mesir yang mahukan perubahan. Arus perubahan ini nyatalah sangat kuat dan besar sehingga Mubarak akhirnya dihanyutkan oleh gelombang kebangkitan rakyatnya sendiri.

Rahmat di sebalik kebangkitan rakyat ini pula dilihat ramai pemerhati sebagai membuka pintu buat pelbagai gerakan Islam, aktivis pro-demokrasi dan sebagainya, muncul dan membuat rancangan (menggerakkan ahli-ahli dan penyokong mereka) supaya mendesak pembaharuan yang sebenar segera dilaksanakan.

Dari kalangan gerakan-gerakan Islam yang 'muncul semula', Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood, MB) merupakan satu organisasi paling berpengalaman dan paling sistematik, baik secara gerakan 'underground' mahupun 'above the ground'.

MB, dianggap sebagai sebuah organisasi paling berpengaruh dan yang terkuat (keahlian mencecah setengah juta orang), semasa diburu oleh rejim Mubarak, ahlinya telah bergerak secara militan, dan kini turut bergerak secara 'arus perdana' melalui penubuhan parti politik.

Sekalipun menafikan penglibatan secara langsung dengan gerakan mengusir Mubarak, MB yang diasaskan pada tahun 1928 ini telah dikatakan secara diam-diam menggerakkan ahlinya melalui parti politik yang baru dibentuk, Freedom and Justice Party (FJP) untuk menggerakkan bantahan.

FJP ternyata bijak memposisikan agenda perjuangan mereka dengan fokus kepada perjuangan membawa suara golongan miskin, yang mana golongan miskin ini mewakili hampir setengah daripada 82 juta penduduk Mesir.

Dengan platform FJP (yang arus perdana), kuasa dan pengaruh MB diperkuatkan lagi setelah sayap politik dan kebajikan MB melancarkan program 'the million-man act of goodwill' dengan mengedarkan sejumlah 1.5 juta kg daging korban kepada hampir 5 juta rakyat Mesir yang miskin bersempena EdulAdha yang lalu.

Sekalipun tindakan mereka ini dipertikai iaitu sebagai cubaan memancing undi dan menggalakkan campur tangan pihak luar ke dalam politik Mesir (dikatakan MB mendapatkan sokongan/dana dari Qatar) yang cuba menanamkan fahaman Islam yang konsevatif ke dalam masyarakat sekular Mesir.

Dengan peluang yang luas terhidang ketika ini, FJP dan MB telah mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 peratus kerusi parlimen yang dipertandingkan pada pilihanraya 28 November. 

Andainya sasaran ini berjaya dicapai, maka tidak syak lagi yang MB akan membentuk kerajaan baru Mesir, seterusnya membentuk halatuju domestik dan hubungan antarabangsa Mesir pasca Mubarak. 

Kebangkitan & Pengurusan Cabaran 

Sungguhpun khabar kebangkitan MB telah disambut dengan penuh gembira oleh golongan yang pro-agama dan yang tertindas sewaktu Mubarak berkuasa, kemunculan MB untuk berkuasa telah menggusarkan sebahagian kelompok dalam masyarakat Mesir, terutamanya golongan liberal, sekularis dan minoriti.

Apa yang menjadi kebimbangan mereka adalah MB, melalui FJP kelak kelak akan menukar atau meninggalkan sistem pemerintahan sekular sedia ada, dan bakal digantikan oleh sistem pentadbiran dan perundangan berteraskan Syariah yang pada mereka adalah rigid, keras dan regressive terhadap masyarakat.

Malah, golongan ini juga menuduh pimpinan MB hanya bermain kata-kata yang manis bahawa mereka akan melaksanakan prinsip demokrasi, dan kemudiannya akan menukar niat dengan mentadbir negara sekular terbabit dengan pemerintahan berasaskan syariah.

Bukan sahaja kritikan dan bantahan oleh golongan sekular dari dalam, bahkan kuasa Barat terutama Amerika juga dilaporkan 'tidak senang duduk' dengan perkembangan ini.

Adalah tidak mengejutkan ramai pihak memandangkan Barat begitu takut perubahan ini bakal mengubah layanan Mesir terhadap Israel (yang juga sekutu paling rapat Amerika). 

Menghapus mitos & Mencipta realiti  

Di antara ungkapan yang popular, yang juga modal paling laris sepanjang Mubarak berkuasa adalah: 

Anda (Barat) mahukan saya (pemerintah diktator) atau ekstrimis (Ikhwan) menguruskan negara ini? 

Sekian lamanya ungkapan ini menghadirkan 'ketakutan' kepada pihak-pihak yang pro Barat dan yang pro sekular. Dengan mempercayai mitos inilah, Mubarak berjaya mengekalkan sokongan dan dokongan Barat (termasuk yang pro-Israel) terhadap rejim pemerintahannya.

Hari ini, angin perubahan telah meniup pergi mitos tersebut dan harapan untuk mencipta realiti baru kini digalas oleh pemimpin-pemimpin baru, yang muncul dan bergerak membawa harapan untuk rakyat Mesir pasca Mubarak ini. 

Tidak dapat lari cabaran dalaman 

Sebagai salah sebuah organisasi yang memiliki sejarah yang panjang, penuh cabaran; maka kedewasaan yang ditunjukkan oleh MB juga tidak dapat dipisahkan dengan cabaran dan dugaan.

Cabaran paling besar yang dikenalpasti adalah untuk MB mencari titik persefahaman dan penyatuan di antara 2 golongan besar yang membentuk MB iaitu Old Guard (golongan tua/generasi awal) dan golongan muda/baru (idealis, berpelajaran dan moden).

Terdapat 'ketegangan' hubungan di antara dua kelompok ini memandangkan hingga kini golongan awal masih memonopoli kuasa eksekutif MB. Kedudukan golongan awal ini bagaimanapun mula dicabar melalui kebangkitan generasi muda yang pragmatis, berpendidikan (lepasan universiti) yang ramai menjadi ahli MB semenjak 1970an.

Ternyata pemikiran dan pendekatan kedua golongan ini berbeza di mana golongan muda dikatakan lebih terbuka dengan agenda kemodenan dan pluraliti politik, berbanding cara golongan tua/awal yang lebih bersikap rigid/berkeras, selain enggan menerima desakan dalaman MB yang inginkan pendemokrasian proses pembuatan keputusan serta mengambil langkah lebih terbuka terhadap hubungan dengan pihak luar.

Selain itu, MB juga perlu mencari penawar untuk mengubati luka lama iaitu untuk menguruskan dengan cermat isu-isu dan tuntutan berkaitan Pan-Arab (pro bangsa) dan Pan-Islam (pro agama). 

Membuka pintu untuk perubahan 

Sekalipun timbul pelbagai isu dan cabaran yang merantai pergerakan MB, pemerhati politik melihat para pemimpin MB tidak pernah mengambil sikap berdiam diri.

Banyak bukti menunjukkan bahawa pimpinan mereka bertindak terhadap saranan masyarakat. Salah satunya MB menerima sistem politik dan tidak berniat untuk menubuhkan negara dengan sistem pemerintahan seperti model Iran.

Maka di sinilah MB, melalui sayap politiknya telah menubuhkan Freedom and Justice Party. Sikap yang terbuka ini juga dibuktikan melalui ungkapan berikut "We will build a civil state with Islamist references" - oleh Mohammad Mursi, Ketua FJP kepada Duta Peranchis di Cairo bulan November yang lepas.

Dan kini, pasca Mubarak, tibalah masanya untuk MB membuktikan keupayaan mereka mendokong harapan masyarakat Mesir dengan cara menang majoriti dan seterusnya membentuk kerajaan baru bagi melaksanakan segala janjinya.

Masyarakat Mesir pastinya akan menuntut janji-janji mereka yang diluahkan melalui slogan "Islam is the solution" dan "We hold good for Egypt", dan andainya janji-janji ini tidak dikotakan, bersedialah untuk menerima balasan!

Sekian.

--------------

- Rujukan: 'Out of the shadows' (pp. 27-30) by Fawaz Gerges. The NewStateman; 28 Nov 2011.

UPDATED:

Parti Ikhwanul Muslimin Menang Besar - BH Online

No comments:

Post a Comment