Friday, 2 December 2011

UPDATED: "Bersedia jika kalah", adalah the missing puzzle di PAU 2011

Saya sebenarnya masih menunggu andainya ada di kalangan perwakilan UMNO yang berucap pada Persidangan Agung UMNO (PAU 2011) ini akan memperkatakan mengenai “[bentuk] persediaan yang perlu dibuat seandainya UMNO menjadi pembangkang selepas PRU13 nanti”.

Sumber foto: (sini)

Bagi saya, inilah ‘isyarat’ yang saya dapati (anda mungkin berbeza pandangan dengan saya) setelah mengamati ayat berikut, nukilan terbaharu Dr MAZA:

"Cumanya, saya dapati penulis ucapan Presiden kurang kemas dalam menyampaikan mesej sebelum pilihanraya itu. Tidak dari segi bahasa, tidak juga kekemasan di sudut isinya. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih mantap daripada itu". Sumber: (sini)

Seperti mudah dijangka, parti terbesar yang mewakili orang-orang Melayu ini, di PAU 2011, sekalipun telah kehilangan majoriti 2/3, masih juga bertutur di dalam nada dan bahasa yang sama, tidak banyak bezanya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Seperti sukar benar untuk mendengar perkataan dan peringatan ‘andai kita kalah’ itu timbul dan dibahaskan oleh para pemimpin dan perwakilan UMNO.

Logiknya, jika ingatan yang keras tidak diberikan, maka apa yang menggantikannya adalah feel good factors  (rasa selesa) yang akan terus subur di dalam hati dan sanubari segenap mereka yang hadir.

Mungkin ramai perwakilan yang awalnya hadir ke PAU dengan rasa bimbang (melihatkan apa yang sedang berlaku di kawasan masing-masing), tetapi setelah disorongkan pujian dan sanjungan, bisa sekali menukar rasa bimbang kepada rasa selesa dan rasa takkan kalah apabila menghadapi PRU yang akan datang nanti.

Setakat ini saya belum terbaca laporan (mungkin ada, entah) adanya pemimpin atau perwakilan yang berani tampil ‘menyerahkan tengkok’ (atau kepentingan/jawatan mereka dalam parti) demi memperingatkan para pemimpin supaya mengambil langkah lebih bersedia andainya kalah pada PRU13 kelak. Rata-rata masih selesa dengan ucapan bermodalkan 'masuk bakul angkat sendiri, menghentam orang dan ‘mencipta musuh baru'.

Pujian dan sanjungan tidaklah salah, tetapi apalah gunanya segunung pujian pun andainya UMNO jatuh tertiarap pada PRU13 nanti.

Nampaknya tidak banyak yang telah dikupas dan dibahas (untuk diambil pengajaran) mengenai apa yang telah dialami oleh UMNO setelah jatuh terduduk di Selangor dan GERAKAN pula ‘kalah sampai tinggal hanya seluar dalam’ di tangan DAP di Pulau Pinang.

Apakah jaminan episod yang sama tidak akan berulang pada PRU13? 

Jatuh terduduk lebih mudah untuk bangun semula berbanding jika jatuh tertiarap. Sebab bila sudah tertiarap, dikhuatiri terlena terus (a.k.a tak bangkit-bangkit dah).

Seperti di Selangor, UMNO, setelah tewas mengejut, seperti orang yang terkial-kial selepas “ditampar di dalam gelap”. Ini kerana mereka tidak nampak musibah yang bakal menimpa dek kerana begitu yakin 'takkan kalah sebesar itu'. 

Manakala mereka-mereka yang sepatutnya memberikan ingatan dan ‘isyarat’ pula gagal berperanan, sebaliknya ‘tumpang semangkuk’ dengan memberikan nasihat dan laporan yang salah kepada pemimpin.

Itu nasib UMNO di Selangor. Belum lagi dibahaskan nasib yang menimpa parti GERAKAN di Pulau Pinang yang sehingga ke hari inipun masih terkial-kial untuk memulihkan krisis dalaman partinya (itu belum lagi menyelesaikan halnya dengan rakyat/para pengundi).

Saya tidak kira coretan ini akan didengar oleh sesiapa. Tetapi mungkinkah UMNO akan belajar daripada kekalahannya yang lalu? Inilah yang saya nak lihat. 

Segalanya kini terserah kepada para pemimpin dan perwakilan yang sedang berkobar-kobar untuk menang 2/3 dan di masa yang sama mencipta “musuh baru” menjelang PRu ke-13 akan datang ini.

(ingatan yang mungkin berguna untuk pembangkang juga). 

Sekian.

UPDATED:


1) Hari ini (Sabtu), tampillah En. KJ dengan ingatan berikut. Baca: Buat sesuatu atau hilang nikmat pemerintahan

2) Terima kasih kepada saudara yang lontarkan komen di blog ini pada bulan lepas. Dapatlah saya berkenalan dengan beberapa sahabat baru.

No comments:

Post a Comment