Thursday, 17 November 2011

Kajian ILHAM Centre: Suatu "wake up call" buat PAS Pulau Pinang?

Kelat rasa tekak

Perumpamaan "Sudah terhantuk, baru tengadah" - lazimnya digunakan bagi menjelaskan keadaan bilamana seseorang itu yang "selepas dapat susah, baru nak beringat-ingat".

Perumpamaan inilah yang tergambar di kepala saya bilamana hari ini (Khamis), saya membaca laporan atau ringkasan atau ulasan hasil kajian oleh Ilham Centre yang disiarkan di the Malaysian Insider.


Ringkasan: Kajian ini dijalankan oleh Ilham Centre di antara 7 hingga 9 Oktober 2011 dengan melibatkan 720 responden (pengundi berdaftar) berbangsa Melayu. Daripada jumlah tersebut, 43% responden merupakan ahli UMNO dan bakinya (57%) adalah "pengundi atas pagar". Soal-selidik ini diagihkan di 3 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU-12 iaitu di kerusi Kepala Batas dan Tasek Gelugor (Parlimen) dan Bayan Lepas (DUN).

(Isu yang ingin diketengahkan oleh saya adalah spesifik. Makanya, saya minta anda baca artikel penuh untuk laporan lengkap)

Apa yang ingin saya sentuh di sini adalah dapatan kajian yang merangkumi analisis/penilaian persepsi pengundi atau responden terhadap prestasi dan kemampuan pimpinan PAS di dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang (PP). 

Sayang seribu kali sayang, kerana laporan yang dikeluarkan ini tidak membawa bersamanya "khabar gembira" untuk didengar, baik kepada pemimpin PAS, mahupun para pendokong parti tersebut.

Sungguhpun hasil kajian ini boleh dicabar oleh pihak PAS kerana ia hanya mengambilkira pandangan pengundi (ahli UMNO) dan mereka yang berada "di atas pagar", namun tidak dapat tidak, penilaian di luar zon selesa (tanpa melibatkan ahli parti sendiri) adalah amat diperlukan.

Terutama setelah PAS kini telah bersama dalam Pakatan telah membentuk kerajaan yang mentadbir Pulau Pinang.

Makanya, persepsi rakyat yang bukan ahli parti adalah penting jika PAS benar-benar ingin melihat serta menilai sejauh mana kemampuan parti tersebut merubah persepsi negatif orang Melayu-Islam setelah PAS bersama DAP, ataupun juga sama ada PAS berupaya menambah sokongan (menerusi segmen baru iaitu peralihan undi parti lawan) semenjak bersama membentuk kerajaan negeri.

Berikut adalah beberapa aspek yang saya rasakan penting untuk diketengahkan di dalam posting ini. Perlu diingat bahawa 57% responden adalah mereka yang "di atas pagar":

1) Lemah bertindak

Di antara aspek pada kajian oleh Ilham Centre yang dapat saya simpulkan adalah para responden berpendapat PAS PP masih lemah di dalam bertindak atau untuk memainkan peranan yang berkesan menjuarai isu-isu melibatkan kepentingan Melayu dan Islam. 

Petikan berikut menjelaskan hakikat ini:

"Kajian itu menunjukkan bahawa PAS tidak menjuarai kepentingan memandangkan parti Islam tersebut tidak memberikan kesan di hati pengundi Melayu. Malah menurut kajian itu, kehadiran PAS tidak dilihat sebagai pembela Melayu-Islam manakala tokoh-tokoh dan kepimpinanya kurang dikenali oleh pengundi berbanding tokoh-tokoh Umno."

2) Lemah memimpin

Aspek kedua yang disentuh adalah berkaitan kelemahan barisan kepimpinan PAS PP dari kacamata para pengundi atau responden. Isu ini memerlukan perhatian khusus oleh pimpinan atasan PAS terutama mendapatkan ikhtiar bagaimana untuk memperkasakan lagi kualiti pemimpin supaya PAS PP dapat bergerak secara lebih berkesan dan seterusnya menyumbang kepada pemantapan Islam.

“Pada pengamatan Ilham, ini kerana PAS di bawah Pesuruhjaya (PAS) Salleh Man terlalu lemah dan gagal meletakkan PAS dikenali dan disegani oleh pengundi sama ada dari segi kebajikan, program kemasyarakatan, dakwah semuanya tidak membekas di hati orang Melayu.”

3) Doktrinisasi oleh media arus perdana

Salah satu elemen penting yang dibangkitkan oleh kajian ini ialah fungsi (bercorak propaganda) yang dimainkan secara berulang-ulang oleh media arus perdana sehingga mencetuskan imej kabur buat PAS PP di mata para pengundi khususnya, dan masyarakat amnya.

Peranan media arus perdana yang secara berterusan menanamkan doktrin Ke-Cinaan DAP di dalam urusan pentadbiran negeri PP, secara tidak langsung telah mengecilkan peranan dan kepentingan PAS (dan PKR) sebagai rakan di dalam Pakatan.

Hal ini bukan sahaja dirasai di PP, bahkan laporan media yang bercorak pecah dan perintah ini juga telah menanam suatu persepsi di benak pemikiran masyarakat supaya berfikir PP adalah DAP (dahulunya Gerakan - juga orang Cina), manakala Kelantan dan Kedah adalah di bawah PAS.

Mengasingkan pentadbiran sesebuah negeri dan parti yang memerintah ini adalah berbeza sekali dengan apa yang seharusnya masyarakat fahami iaitu PP, Kedah, Kelantan dan Selangor adalah ditadbir oleh Pakatan, secara kolektif.

Namun hakikat ini tidak berlaku, terutama apabila membicarakan persepsi pengundi di PP kerana menurut kajian Ilham lagi, responden melihat:

“PAS pula dikaitkan sebagai boneka DAP."

Wake up! Wake up!

Respon yang segera lagi membina oleh pimpinan PAS, khususnya PAS Pusat dan Pulau Pinang amatlah ditagih saat ini. 

Penjelasan yang "masuk akal" serta memuaskan wajar diberi seandainya PAS berhajat untuk meyakinkan (1) rakyat, (2) para pengundi (Melayu-Islam khususnya), dan (3) pendokongnya di PP bahawa PAS masih kuat dan masih berperanan secara signifikan di dalam konteks pentadbiran PP bersama-sama dengan DAP dan PKR.


Sungguhpun apa yang dilaporkan oleh kajian ini hanyalah soal-selidik yang berpandukan persepsi orang (yang bersifat subjektif dan mungkin berubah-ubah mengikut peredaran masa dan isu setempat), adalah wajar ianya diambil dan dijadikan input untuk memacu usaha PAS ke arah memperbaiki kelemahan parti itu di PP - termasuklah merenung kembali kelemahan gerak kerja, kualiti pemimpin serta strategi media dan publisiti.

Adalah menjadi harapan banyak pihak untuk PAS tidak segera "membakul-sampahkan" hasil kajian ini, atau mengambil sikap "in-denial" (menafikan) apa yang berlaku kini.

Jika ini berlaku (bersikap menafikan), maka PAS juga akan dianggap 2 x 5 sahaja dengan "yang di sebelah sana".

"Kongsi" payung, bukan "tumpang" payung

Sungguhpun sejarah menunjukkan kepada kita bahawa PP dari awal lagi adalah negeri yang secara "tradisinya" ditadbir oleh orang Cina, PAS sewajarnya, melalui dasar bersama dalam Pakatan, menampakkan amalan perkongsian kuasa, bukannya menumpang kuasa.

Mungkin apa yang dicita (melalui dasar bersama Pakatan) dengan apa yang dilihat (realiti di PP) tidak sama, yang akhirnya membuatkan pengundi Melayu-Islam di PP (di dalam kajian ini) melihat PAS hanya menumpang teduh payung DAP, sehingga dianggap bertuankan DAP (dibantu pula dengan propaganda media arus perdana).

Penutup: Hendak terhantuk atau perlu dihantuk?

Sebagai penutup, suka saya kaitkan kembali pepatah yang di awal posting ini tadi. 

Cuma bezanya di sini, sebagai penutup, suka saya lontarkan persoalan-persoalan berikut agar para pembaca fikirkan jawapannya.

Q1: Apakah setelah didedahkan oleh kajian Ilham Centre ini, pimpinan PAS akan melakukan sesuatu yang boleh mengubah keyakinan para pengundi di PP terhadap parti tersebut mereka sebelum tibanya PRU-13?

Q2: Apakah PAS telah atau sedang terhantuk dan kini tengadah melalui pendedahan ini?

Q3: Atau, sekiranya PAS masih bersikap menafikan, apakah mungkin selepas ini PAS perlu dihantuk (melalui undi semasa PRU-13) oleh para pengundi Melayu-Islam supaya ia tengadah / berubah menjadi lebih diyakini?

Bunyinya kasar dan saya minta maaf untuk itu. 

Namun bak kata moderator JKKK Fan Club, Kata Biar Terasa. Itupun seandainya PAS masih berkeinginan untuk ganti UMNO

Renungkanlah "formula" berikut:

--------------------------

UMNO = Perdana Menteri Malaysia

PAS = ganti UMNO

= PAS ganti Perdana Menteri Malaysia!

--------------------------

Dok gitu?

No comments:

Post a Comment