Thursday, 29 September 2011

Menanggalkan 'perisai' orang Melayu...satu demi satu...

Protectionism, no more...

Di dalam ucapan beliau bersempena pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sebentar tadi, YB Perdana Menteri telah membangkitkan seruan agar orang-orang Melayu tidak lagi bersembunyi dengan berlindung di sebalik 'government protectionism' (baca: dasar-dasar affirmatif kerajaan yang bersifat melindungi kepentingan kaum Melayu) jika mahu kekal releven di arus persaingan global hari ini.

Laporan penuh boleh anda rujuk dan baca di sini: Have dignity and shed protectionism, Najib tells Malays

Berucap di hadapan kira-kira 10,000 orang Melayu di majlis berkenaan, PM menegaskan;

"Jika Melayu ingin menjadi bangsa yang bermaruah, mereka tidak boleh lagi berselindung di sebalik perlindungan (kerajaan), kita perlu menjadi berani dan mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri....kerana kita juga memiliki kekuatan dan daya upaya".

Tambah beliau lagi;

"Sekiranya kita masih bergantung kepada perlindungan ini, ia tidak akan dapat menjamin survival bangsa (kita)".

Minda Melayu Abad ke-21

Perdana Menteri juga turut menyeru supaya umat Melayu hari ini segera mengikis dan membuang sikap-sikap buruk yang sinonim dengan 'kemalasan' dan 'kemunduran' orang Melayu seperti lembab, tidak kreatif serta jumud selain tidak terbuka terhadap perubahan.

Melayu hari ini, abad ini, perlu 'tegar' dengan ciri-ciri dan kualiti Melayu Abad ke-21 yang meletakkan sesuatu kejayaan yang ditempa itu adalah melalui usaha dan daya upaya diri, bukannya diperoleh secara mengambil untung daripada perlaksanaan dasar-dasar affirmatif yang disediakan kerajaan.

Macam kura-kura

Di dalam majlis yang sama, PM turut melahirkan sokongan beliau terhadap pelan strategi MTEM bagi memperkasa kumpulan perniagaan orang Melayu* di sebalik kecaman dan kritikan terhadap beliau dan kerajaan yang sebelum ini dikatakan terlalu lembab (macam kura-kura) di dalam mengimplementasikan insentif-insentif yang bersifat pro-bumiputra.

(Nota: * Dewan Perniagaan Melayu dianggotai oleh 63 kumpulan Melayu/NGOs, dengan Mapem muncul sebagai kumpulan yang berpengaruh. Mapem (Majlis perundingan ekonomi Melayu) dipimpin oleh Rozali Ismail, orang besar Puncak Niaga yang juga pelobi berpengaruh di dalam UMNO, khasnya di negeri Selangor)

Berhati-hati membawa perubahan

Saya secara peribadi menyokong usaha-usaha murni dari pelbagai pihak bagi mendaya-upayakan ('empower' kata orang puteh) umat Melayu agar menjadi kuat dan harapnya suatu hari nanti kita akan kembali "meneraju perubahan dan pembangunan".

Tetapi......(ada tapi-nya), dalam masa banyak pihak begitu ghairah dengan agenda perubahan ini, saya juga secara peribadi merasa khuatir, setelah melihat tindakan yang sedang dan bakal diambil oleh PM untuk menanggalkan 'perisai' orang Melayu ini, satu demi satu.


-------------------------
Nota: 

- "Dasar" dan "Perlaksanaan Dasar" adalah dua perkara yang berbeza, sekalipun ianya berkaitan. 

- Maksudnya, dasar affirmatif dibentuk bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan terutama di dalam peluang ekonomi kaum Bumiputra dengan non-bumi, ini murni. 

- Tetapi perlaksanaannya banyak dipertikai terutama aspek ketirisan, rasuah, Ali-Baba, kroni dan kabel dan bermacam lagi.

Big Q: Apakah dasar itu yang tidak baik? Atau perlaksanaan dasar itu yang sebenarnya bermasalah, dan itulah yang seharusnya diperbaiki, dan bukannya dimansuh terus dasar itu? 
--------------------------

Seperti posting saya sebelum ini, telah saya katakan bahawa perubahan adalah lumrah dan mahu tidak mahu perubahan itu akan datang dan kita perlu hadapinya, andai kita enggan berubah, makanya kita akan diubah, atau 'bungkus'.

Namun, berhati-hatilah membawa perubahan kerana saya yakin perubahan yang terlalu drastik (seperti mansuh dasar itu dan ini) demi mencapai keuntungan jangka pendek (short-term political gains) hanya akan merugikan orang Melayu dan seterusnya menolak orang Melayu jauh ke belakang.

Pada hemat saya, kerajaan yang memegang kuasa hari ini perlulah proaktif bagi meremajakan semula dasar-dasar yang murni melalui pemakaian kaedah-kaedah baru yang lebih cekap, diyakini dan telus (di dalam proses melaksanakan dasar-dasar). 

Tidak melampau jika saya katakan sekiranya perlaksanaan dasar-dasar ini diperbaiki agar lebih berkesan, bukan sahaja kaum Melayu yang mendapat hak dan keadilan, hak-hak untuk kaum lain juga dapat dilindungi.

Tiada guna kalau PM mansuh semua dasar yang melindungi bumiputra seandainya beliau tidak berupaya memotong "kabel-kabel yang berselirat" (yang merugikan orang Melayu yang layak) apabila begitu ramai mereka yang "tidak layak" telah beroleh kekayaan yang amat luar biasa.

Saya ulang "amat luar biasa".

Bahkan dengan mereka-mereka yang tidak layak tetapi berlindung di sebalik kelemahan perlaksanaan dasar affirmatif inilah, secara langsung telah mencuri manfaat yang seharusnya menjadi hak mereka yang terbanyak dan hak generasi anak-cucu kita.

Ketidakpuashatian inilah yang melebarkan lagi perpecahan sesama orang Melayu.

Bukti kejayaan 1Malaysia? 

Saya tinggalkan bahagian ini untuk para pembaca yang budiman membuat kesimpulan masing-masing.
 

No comments:

Post a Comment