Friday, 30 September 2011

Thursday, 29 September 2011

Menanggalkan 'perisai' orang Melayu...satu demi satu...

Protectionism, no more...

Di dalam ucapan beliau bersempena pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sebentar tadi, YB Perdana Menteri telah membangkitkan seruan agar orang-orang Melayu tidak lagi bersembunyi dengan berlindung di sebalik 'government protectionism' (baca: dasar-dasar affirmatif kerajaan yang bersifat melindungi kepentingan kaum Melayu) jika mahu kekal releven di arus persaingan global hari ini.

Laporan penuh boleh anda rujuk dan baca di sini: Have dignity and shed protectionism, Najib tells Malays

Berucap di hadapan kira-kira 10,000 orang Melayu di majlis berkenaan, PM menegaskan;

"Jika Melayu ingin menjadi bangsa yang bermaruah, mereka tidak boleh lagi berselindung di sebalik perlindungan (kerajaan), kita perlu menjadi berani dan mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri....kerana kita juga memiliki kekuatan dan daya upaya".

Tambah beliau lagi;

"Sekiranya kita masih bergantung kepada perlindungan ini, ia tidak akan dapat menjamin survival bangsa (kita)".

Minda Melayu Abad ke-21

Perdana Menteri juga turut menyeru supaya umat Melayu hari ini segera mengikis dan membuang sikap-sikap buruk yang sinonim dengan 'kemalasan' dan 'kemunduran' orang Melayu seperti lembab, tidak kreatif serta jumud selain tidak terbuka terhadap perubahan.

Melayu hari ini, abad ini, perlu 'tegar' dengan ciri-ciri dan kualiti Melayu Abad ke-21 yang meletakkan sesuatu kejayaan yang ditempa itu adalah melalui usaha dan daya upaya diri, bukannya diperoleh secara mengambil untung daripada perlaksanaan dasar-dasar affirmatif yang disediakan kerajaan.

Macam kura-kura

Di dalam majlis yang sama, PM turut melahirkan sokongan beliau terhadap pelan strategi MTEM bagi memperkasa kumpulan perniagaan orang Melayu* di sebalik kecaman dan kritikan terhadap beliau dan kerajaan yang sebelum ini dikatakan terlalu lembab (macam kura-kura) di dalam mengimplementasikan insentif-insentif yang bersifat pro-bumiputra.

(Nota: * Dewan Perniagaan Melayu dianggotai oleh 63 kumpulan Melayu/NGOs, dengan Mapem muncul sebagai kumpulan yang berpengaruh. Mapem (Majlis perundingan ekonomi Melayu) dipimpin oleh Rozali Ismail, orang besar Puncak Niaga yang juga pelobi berpengaruh di dalam UMNO, khasnya di negeri Selangor)

Berhati-hati membawa perubahan

Saya secara peribadi menyokong usaha-usaha murni dari pelbagai pihak bagi mendaya-upayakan ('empower' kata orang puteh) umat Melayu agar menjadi kuat dan harapnya suatu hari nanti kita akan kembali "meneraju perubahan dan pembangunan".

Tetapi......(ada tapi-nya), dalam masa banyak pihak begitu ghairah dengan agenda perubahan ini, saya juga secara peribadi merasa khuatir, setelah melihat tindakan yang sedang dan bakal diambil oleh PM untuk menanggalkan 'perisai' orang Melayu ini, satu demi satu.


-------------------------
Nota: 

- "Dasar" dan "Perlaksanaan Dasar" adalah dua perkara yang berbeza, sekalipun ianya berkaitan. 

- Maksudnya, dasar affirmatif dibentuk bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan terutama di dalam peluang ekonomi kaum Bumiputra dengan non-bumi, ini murni. 

- Tetapi perlaksanaannya banyak dipertikai terutama aspek ketirisan, rasuah, Ali-Baba, kroni dan kabel dan bermacam lagi.

Big Q: Apakah dasar itu yang tidak baik? Atau perlaksanaan dasar itu yang sebenarnya bermasalah, dan itulah yang seharusnya diperbaiki, dan bukannya dimansuh terus dasar itu? 
--------------------------

Seperti posting saya sebelum ini, telah saya katakan bahawa perubahan adalah lumrah dan mahu tidak mahu perubahan itu akan datang dan kita perlu hadapinya, andai kita enggan berubah, makanya kita akan diubah, atau 'bungkus'.

Namun, berhati-hatilah membawa perubahan kerana saya yakin perubahan yang terlalu drastik (seperti mansuh dasar itu dan ini) demi mencapai keuntungan jangka pendek (short-term political gains) hanya akan merugikan orang Melayu dan seterusnya menolak orang Melayu jauh ke belakang.

Pada hemat saya, kerajaan yang memegang kuasa hari ini perlulah proaktif bagi meremajakan semula dasar-dasar yang murni melalui pemakaian kaedah-kaedah baru yang lebih cekap, diyakini dan telus (di dalam proses melaksanakan dasar-dasar). 

Tidak melampau jika saya katakan sekiranya perlaksanaan dasar-dasar ini diperbaiki agar lebih berkesan, bukan sahaja kaum Melayu yang mendapat hak dan keadilan, hak-hak untuk kaum lain juga dapat dilindungi.

Tiada guna kalau PM mansuh semua dasar yang melindungi bumiputra seandainya beliau tidak berupaya memotong "kabel-kabel yang berselirat" (yang merugikan orang Melayu yang layak) apabila begitu ramai mereka yang "tidak layak" telah beroleh kekayaan yang amat luar biasa.

Saya ulang "amat luar biasa".

Bahkan dengan mereka-mereka yang tidak layak tetapi berlindung di sebalik kelemahan perlaksanaan dasar affirmatif inilah, secara langsung telah mencuri manfaat yang seharusnya menjadi hak mereka yang terbanyak dan hak generasi anak-cucu kita.

Ketidakpuashatian inilah yang melebarkan lagi perpecahan sesama orang Melayu.

Bukti kejayaan 1Malaysia? 

Saya tinggalkan bahagian ini untuk para pembaca yang budiman membuat kesimpulan masing-masing.
 

Dengarkan: Halim Yazid - Bangkit asal


Antara lagu terbaik pernah saya dengar. 

Bukan sekadar enak didengar, bahkan terselit seribu pengajaran mengenai suka-duka dan jerih-perih hidup susah di kampung.

Lagu ini amat unik dan andai anda hayati penceritaan beliau, ditambah pula anda juga asal dari kampung, tentu akan dapat menggambarkan susah payah hidup waktu itu.

Rangkap pada lagu ini yang amat terkesan di hati saya:
 (i)
 Mek denge ayoh, masuk jadi peneroko baru
dale bukit nok tane getoh, di Kesedar Leber Satu
Pere denge rima gajoh, make tok make takdok sapo tahu
beginilah ore susoh, nok tanggung anok ngaji di U

(ii) 
Hari konvokesyen, hari untuk Ayoh Bondo
penat jerih seribu musim, harap mok ayoh beraso banggo
tahniah dari saing-saing, ambo trimo banyok bungo
ambolah ore panggil Halim
anok kapong susoh hok buleh bjayo....


Selain lagu ini saya juga amat menggemari aksi oleh "Wok Yoh, Pok Dogol, Hanuman Tenganga, Samad, Said dan yang lain-lainnya" - dipersembah melalui Dikir Barat oleh tukang karut kegemaran saya "Nik Mat Suara Emas". 



Memang "superb"!

Perkhidmatan keretapi mewah di India (bagi yg berduit) (14 foto)

Cut n paste dari sini: SUMBER
 
Gila ah mewah!

Maharajas Express ialah perkhidmatan keretapi mewah yang ditawarkan di India. Ia mempunyai 5 koc deluxe, 6 koc suite kecil, 2 koc suite besar dan satu koc kelas Presiden. 

Kesemua bilik didalam koc ini dihiasi dengan cukup mewah sekali dan untuk koc suite dan presiden dilengkapi dengan tandas persendirian lengkap dengan tab mandi! 

Bagi menunjukkan lagi kemewahan Maharajas Express mempunyai 2 koc dewan makan yang juga dihiasi macam rumah pegawai kerajaan korup makan duit rakyat. HAHAHA.

No seriously memang mewah gila Maharajas Expres ini. Selain hiasan dalaman yang opulent pihak Maharajas Exprees menyediakan seorang butler bagi setiap bilik kelas presiden dan suite besar. 

Kelengkapan skrin LCD dan internet jalur lebar juga disediakan. Harga tiket Maharajas Express ialah diantar USD800-2500 sehari. Termasuk dalam pakej mewah ini ialah perkhidmatan pemandu pelancong disetiap bandar keretapi ini berhenti. 

Maharajas Express ialah inisiatif kementerian pelancongan India bagi menarik pelancong kaya yang mahu mengembara keserata India dalam keadaan mewah dan selesa. Amaciem? Ada duit lebih?






Laporan asal EliteChoice

Wednesday, 28 September 2011

Menjawab salam Kafir Zimmi - Dr MAZA

Al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad di bawah tajuk Bab Kaif al-Radd ‘ala Ahl al-Zimmah (Bab Bagaimana Menjawab Salam Kafir Zimmi) meriwayatkan kata-kata Ibn ‘Abbas: “Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana ALLAH berfirman (maksudnya dari Surah al-Nisa ayat 86) "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu" (riwayat ini bertaraf hasan).
Dalam riwayat yang lain dalam al-Adab al-Mufrad juga di bawah bab Iza Kataba al-Zimmi Fasallama, Yuradd ‘Alaihi (Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya). Dalam bab ini dimuatkan kisah yang sahih di mana Abu Musa al-Asy’ari menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir?. Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka akupun menjawabnya”.
Sumber: FB Dr MAZA

Sadis: alasan 'tradisi' untuk menghalalkan 'pembunuhan'? (12 foto)

Sebuah artikel 'cut n paste' dari sini - SUMBER

Komen: Apabila orang miskin memburu binatang untuk makanan, ramai yang akan laungkan bantahan, atas alasan takut berlaku ancaman kepupusan spesis. Tetapi kisah sedih yang dialami setiap tahun di Kepulauan Faroe ini berlaku semata-mata untuk mengekalkan suatu tradisi yang 'kejam', sekalipun bakal membawa ancaman kepupusan spesis Pilot Whales tidak lama lagi (melihatkan skala penyembelihan yang begitu besar ini).

SADDDDDDDDDDDD!!

Bila berbicara tentang pemburuan paus negara yang sering dikaitkan dengan pemburuan haiwan mamalia ini ialah Jepun. Kalau menonton Discovery Channel you get the impression that Jepunlah negara yang paling kejam di dunia dalam hal pembunuhan paus. This is not actually true. Di Kepulauan Faroe, sebuah daerah di bawah jajahan takluk Denmark berlaku acara tahunan yang dipanggil "Grindadráp". Ianya hanya dilakukan oleh golongan lelaki dan diadakan ketika musim panas. 

Setiap tahun lebih 900 ikan paus pemandu (pilot whale) dibunuh oleh penduduk Faroe mengikit tradisi Grindadráp yang sudah berlangsung sejak 1584. Ikan paus ini pada awalnya dikepung dengan menggunakan kepong dan dihalau masuk kedalam sebuah teluk. Di pandai teluk berpuluh -puluh peserta Grindadráp akan membunuh paus yang sudah terperangkap. Mereka menggunakan cangkuk pada lubang udara ikan paus sebelum menyembelih mereka menggunakan Grindaknívur, sebuah parang khas yang direka untuk kegiatan pemburuan paus.

Setiap tahun pihak pencinta haiwan melobi supaya kerajaan Denmark mengharamkan pemburuan tahunan di Faroe. Malangnya mereka enggan melakukannya atas dasar "tidak mahu menyebabkan kepupusan tradisi tempatan". 

Pihak pecinta haiwan merasakan pengharaman harus dilakukan kerana jumpah paus pemandu sudah semakin sedikit dan pembunuhan secara pukal ini hanya akan menyebabkan kepupusan. Tambah sedih lagi paus pemandu yang dibunuh dibunuh secara rawak tanpa mempedulikan paus itu sedang membesarkan anak atau sedang bunting. 

Semuanya dibunuh atas nama tradisi. 

Di bawah ada gambar fetus paus yang dirobek keluar dari perut ibunya yang juga mati. SAD ASS SHIT!
 






Diolah dar WIKIPEDIa dan Gambar dari Rotunda

Tuesday, 27 September 2011

Selamat bersara Tuan Haji & edisi terkenang

Subjek berkaitan Orang Asli merupakan "personal interest" saya. Tetapi setelah membaca artikel di dalam sisipan Kosmo Online hari ini, ternyata ianya begitu berbeza.

"Mata saya pedih dan berair" setelah selesai membaca artikel ini, mungkin kerana sebak dan gembira.

Apa kaitan saya dengan Haji Mat dan Kuala Mu? Rujuk "nota kaki". Wassalam

-----------------------------------------------------------

Noktah Kembara Seorang Pendidik 

Oleh ALIF ABU BAKAR dan SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI





TEMPOH 18 tahun mengabdikan diri mendidik anak-anak Orang Asli dirasakan begitu pantas berlalu tanpa disedari oleh lelaki yang membuang pandangannya ke luar jendela.

Entah apakah yang bersarang di kepala insan bernama Ahmad Mohd. Sa’at yang mesra disapa Haji Mat itu. Adakah memikirkan nasib anak-anak pedalaman tersebut selepas peninggalannya, atau mungkin mengenang kembali segala kenangan yang pernah wujud sepanjang khidmatnya di tanah itu?

Walau apapun, tekaan isi dewan pada hari itu tidak penting. Perkara utama saat itu ialah penghargaan yang sewajarnya diterima Haji Mat kerana sudi menabur bakti sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, Sungai Siput Utara, Perak.



BIARPUN kecemerlangan anak-anak Orang Asli ini tidak sehebat murid di bandar, namun mereka amat patuh pada kata-kata guru.



Biarpun kemudahan dan kelengkapan sekolah terpencil itu tidak boleh dibanggakan, ia tidak pernah melahirkan keluh-kesah dalam diri lelaki berusia 58 tahun tersebut.

Perjalanan meredah bekas laluan lori balak dengan motosikal yang memakan masa lebih tiga jam bagi menuju ke penempatan itu juga sudah menjadi asam garam hidupnya.

Bukan itu sahaja, untuk sampai ke sekolah yang menjadi rumah keduanya itu juga, dia perlu melewati Bukit Galok, Bukit Petai dan Bukit Cermin yang sinonim sebagai laluan berbahaya.

Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itulah realiti yang didepani Haji Mat dan seluruh warga pendidik Kuala Mu yang terletak 73 kilometer (km) dari Sungai Siput Utara.

Setiap hari Ahad atau Isnin, Haji Mat akan turun ke Kuala Mu bagi menjalankan tugasnya di sekolah tersebut dan hanya keluar dari kampung itu pada hari Jumaat.

Meskipun rutin guru besar kesayangan anak tempatan Kuala Mu itu kedengaran begitu meletihkan, ia seakan-akan satu keseronokan buat dirinya yang jatuh cinta dengan keharmonian perkampungan serba daif itu.

“Rutin harian saya adalah mengajar pada waktu pagi manakala waktu petang, saya akan meluangkan masa bersama guru-guru dan penduduk kampung.

“Memandangkan di sini tiada talian telefon, waktu malam saya dan warga pendidik lain banyak dihabiskan dengan menonton televisyen.

“Tetapi mujur ada Internet yang memudahkan saya dan mereka yang lain berkomunikasi bersama ahli keluarga,” ujar Haji Mat yang berkhidmat di Kuala Mu sejak tahun 1993.

Guru larikan diri



PERSARAAN Haji Mat menyedihkan semua penduduk berikutan kesefahaman dan keakraban mereka begitu utuh.



Pelbagai pengalaman ditimba Haji Mat sepanjang khidmatnya dan rata-ratanya merupakan kenangan indah yang membuatkannya bertambah sayang kepada Kuala Mu.

Namun, sudah tentu ada beberapa kisah pahit yang masih belum luput daripada ingatan, antaranya ialah berdepan kerenah guru-guru yang ditugaskan di kawasan tersebut.

Menurut Haji Mat, ada guru yang melarikan diri pada waktu tengah hari selepas melaporkan diri pada waktu pagi dan ada juga yang hanya mampu bertahan selama seminggu ataupun sebulan sahaja.

Namun baginya, bertugas di Kuala Mu tidak sukar sekiranya seseorang pendidik itu memiliki kekuatan fizikal dan mental sama rata. Paling penting, menurutnya, adalah semangat survival yang tinggi.

Murid-murid Orang Asli di sekolah itu sememangnya istimewa pada pandangan Haji Mat. Walaupun mereka tidak sehebat anak-anak di bandar, namun mereka tidak buta huruf malah amat mendengar kata dan mudah dibentuk.



HAJI MAT (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama tenaga pengajar di SK Pos Kuala Mu.



“Terdapat beberapa bekas pelajar yang telah berjaya seperti Busu Ngah yang kini bertugas sebagai juruhebah Asyik FM dan Adzlan Pandak yang telah berjaya menjadi seorang guru.

“Melihatkan kejayaan mereka membuatkan saya berasa lapang dan itulah perkara paling menggembirakan dalam hidup saya.

“Saya sayangkan Kuala Mu kerana masyarakat Asli Temiarnya baik dan ramah. Memang sedih untuk bersara kerana semangat guru-guru mendidik anak-anak di sini masih bersama saya,” tutur Haji Mat berbaur sebak dalam ucapan perpisahannya.

Mencuri tumpuan dalam majlis tersebut adalah persembahan kumpulan koir. Dialunkan oleh pelajar-pelajar darjah empat hingga darjah enam sekolah itu, ternyata membuatkan suasana bertukar pilu.

Pelbagai riak emosi terpapar di dalam dewan tersebut saat itu, ada yang melinangkan air mata, ada yang menundukkan wajah dan ada juga yang sekadar menakung air mata tanpa mahu ia menitis ke pipi.

Sifat kebapaan



SIFAT kebapaan Haji Mat membuatkan anak-anak ini mudah mesra dengan guru besar kesayangan mereka itu.



Guru yang bertanggungjawab ke atas persembahan merentap emosi itu, Tarmizi Hassan, 28, menganggap Haji Mat sebagai seorang ketua yang benar-benar mendalami perasaan dan masalah kesemua warga pendidik Kuala Mu.

Mungkin normal bagi seorang ketua untuk membuat segala keputusan tanpa perbincangan anak buah, tetapi tidak bagi Haji Mat. Setiap yang dilakukannya adalah hasil perbincangan dan persefahaman setiap orang di bawahnya.

“Dia tidak pernah anggap diri sebagai seorang ketua tetapi lebih kepada seorang bapa yang prihatin terhadap anak-anaknya.

“Kami tidak merasai jurang guru besar dan guru biasa kerana dia meletakkan dirinya setaraf dengan orang lain,” luah Tarmizi yang telah enam tahun menabur bakti di Kuala Mu.

Begitu juga dengan Guru Kanan Kokurikulum sekolah tersebut, Mohd. Aminudin Rohani, 30, yang menyifatkan Haji Mat sebagai sumber rujukan utama semua orang termasuklah penduduk setempat.

Ujar Aminudin, mengajar di pedalaman tidak mudah dan adakalanya terlintas juga rasa tidak selesa dan putus asa. Namun, insan yang bertanggungjawab membangkitkan semula semangat dirinya dan rakan-rakan lain adalah Haji Mat.



MUAFAKAT penduduk kampung menjayakan majlis tersebut mencerminkan kasih mereka terhadap Haji Mat yang sudah dianggap seperti keluarga.



“Dia tidak hanya memahami anak-anak buahnya, Haji Mat turut disegani penduduk-penduduk kampung ini kerana sifatnya yang ramah dan suka bergaul.

“Kami tidak terkejut, anak-anak di sini rapat dan tidak takut kepadanya disebabkan kerendahan hati serta sifat kebapaan yang dimilikinya,” jelas Aminudin yang mula berkhidmat pada tahun 2002.

Fasih bahasa Temiar

Seorang lagi guru yang telah 11 tahun bersama-sama Haji Mat, Megat Asrul Megat Mohamed Yusof, 34, memberitahu, Haji Mat seorang individu yang tidak pernah marah dan sentiasa tersenyum.

Kelebihan berbahasa Temiar Haji Mat juga membuatkan dia begitu disegani penduduk kampung.

“Masyarakat di sini memang sensitif, jadi bukan sembarangan orang boleh merapati dan meyakinkan mereka.

“Itulah kehebatan Haji Mat kerana dia mampu bergaul mesra dengan penduduk di sini dan kelancarannya berbahasa tempatan banyak membantu kami menjalankan tugas sebagai guru.

“Memang sukar hendak mendapat seorang ketua mirip Haji Mat tetapi biarlah penggantinya seorang yang dapat memahami kehidupan dan perwatakan masyarakat tempat ini,” tutur Guru Kanan Pentadbiran sekolah itu.

------------------------------ 
Nota kaki: 

Ogos 2005 menandakan tamatnya perjalanan kajian (dan tesis) berkaitan pembangunan mapan komuniti orang asli yang saya (bersama Dr Ibrahim) usahakan selama 2 tahun.

Satu perenggan dalam tesis tersebut diselitkan maklumat temubual bersama Haji Mat dan Cikgu Megat mengenai situasi pendidikan anak-anak Orang Temiar di Pos Kuala Mu.

Sebulan juga saya berkampung di Pos Legap dan Pos Kuala Mu bagi menyelesaikan tugasan dan di Kuala Mu saya "menumpang kasih" di rumah guru di SK Kuala Mu.

Klik foto untuk besarkan


Sesungguhnya apa yang penulis artikel ini katakan mengenai Haji Mat bukanlah "masuk bakul angkat sendiri" bahkan itulah yang betulnya.

Malah, bagi insan dengan usia melebihi setengah abad (50 tahun+), beliau jauh lebih "muda", bahkan tetap cekal, kuat dan tabah berbakti untuk menyalur ilmu kepada anak-anak orang asli yang jauh lagi terpencil di pedalaman.

Bukan sahaja Tuan Haji, malah saya "tabik" Cikgu Megat dan lain-lainnya yang gigih dan pastinya akan meneruskan legasi yang ditinggalkan Tuan Haji.

Waktu di rumah guru, semua "bujang", dan mahu tidak mahu kena "pandai memasak", termasuklah Haji Mat.

Sepanjang di Kuala Mu (terutama di waktu malam apabila semua dok melepak kerana tiada apa-apa hiburan) saya gemar bersembang dengan Haji Mat.

Masih teringat bagaimana bercerita pengalamannya jatuh "scrambler" kerana tayar tersekat di dalam lumpur (waktu itu musim hujan) dan juga kisah tayar motor bocor di tengah hutan belantara yang sememangnya "Pak Belang" bebas berkeliaran.

Juga bagaimana setiap awal minggu, bunyi motosikalnya akan menarik kedatangan Tok Batin dari kampung sebelah untuk dengan meminta RM10 daripada beliau.

Saya katakan padanya 'kalau Tok Batin yang tu, saya dah temubual dia petang tadi....' haha. 

Moga Allah Taala "reward" segala jasa dan pengorbanan (amal jariah) Tuan Haji dan moga ilmu yang bermanfaat yang beliau curahkan akan mendatangkan manfaat juga kepada anak-anak orang asli.

.......dengan tiba-tiba, tiada-lah lagi bunyi 'scrambler' itu.......

Monday, 26 September 2011

Kisah doa Musa a.s. (Dr MAZA)

Baca artikel penuh di sini: SUMBER
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.

Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.

Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)

“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).

Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.

Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.

Petikan minggu ini


Petikan 1:
“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam” 

Petikan 2:
“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu,” katanya lagi.
---------------------------
Nota kaki:
Anda mungkin tidak setuju dengan saya, tetapi mana lagi nak cari pemimpin di dalam PAS yang boleh beri jawapan yang 'clear-cut' seperti TGNA ini.

Ketegasan di dalam menyata dan mempertahankan sesuatu pendirian seperti yang ditunjukkan oleh TGNA inilah yang sering membuatkan saya berfikir, siapakah yang boleh naik menggantikan beliau andainya tidak  lagi bertanding pada PRU-13 nanti?

Berbalik kepada perkara pokok.

Saya melihat ada 2 kemungkinan iaitu (1) DAP memang berpendirian untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara sekular seperti Peranchis, atau (2) mungkin secara tersiratnya DAP merasa perlaksanaan undang-undang hudud (jika berlaku), akan menjauhkan para pelabur (para kapitalis yang sekular) dari datang melabur ke Malaysia.

Maklumlah, Islam itu telah lama digambarkan dengan pelbagai gambaran yang serba negatif (a.k.a pelbagai label yang salah telah cuba 'diperlekat' pada Islam seperti mundur, miskin, kolot, extrimis etc.).

Kalau di negara yang diperintah bukan Islam tidaklah begitu terasa hati ini. Namun, apabila berlaku di tanah air sendiri - ada yang tidak membenarkan pekerja Islam bersolat Zohor dan Asar (dan Jumaat) kerana boleh menjejaskan produktiviti - ianya menyedihkan, sampai begitu sekali Islam ditekan.

Justeru, apa nak hairan dengan tentangan, ugutan dan bangkangan sebegini?

Cerita mengenai hudud bukannya benda baru atau yang hanya muncul tahun ini.

Malah seminar dan hari hudud di Kelantan telah dibuat sebagai acara tahunan sedari PAS belum menjadi anggota PR lagi.

Akhirnya, saya melihat kupasan terhadap isu ini masih 'baru' dan tidak adil untuk dikomen secara terlalu terperinci. Tunggulah setelah isu ini 'matang' sedikit dan maklumat lebih banyak, baru lebih adil untuk komen.

Wassalam.

Sunday, 25 September 2011

Bahasa apa nak guna? Dilema seorang akademik...

Nota awal: 

1) Saya sempat mengikuti satu sesi latihan bersama Prof Tajuddin sewaktu di UTM beberapa tahun lepas. Jika tidak silap berkaitan penggunaan video untuk menyampaikan kuliah (kita rakam video untuk setiap module, dan kita upload dan pelajar boleh download dari e-learning sambil makan nasi lemak dari kafeteria dan jika bosan mendengar kita berceramah, boleh forward atau tidur akibat penangan nasi lemak.....)

2) Apa yang beliau coretkan ini amat berguna untuk "direnung awal-awal" oleh sesiapa yang bakal bergelar pensyarah/pendidik. Persiapkan diri sebelum terkena "kejutan budaya mengajar di universiti".

3) Fenomena kebanjiran penuntut luar terutama dari Timur Tengah dan Afrika selain budaya 'plug-in' (a.k.a tidak salin nota tapi berlumba-lumba nak cucuk pendrive pada laptop pansyarah setiap kali selesai kuliah) adalah realiti. 

4) Itu belum lagi menyentuh perihal budaya, cara berpakaian, cara bercakap, cara datang nak bincang tugasan dan markah oleh pelbagai macam penuntut dari serata tempat.

5) Isu penyampaian (penggunaan bahasa) juga adalah perlu difahami. Masing-masing orang cerdik pandai ini ada pandangan tersendiri dan ada polisi yang perlu mereka patuh sebagai kakitangan awam yang "Berkhidmat Untuk Negara"...

Artikel yang menarik, tetapi agak panjang.

-----------------------------
 
Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi 

21 September 2011 

21 SEPTEMBER – Tujuan utama saya menulis komentar ini adalah untuk menjemput Kementerian Pengajian Tinggi membantu saya dalam usaha saya menyebarkan ilmu terutamanya kepada anak bangsa kita di Malaysia.

Dilemanya adalah, bahasa apakah yang harus saya gunakan ketika berhadapan dengan kelas saya yang seringkalinya mempunyai 55 peratus pelajar Melayu, 44 peratus bukan Melayu dan 1 peratus warga negara asing?

Dilemanya mudah sahaja: kalau digunakan Bahasa Melayu, 1 peratus pelajar terpinggir, 99 peratus mempunyai keupayaan cemerlang; kalau digunakan Bahasa Inggeris, kaum bukan Melayu mempunyai keupayaan cemerlang yang lebih manakala Melayu dan warga asing dari negara lain berkeupayaan ‘mediocre’ atau agak hambar.

Kebanyakan warga negara asing yang masuk kelas saya sehingga kini, 100 peratus dari mereka mempunyai tahap Bahasa Inggeris yang lebih lemah berbanding pelajar tempatan yang dalam kategori ‘paling lemah’.

Dari sudut statistik dan ketamadunan bangsa, saya patut bersyarah dalam Bahasa Melayu tetapi pihak pentadbiran universiti lebih suka kalau saya bersyarah dalam Bahasa Inggeris. 

Kenapa demikian? Kita kena imbas sedikit sejarah masalah bahasa pengantar ini. 

Masalah bermula 

Semasa saya mula menjadi pensyarah pada tahun 1987, saya telah diberitahu bahawa sebolehnya saya harus memberi kuliah dalam Bahasa Melayu.

Sebagai seorang yang telah 6 tahun belajar di Amerika Syarikat, saya agak kekok sebab saya lebih pandai menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu. 

Bahasa Melayu saya ketika itu adalah peringkat SPM/MCE tetapi Bahasa Inggeris saya adalah peringkat Sarjana Seni Bina.

Walau bagaimana pun, saya kommited terhadap penyebaran ilmu (bukan sebab universiti suruh) dan saya berusaha memberi kuliah dan menulis buku dalam Bahasa Melayu.

Hanya dalam seminar kebangsaan dan antarabangsa saya bersyarah dalam Bahasa Inggeris. Saya juga menghasilkan beberapa buah buku dalam Bahasa Inggeris tetapi lebih banyak dalam Bahasa Melayu.

Pada tahun 2003, Tun Mahathir Mohamad mengarahkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.

Saya terkejut kerana ia adalah suatu keputusan ‘peribadi’ yang mendadak tanpa perbincangan di kalangan ahli akademik dan cerdik pandai.

Walau pun Tun Mahathir menyebut bahawa tujuan ini adalah selaras untuk memajukan bangsa Melayu dalam saingan pekerjaan, tetapi saya menjangkakan bahawa ia adalah strategi mainan politik semata-mata.

Tetapi, malangnya keseluruhan jentera pentadbiran negara sibuk menyokong tindakan Mahathir dan hanya segelintir profesor yang menentang tindakan tersebut.

Di UTM, apabila perubahan PPMSI berlaku, semua pensyarah mendapat pekeliling untuk membuat syarahan dalam Bahasa Inggeris. 

Mengajar dalam dua bahasa 

Apabila saya menerima ‘arahan’ atau ‘cadangan’ tersebut, saya mengajar dua subjek: Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina, dan Struktur Seni Bina.

Saya tidak mengikut ‘arahan’ universiti bagi subjek Sejarah, Teori dan  Falsafah Seni Bina tetapi akur dalam subjek Struktur Seni Bina. 

Bagi subjek Struktur Seni Bina, ia bersifat matematik dan pengiraan serta kesemua jadual beban adalah dalam Bahasa Inggeris.

Saya masih berkuliah dalam Bahasa Melayu untuk subjek Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina kerana subjek ini memerlukan banyak pembacaan dan juga penulisan esei panjang. Lagi pun, pendidikan sejarah dan falsafah harus ditulis semula dalam bahasa lain dari Bahasa Inggeris bagi proses kefahaman yang matang.

Sebab ketiga adalah ramai pelajar yang menulis Projek Akhir Sarjana Muda yang berbentuk format tesis banyak menggunakan ‘downloading’ dari internet. Budaya ‘downloading’ atau plagiarisme dari internet adalah suatu isu besar yang ‘jarang-jarang kedengaran’ di luar universiti.

Saya telah menegur Ketua Jabatan supaya tidak membenarkan pelajar tempatan menulis dalam Bahasa Inggeris tetapi Ketua Jabatan mengatakan bahawa arahan universiti adalah untuk membenarkannya demi pembudayaan Bahasa Inggeris dan usaha internalionalisme UTM.

Pada suatu ketika pernah salah seorang pelajar Tahun Akhir saya membentangkan ‘Graduating Project’ yang dibuat dalam Bahasa Melayu dan telah digagalkan oleh salah seorang dari panel pemeriksa walau pun empat panel pemeriksa yang lain memberi markah ‘A’ bagi projek tersebut.

Pemeriksa berbangsa asing itu enggan menukarkan grednya walau pun saya telah menjelaskan projek itu dalam Bahasa Inggeris dan lakaran pelan, keratan, aksonometrik dan perspektif jelas kelihatan terpampang. Setelah dilaporkan insiden tersebut, pihak Jabatan dan Fakulti mengambil keputusan menolak gred pemeriksa asing tersebut.

Setahun selepas insiden tersebut, saya masuk ke kelas Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina dan mula memberi syarahan dalam Bahasa Melayu.

Tiba-tiba salah seorang pelajar mengangkat tangan dan mengatakan yang dia tidak faham Bahasa Melayu. Rupa-rupanya buat pertama kali selepas 18 tahun mengajar, ada seorang pelajar berbangsa asing dari Iran dalam kelas saya.

Pada tahun itu UTM telah membuka pintunya kepada pelajar asing dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda. Saya tergamam seketika. 

Yang mana satu? 

Selama ini saya tidak mengendahkan arahan pentadbiran untuk berkuliah dalam Bahasa Inggeris tetapi kini apa yang harus saya buat dengan pelajar asing ini? Buku apa yang perlu saya edarkan kerana kesemua pelajar telah diarahkan membeli buku-buku saya yang dalam Bahasa Melayu?

Saya mencuba berdwi bahasa tetapi ia sesuatu yang amat sukar. Pada semester seterusnya, saya terpaksa berkuliah dalam Bahasa Inggeris kerana terdapat tiga lagi pelajar dari negara asing.

Walau bagaimana pun, saya tetap menyuruh penulisan tugasan dalam Bahasa Melayu kepada pelajar tempatan.

Universiti pada ketika itu mengarahkan hampir kesemua soalan peperiksaan  dibuat dalam dwi bahasa. Namun demikian apa guna soalan dalam dwi bahasa jika pensyarahnya pula dari negara asing?

Yang peliknya apabila saya mengajar sesuatu subjek saya diarahkan membuat soalan dwibahasa tetapi pada pensyarah luar negara tidak diperlukan pula. Saya amat keliru tentang hala tuju mana yang UTM akan pergi.

Dari sudut penulisan pula terdapat beberapa pensyarah Melayu yang enggan lagi menulis dalam bahasa ibunda. Ini adalah kerana Bahasa Melayu difikirkan sama dengan ilmu ‘bertaraf rendah’.

Markah untuk kertas jurnal dan kertas seminar berbeza dengan yang antarabangsa yang diberikan kadang-kadang sehingga dua kali ganda lebih dari kertas berbahasa Melayu. Segala macam anugerah, penyeliaan dan penerbitan dilebihkan markah kepada yang antarabangsa.

Malahan kini terdapat sebuah jabatan pengajian yang sebumbung dengan jabatan bidang saya yang mewajibkan tulisan laporan subjek teras dalam Bahasa Inggeris!

Saya berasa lebih pelik dan terkilan kerana bahasa dan bangsa sendiri dipinggirkan oleh orang yang dari bangsa, kaum dan budaya yang sama.

Walau pun saya banyak juga menulis kolum akhbar atau kertas seminar dalam Bahasa Inggeris, saya juga mengimbangi jumlah tersebut dengan keluaran-keluaran dalam Bahasa Melayu. 

Ke mana Bahasa Melayu? 
Apa yang saya ingin sampaikan adalah ke mana nasib Bahasa Melayu di  universiti setelah dasar PPMSI diubah kembali kepada status quo. Ke mana?

Hanya beberapa tahun selepas 2012, pelajar akan memasuki UTM yang mana Matematik dan Sains SPMnya dalam Bahasa Melayu. What then, I wonder?

Masihkah perlu akademik seperti saya berkuliah dalam Bahasa inggeris? Mungkinkah strategi universiti pada waktu itu akan memberi kursus intensir Bahasa Inggeris selama 6 bulan berbanding dengan satu tahun intensif Bahasa Melayu untuk warga asing?

Jika demikian patutkah saya menulis buku dalam Bahasa Melayu lagi? Mungkinkah Dewan Bahasa dan Pustaka perlu ‘tutup kedai’ ketika itu?

Sebenarnya saya tidak ada masalah besar jika negara kita menukar dasari bahasa ilmu kepada Bahasa Inggeris. Malah saya akui, I speak and write better English than I do with Bahasa Melayu.

 Tetapi adakah orang Melayu akan mengabaikan budayanya sendiri dan menjadi seperti Singapura yang telah melupakan kebudayaan aslinya dan menjadi sebuah negara “Asia pun tidak, Barat pun tak juga”.

Jika kita tidak memartabatkan Bahasa Melayu maka ‘might as well forget this language lah’ and concentrate on English’. 

Amalan dua aliran

Tetapi jika kita masih hendakkan status antarabangsa dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak mahu mengabaikan Bahasa Melayu dan pelajar Melayu, maka saya lihat kita harus membuat dua aliran berbeza dalam setiap bidang akademik; satu aliran minoriti Inggeris dan satu aliran majoriti berbahasa Melayu.

Kesemua pelajar Malaysia perlu mengikuti aliran berbahasa Melayu dan semua warga asing perlu mengikuti aliran Bahasa Inggeris.

Saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa kaedah dwi aliran ini dibuat di Jepun dan Thailand. Kita boleh mempertimbangkan pelajar-pelajar tempatan mengikuti aliran Inggeris tetapi bayaran yuran seharusnya sama seperti warga asing.

Walau bagaimana pun, kedua-dua pelajar Malaysia dan negara asing boleh berjumpa dalam kelas-kelas elektif yang ditawarkan oleh pendidik-pendidik luar negara.

Jika kita ingin menguatkan penguasaan Inggeris di kalangan pelajar kita maka setiap bidang akademik perlu diperbanyakkan peluang mengambil subjek elektif dalam Bahasa Inggeris.

Dengan cara ini subjek teras akan berkembang dalam Bahasa Melayu tetapi subjek lain boleh berkembang dalam Bahasa Inggeris sehingga Bahasa Melayu menguasai kesemua bidang pada suatu hari nanti.

Saya berani berkata bahawa jika ditanya kepada kebanyakan ahli-ahli akademik Melayu di UTM dan IPTA-IPTA lain yang mendapat pendidikan di luar negara tentang  bahasa ilmu apa yang patut digunakan di universiti tempatan, jawapannya hampir pasti kesemuanya berpihak kepada Bahasa Inggeris.

Hanya segelintir sahaja ahli akademik yang berwawasan luas serta berpandangan jauh akan merasakan bahawa kesemua ilmu harus diwacanakan dalam Bahasa Melayu demi membina kematangan ketamadunan anak bangsa sendiri.

Contohnya, hasil penulisan para ilmuan, saintis dan teknologis UKM, wujud buku penting bertajuk Sains dan Teknologi Alam Melayu.

Saya amat kagum terhadap segelintir para jurutera dan ahli-ahli sains dari UKM yang mempunyai visi menyebarkan ilmu tentang akar umbi ilmu Melayu kepada keseluruhan Nusantara.

Bagi saya mereka inilah pejuang-pejuang ilmu sejati dan bukannya sekadar professor atau pensyarah bidang khusus sahaja. 

Bukan mencari kesalahan 

Sebagai rumusan, saya ingin mengatakan bahawa bukan tujuan saya menulis komentar ini untuk menyalahkan sesiapa, sama ada Tun Mahathir, UTM, pihak Fakulti atau Jabatan, atau Kementerian Pengajian Tinggi.

Saya tidak berminat tentang mainan ‘siapa salah’ sebab kesemua pihak bertindak mengikut agenda masing-masing yang difikirkannya baik untuk sesuatu pihak pada ketika itu.

Apa yang penting sekarang adalah ‘where do we go from here’?

Saya bukannya seorang pejuang Bahasa Melayu dan saya juga bukan patriot Melayu. Saya hanyalah seorang akademik yang memahami bahawa kelahiran ketamadunan sesuatu bangsa adalah berteraskan kepada bahasa ilmunya yang dipertutur dalam segenap lapisan masyarakat dan oleh segenap kaum…dan di Malaysia ia adalah Bahasa Melayu.

Saya mohon agar Kementerian Pengajian Tinggi membuat satu dasar menyeluruh. Kita tahu Bahasa Melayu agak terkebelakang sedikit tetapi kita ingin menobatkannya kembali sebagai bahasa ilmu.

Di samping itu kita tidak mahu kehilangan penguasaan Bahasa Inggeris. Permasalahannya cukup jelas.

Satu jawatankuasa cerdik-pandai yang berwibawa dan bukannya ‘pak turut politikus’ boleh membuat strategi jangka panjang dan jangka pendek untuk mengurangkan kekeliruan ini bagi generasi akademik muda yang akan mengambil alih tanggungjawab mengembangkan ilmu. – Roketkini.com 

Penulis adalah Profesor Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia