Wednesday, 17 August 2011

PRU13: Kuasai media, pengaruhi luar bandar

Momentum

Menurut penganalisis politik, Wong Ching Huat, terdapat sebanyak 55 kerusi Parlimen 'panas', yang akan menjadi perhatian dan rebutan di antara BN, Pakatan, mahupun Pihak Ke-3 pada Pilihanraya Umum (PRU) 13 yang akan datang (sumber: Pakatan mampu rampas 100 kerusi Parlimen).

Saya tidak ingin menyentuh 'ramalan' Ching Huat mengenai jumlah 100 kerusi itu kerana saya hanya berminat dengan angka 55 kerusi 'panas' - yang terdiri dari 20 kerusi dimenangi tipis oleh BN dan 33 kerusi oleh Pakatan. Baki 2 kerusi diramal bertukar dari tangan MP-MP Bebas sekarang ini (rujuk Rajah, sumber dinyatakan).


Ching Huat meramalkan peralihan sokongan pengundi pada PRU13 kelak, tidak dapat tidak, dipengaruhi oleh sentimen terhadap kaedah kerajaan respon dan menguruskan isu-isu contohnya Bersih 2.0 dan reformasi pilihanraya, daftar pemilih, penggunaan Ordinan Darurat, projek nadir bumi Lynas di Pahang, isu MP Bebas dan lompat parti dan sebagainya.

Minat rakyat dan juga kekuatan atau 'momentum' sentimen ini juga dinilai akan dipengaruhi oleh faktor selama mana isu-isu sebegini mampu dikekalkan. 

Ini kerana tanpa pengekalan momentum, kesemua isu ini akan cepat dilupai pengundi. 

Tambahan pula jika media yang menguasai laporan sesuatu isu itu berperanan secara efektif siang dan malam 'menyejukkan segera' isu-isu yang dibangkitkan ini, ataupun 'diganti segera' sesuatu isu dengan isu yang lain - mengalih perhatian umum.

Perkara yang sama jugalah telah dinyatakan oleh Ketua Pemuda Umno, KJ apabila beliau menolak metodologi, analisis serta rumusan/ramalan Ching Huat (rujuk: Rumusan Pakatan menang besar tak tepat, kata KJ).

Menurut KJ, kesan gandaan oleh Bersih 2.0 tempoh hari sekalipun disebarluas di media-media baru @ alternatif, masih tidak semuanya dirasai rakyat umum (tidak semua kawasan terkesan), terutama terhadap pengundi yang tinggal di luar bandar. 

Justeru, mengandaikan BN bakal kehilangan 20 kerusi menjelang PRU13 adalah suatu rumusan yang longgar, seandainya faktor-faktor yang kurang konkrit diambilkira (dan memperkecilkan pengaruh media arus perdana).

Kuasai media, bentuk persepsi

Saya berpendapat, kencenderungan para pengundi terutama yang tinggal di luar bandar menzahirkan sokongan politik mereka pada PRU13 kelak akan bergantung kepada berita (media) mana yang mereka terima.

Sekalipun pengaruh 'media baru' telah diakui mampu menyalurkan berita-berita alternatif kepada rakyat, secara realitinya masih belum ada kajian mahupun data/statistik bagi meyakinkan kita impak sebenar pengaruh media ini terutama di kalangan penduduk luar bandar.

Ini kerana media baru sama ada blog, FaceBook, Twitter masih dibatasi dengan aksess kepada internet dan keperluan untuk memiliki internet di rumah (isu: ada aksess tapi tiada keperluan untuk guna, dan sebaliknya).

Tambahan pula, tidak semua penduduk pelbagai peringkat umur (terutama golongan pertengahan dan berusia) di luar bandar memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat ini bagi mendapatkan berita-berita dari sumber alternatif yang 'sedia maklum @ lebih tepat'. 

Justeru, media konvensional iaitu surat khabar dan televisyen (TV) masih memainkan peranan penting menyalurkan berita dan maklumat kepada penduduk di luar bandar.

Bagi para pendengar pula, sama ada sedar atau tidak, sebenarnya medialah yang banyak mempengaruhi dan membentuk persepsi kita terhadap sesuatu isu dengan cara 'melaporkan apa yang ingin media laporkan dan tidak melapor apa yang media rasa tidak perlu dilapor'. 

Maka timbullah 'laporan terpilih' (atau sering diistilahkan sebagai laporan berat sebelah) mengenai sesuatu isu.

Tetapi inilah realitinya. Barangsiapa yang dapat menguasai media maka peluang mempengaruhi persepsi pengundi luar bandar adalah cerah.

(tonton temubual wartawan Mkini dengan pengarah Pusat Kajian Merdeka Centre - sini mengenai peranan media di dalam membentuk persepsi berbeza antara Najib dan Anwar)

Bagitupun, rumusan yang saya buat seperti di atas mungkin akan tersalah seandainya diambilkira faktor-faktor seperti wujudnya gerak kerja yang aktif (melalui ceramah, kempen turun padang dan promosi secara giat media baru) oleh pihak-pihak yang 'dipinggirkan' oleh media arus perdana bermula hari ini sehinggalah tibanya PRU13 kelak. [DrS]

No comments:

Post a Comment