Wednesday, 10 August 2011

Ashraf: Rahmat di sebalik musibah

Menonton BBC News jam 10.00 malam tadi membawa sedikit kelainan kepada saya di mana secara ekslusifnya badan penyiaran paling berpengaruh Britain itu memaparkan kisah Saudara Ashraf Haziq, penuntut Malaysia yang telah diserang, dicedera selain disamun semasa tersekat dalam kejadian rusuhan di Kota London tempoh hari.

Masih dirawat di hospital setelah selesai menjalani pembedahan akibat patah rahang, beliau sentiasa tersenyum dan harapnya akan cepat sembuh. Komen wakil kedutaan juga turut dipaparkan BBC. 

Video mengenai Ashraf yang disamun selepas beliau tersedar dari pengsan (di mana sebelum video itu dirakam, basikal beliau telah disamun) telah tersiar meluas di YouTube (sini) sehingga PM Cameron sendiri turut mengulas berkenaan video tersebut di sidang media tergemparnya semalam.

Mungkin ada rahmatnya di sebalik musibah yang menimpa seseorang hamba Allah itu.

Berdasarkan berita BBC itu juga, barulah saya tahu bahawa kini terdapat hampir 14,000 penuntut Malaysia di UK dan isu ini mendapat perhatian khas kerajaan UK.

Perkembangan kes Ashraf ini juga turut diberikan liputan oleh media-media tanah air sendiri.

Harapnya, rentetan peristiwa ini akan membuka lembaran baru dan hubungan lebih baik di antara Malaysia-UK khasnya di dalam urusan berkaitan pembelajaran rakyat Malaysia di bumi UK ini.

Kepada anda yang membaca blog ini, saya mohon bersamalah mendoakan keselamatan dan perlindungan Allah Taala buat semua penuntut, keluarga dan warga Malaysia yang berada di UK agar terhindar oleh sebarang kecelakaan oleh apa jua kejadian yang tidak diingini.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment