Friday, 24 June 2011

Dr MAZA: Cabaran menjadi golongan Ghuraba

Memetik artikel terbaharu Dr MAZA:

Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk. 

Pertama; asing di sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan, keadaan mungkin tidak asing lagi.

Kedua; asing di sudut ruh dan pemikiran. Sekalipun seseorang itu lama atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat. Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Nabi s.a.w bersabda:
“Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi s.a.w: “Siapakah ghuraba`?”. Jawab baginda: “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).
Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka, samada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia hari ini.

Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu samada buruk atau baik, kita sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang bidaah dalam masyakat, disuruh terima sekalipun menyanggahi kitab dan sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka samada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan seumpamanya.

Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian. Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu ‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekalipun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.

Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi s.a.w: ‘Beruntunglah ghuraba’. Golongan ghuraba’ bukan asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan Nabi s.a.w: (maksudnya)
“Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engku dari jalan Allah” (Surah al-An’am, 116).
Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman (maksudnya):
“Maka larilah kepada Allah” (Surah al-Zariyyat, 50).
Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadang-kala kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakkal, keikhlasan, kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah. 

Ketika dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Tuhan al-Rahman dan rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.

Baca artikel penuh di sini: Cabaran Menjadi Golongan Ghuraba'

No comments:

Post a Comment