Monday, 14 March 2011

Tragedi @ ujian hidup

"Jika hidup ini merupakan satu ujian, sampai bilakah kita akan diuji dan apakah kita berpeluang untuk merasa hidup?"

Begitulah sedikit-sebanyak komen yang dilontarkan oleh seorang peserta rancangan bual bicara "The Big Questions?" terbitan BBC1 setiap hari Ahad, jam 10 pagi.

Ianya berkisar mengenai topik "Should an earthquake shake your faith?" - berkait dengan malapetaka dan bencana kemanusiaan yang sedang dialami rakyat Jepun ketika ini.

Selain topik tersebut, dua topik lain yang turut hangat diperdebatkan adalah: 

1) Is porn bad for society? - disertai oleh 2 orang bekas guru yang kini menukar kerjaya kepada pelakon porno (bekas guru lelaki) dan penerbit filem porno (bekas guru perempuan). Seorang lagi adalah perempuan yang huduh, yang bangga dengan kariernya sebagai pelakon prono.

2) Has separate Catholic education fuelled sectarianism? - lanjutan daripada pergaduhan 2 kelab bola Liga Scotland (Glasgow Rangers vs Celtic) yang mana memang secara tradisinya pertembungan di atas padang tidak hanya melibatkan 'bola' tetapi di antara penganut Katolik dengan Protestant.

Sila klik di sini (KLIKWIKI) untuk mengetahui apa itu maksud sectarianism.

Humanist

Saya memahami adalah sukar untuk seseorang pemikir Islam itu berhujah kepada peserta rancangan yang rata-ratanya Kristian dan Athiest mengenai ujian hidup.

Mungkin undangan kurang cermat telah diberikan kepada seorang pemikir Islam yang menyertai forum ini di mana beliau saya perhatikan kurang berupaya di dalam meyampaikan maksud yang jelas, tentang bagaimana Islam melihat perkara ini.

Tambah menyedihkan, selain hujah yang lemah, beliau juga tidak berupaya mempertahankan hujahnya sendiri - akhirnya nampak kelam-kabut menjawab persoalan demi persoalan.

Sebaliknya, golongan Skeptic, Athiest dan Humanist yang tidak sepatutnya bercakap mengenai ketuhanan nampaknya pandai memanipulasikan kelemahan hujah pemikir Islam dan Kristian dengan cuba memberikan hujah logik untuk menolak unsur ketuhanan di dalam mengatur alam ini (dan kejadian yang menimpa Jepun ini).

Antara hujah mereka yang saya ingat; "andainya tuhan sayangkan kita, mengapa ia turunkan bala? Dan mengapa hanya di suatu tempat yang terkena bala dan tempat lain tidak? Adilkah untuk kita menyembah tuhan yang sebegitu?"

Pada saya, inilah golongan 'buta' yang tidak melihat bukti-bukti penciptaan yang ada di sekeliling mereka. 

Betapa lemahnya akal manusia dan Sains sehingga perkara kecil seperti: mengapa ada burung yang bersarang atas pokok, dan ada yang menebuk lubang bersarang dalam pokok?

Mengapa burung Pipit tidak tebuk lubang? Sedangkan si Belatuk menebuk lubang?

Adakah ianya sesuatu yang rawak (random)? Tidak!


Ini kerana kalau si Pipit tebuk lubang, tengkoraknya akan hancur kerana hentakan muncung dan kulit pokok yang terlalu kuat. 

Sebaliknya, Allah telah menciptakan si Belatuk dengan lapisan khas pada tengkoraknya untuk menyerap getakan dan kesan hentakan semasa kerja-kerja mematuk batang pokok.

Perkara mengenai keajaiban penciptaan ini tidak dapat dicapai oleh 'pemikiran' akal manusia dan sains.

Berbalik kepada topik asal.

Inilah agenda halus yang kononnya mengajak manusia berfikir, dan apabila 'terlebih' berfikir, akhirnya mengajak manusia untuk menolak tuhan dengan menyatakan bahawa kejadian gempa bumi ini tiada kaitan dengan tuhan kerana ianya bencana yang berlaku secara rawak (random) semata.

Lebih teruk lagi, ada peserta dari persatuan Humanist Scotland yang menggesa agar kanak-kanak tidak dibebankan dengan keperluan untuk tahu agama.

Dengan erti kata lain, ibu bapa tidak wajar mendedahkan kehidupan beragama kepada anak-anak sehinggalah mereka mencapai usia matang, untuk mereka sendiri buat pilihan sama ada untuk beragama atai sebaliknya.

Hujah dangkal ini akhirnya mudah dipatahkan oleh salah seorang peserta (Kristian) yang tampil dengan salinan Artikel 26 No. 3, Deklarasi Hak Asasi Manusia oleh UN, menyatakan adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memilih jenis pendidikan terbaik untuk anak-anak (banyak lagi artikel yang beliau bacakan).

Mengapa kita diuji?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu pertamanya bertanya kepada diri sendiri; mengapa kita ada di sini? Apa tujuan hidup ini?

Ini kerana ramai di antara kita hari ini sebenarnya tidak tahu atau tidak jelas apakah tujuan hidup mereka.

Saya bukanlah Ustaz yang boleh menjelaskan perkara ini dari aspek agama. Tetapi serba sedikit pengetahuan agama boleh dijadikan asas kepada penerangan ini.

(cabaran berdakwah: bagaimana untuk memberitahu tentang kebesaran Allah dari aspek sains, dan di masa yang sama tidak secara direct menggunakan petikan Al-Quran kerana penganut agama lain tidak selesa dan tidak memahaminya).

Hidup ini adalah satu ujian. Saya bercakap sebagai seorang muslim, bagaimana kita diuji, bukan sahaja di dalam hal seperti bencana dan tragedi, tetapi ujian dalam konteks harian.

Sedar atau tidak, setiap hari kita diuji. Bermula dengan ujian solat 5 waktu. Pagi-pagi lagi kita diuji untuk bangun solat subuh, diikuti ujian bersolat di kala sibuk bekerja, bermesyuarat dan makan tengahari, ujian bersolat maghrib di kala sedang leka menikmati hiburan di kaca TV. 

Selain itu, kita juga turut diuji untuk menahan diri dari makan dan minum, selain dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa selamat sebulan di bulan Ramadhan. 

Itu ujian untuk setiap individu. Ramai yang lulus, tetapi tidak kurang juga ada yang gagal.

Mengapa kita diuji?

Untuk mengetahui apakah kita benar-benar beriman. 

Ini kerana rata-rata kita apabila ditanya: adakah anda Muslim yang baik? Tentu jawabnya: Ya!

Hal yang sama jika ditanyakan kepada orang Kristian, Jew, Hindu, etc., pasti jawapan mereka juga sama, Ya!

Tetapi, bagaimana untuk kita tahu sama ada jawapan kita betul, sedangkan kita tidak pernah diuji (dan lulus ujian itu?).

Contoh lain yang lebih umum. 

Dalam kehidupan kita, tiada universiti yang saja-saja akan menerima kita belajar. Semua kita diuji (peperiksaan SPM, STPM, matrikulasi, etc.) dan setelah lulus, barulah pohon dan diterima masuk universiti.

Mengapa kita perlu diuji (duduk peperiksaan)? 

Adalah untuk membuktikan bahawasanya kita memang benar-benar layak.

Begitu juga hidup kita. Bukan senang untuk melayakkan diri mendapatkan syurga Allah. Sesungguhnya, tiada manusia yang waras akan menolak untuk menjadi ahli syurga. 

Justeru, bagaimana untuk menjustifikasikan kelayakan seseorang untuk mendapat syurga Allah? 

Adalah dengan melalui ujian hidup.

Dan ujian hidup itu boleh jadi dalam bentuk yang tidak kita sangkakan, termasuklah tragedi gempa bumi dan tsunami yang sedang dihadapi rakyat Jepun saat ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment