Tuesday, 1 March 2011

Kunjungan orang jauh

 Mawaddah & 'Atuk' Amran

Ahad, 3 hari lepas, saya bergegas ke Oxford Train Station untuk menjemput seorang tetamu  penting yang datang dari jauh.

Prof. Amran Hamzah (@drbob), pengarah CiPD (Centre for Innovative Planning & Development), UTM Skudai sedang dalam misi mendekatkan UTM dengan beberapa rakan strategik di UK melalui penerokaan peluang-peluang untuk 'joint research' dan sebagainya.

Pagi Isninnya, saya membawa drbob ke Brookes University. Mengikut perancangan, drbob dijadualkan bertemu dengan Prof. John Glasson, Founding-Director OISD (Oxford Institute for Sustainable Development), tetapi John telah berlepas ke Perth, Australia pagi Sabtu sebelumnya.

John memaklumkan hal ini kepada saya minggu sebelumnya sewaktu mesyuarat bersama saya dan Jake Piper (dari unit Impact Assessment, OISD).

Begitupun, kehadiran drbob tidak sia-sia kerana pertemuan lain berjaya diatur dengan Jamie, pengarah kursus Lepas Ijazah, School of Planning.

Perbincangan tidak formal selama 40 minit saya simpulkan menarik dan menurut drbob, menyediakan beberapa input penting yang boleh membantu pihak FAB, UTM di dalam memantapkan kursus Planning amnya dan Tourism Planning, khususnya.

Kedai Buku

Selesai perjumpaan, saya membawa drbob pusing-pusing bandar kecil Oxford.

Seperti lazim, tetamu yang datang akan di bawa 'melaburkan' duit di kedai-kedai cenderamata di High St. dan kalau orang akademik, kunjungan ke kedai buku Blackwell Oxford tidak akan dilepaskan sama sekali.

Berkampung kami berdua di tingkat bawah kedai buku di mana saya hanya membeli sebatang pembaris (saya dah survey beberapa buku yang bagus yang akan dibeli dalam masa terdekat).

Manakala drbob pula telah membelanjakan hampir GBP200 (RM1000+-) membeli pelbagai buku.

Selesai tingkat bawah, kami ke tingkat atas untuk minum kopi dan rehatkan lutut, sebelum kembali menyambung kerja mencari dan membeli buku.

Mawaddah

Pada awal ketibaan drbob, Mawaddah seperti biasa 'malu-malu kucing', dengan gaya berjalan sambil tunduk dan bercakap banyak tetapi sayangnya orang tidak faham.

Masuk hari ke-2, dia sudah boleh mesra. Tambahan pula, drbob membahasakan dirinya 'Atuk'. Mungkin Mawaddah sudah agak lama tidak melihat orang tua, selain daripada muka kedua ibu dan ayahnya (yang, by the way, tidaklah begitu tua ye!).

Saya dapat faham akan kerinduan Mawaddah kepada kedua orang tua. Lihat video di MSN sahaja, dia sudah tahu yang itu Atuk, atau suara nenek. Atau apabila melihat foto, dia tahu mana Tokki dan mana Tok dia.

Oklah, 3 hari 2 malam drbob di rumah kami, Mawaddah nampak tidak kekok dan nampak dia sedikit ceria dan mesra sampai dengan selamba saja minta didokong dan duduk di atas riba orang.

Orang Rumah

Pertamanya, berbanyak terima kasih kepada orang rumah yang membantu saya mengemas rumah dan memasak yang sedap-sedap (jangan salah faham, hari lain pun masak sedap juge).

Beliau banyak berborak dengan drbob kerana sama-sama tahu mengenai Sek Tun Fatimah (STF).

drbob pernah menjadi pengerusi PIBG STF sewaktu anak sulungnya belajar di sana, manakala orang rumah saya adalah bekas pelajar STF sendiri.

Sayangnya anak drbob yang kini sedang belajar di Manchester tidak ikut sekali ke Oxford. Jika tidak, tentu banyak perkara akan disembangkan di antara mereka. Mungkin di lain kelapangan.

Kent - Liverpool?

Semalam, saya menghantar drbob kembali ke train station untuk meneruskan perjalanannya ke University of Kent. 

Di Kent, beliau akan menyampaikan ucap tama dalam satu seminar - berkaitan marine ecotourism, jika tidak silap saya.

Dari Kent, beliau akan ke Liverpool dan mungkin ke beberapa tempat lagi di bahagian atas/tengah UK.

Walau apapun, kami doakan segala urusan drbob dipermudah dan selamat semuanya. Doakan juga kejayaan kami berdua di sini, biarlah selesai perjuangan ini dengan jayanya!

Sekian.

No comments:

Post a Comment