Monday, 7 March 2011

Bersedia hadapi kenaikan harga barang makanan

Agensi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN FAO) meramalkan peningkatan harga barang makanan global akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan selagi krisis yang melanda Utara Afrika dan Timur Tengah tidak diredakan dalam jangka masa yang terdekat.

Komoditi makanan utama penduduk dunia seperti gandum dan minyak masak yang mengalami peningkatan harga sebelum krisis, didapati melonjak lebih tinggi pada masa ini, sehingga menimbulkan kebimbangan global (kerana semua negara adalah pengimport produk makanan tertentu).

(nota: negara maju seperti Britain akan menerima kesan besar peningkatan harga makanan memandangkan >50% barang makanannya adalah diimport. Bagaimana pula dengan Malaysia?)

Penunjuk utama kepada 'setinggi mana' kenaikan harga barang makanan global ini adalah ditentukan oleh kenaikan harga minyak mentah (crude oil), yang menjadi nadi kepada aktiviti pertanian (kos operasi/jentera) dan perkapalan, yang membawa komoditi makanan ini ke serata pelabuhan dan negara di dunia.

Menurut berita yang saya lihat di BBC 2-3 hari yang lepas, tahun ini sahaja warga UK perlu mengeluarkan belanja lebih GBP10 bagi mendapatkan jumlah petrol yang sama seperti tahun lepas. Contoh, tahun lepas isian penuh tangki adalah GBP50, tahun ini menjadi GBP60 untuk isian penuh.

Malah, para penganalisis turut menjangkakan harga petrol akan naik berganda (100%) tidak lama lagi andainya kestabilan tidak segera diwujudkan di rantau Arab yang kini terus bergolak.

Kembali kepada Malaysia. Titah Yang Dipertuan Agong di dalam ucapan pembukaan Sidang Dewan Parlimen semalam mengenai amalan berhemat rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang adalah wajar diambil berat.

Sungguhpun apa yang berlaku kini adalah suatu fenomena global, saya secara peribadi sedikit sedih kerana semakin kita ingin ke hadapan, semakin kuat juga langkah kita cuba ditarik ke belakang - dengan krisis sebegini.

Namun, di sebalik khabar buruk kenaikan harga barang, saya kira ia juga bakal memberikan khabar gembira buat petani (dan warga peneroka) yang terlibat dengan pengeluaran komoditi sawit (minyak masak) kerana akan menerima kenaikan hasil ladang sawit mereka.

(nota: alangkah beruntungnya adik saya andai tidak bertangguh untuk memagar tanahnya yang di belakang rumah itu dan menanam kelapa sawit. Mungkin sekarang dia bakal menjana duit lebih setiap bulan!)

Krisis makanan global turut menyediakan indikasi/penunjuk penting kepada kelangsungan hidup komuniti luar bandar. 

Di sebalik tekanan yang terpaksa diserap warga bandar akibat budaya konsumerisme (kepenggunaan) dan kenaikan harga barang makan (dan kos petrol + pengangkutan), warga desa pula seharusnya lebih bersedia disebabkan potensi yang mereka miliki, boleh digembling untuk menyerap tekanan kenaikan harga barang makanan ini.

Cuma, soalan saya adalah:  

Mampukah sektor pertanian kembali 'memegang kunci' kepada pembangunan luar bandar khasnya, dan negara amnya?

Sekian.

No comments:

Post a Comment