Friday, 25 February 2011

Selamat datang Juan Paulo

Jumaat hari ini memahat sejarah baru dalam diri saya. Seperti biasa setiap Jumaat saya akan bertandang ke Oxford Central Mosque, Manzil Way untuk solat. 

Hari ini, sebelum khutbah, maulana imam telah mengepalai majlis lafaz syahadah saudara baru iaitu Juan Paulo, yang berasal dari Guatemala.

Sepatah demi sepatah Juan menuruti lafaz oleh tuan imam - tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu rasul Allah.

Majlis tersebut turut disertai laungan takbir oleh para jemaah yang ramai sekali hari ini, Allahu-Akbar!

Maulana Imam mengingatkan para jemaah bahawa saudara Juan adalah orang terbaik sekali di kalangan kami hari ini, saat ini kerana sebaik memeluk Islam, Allah Taala telah menjanjikan terhapusnya segala dosanya yang telah lalu - bak bayi yang baru dilahirkan, Alhamdulillah.

Tanpa disedari air mata saya mengalir walaupun cuba buat control macho. Tetapi apa yang hendak dimalukan kerana rata-rata jemaah yang di kiri-kanan dan depan semua tak berupaya untuk control macho juga.

Alangkah bertuahnya saudara Juan kerana mendapat hidayah Allah, sedang saya pula tidak perlu bersusah-payah mencari Islam, kerana sedia dibawa oleh kedua orang tua sedari lahir.

Berdasarkan pencarian saya di Wikipedia, 50%-60% penduduk Guatemala merupakan penganut Katolik dan selebihnya adalah Protestan dan agama asal Mayan (wikipedia).

Bagi saudara baru seperti Juan, saya menyedari cabaran besar yang beliau perlu hadapi setelah memeluk Islam. Saya pernah bersembang panjang hal ini dengan teman serumah saya sewaktu menentut di UTM dahulu, di mana akhirnya beliau diberi hidayah oleh Allah dan masuk Islam.

Hampir 2 tahun kami berkongsi rumah sewa, sepanjang itulah beliau memerhatikan gelagat dan kelakuan saya sebagai orang Islam. Paling ketara adalah setiap kali bersolat dan berpuasa.

Dan sewaktu menyatakan niatnya untuk masuk Islam kepada saya pada suatu malam, masih terdapat beberapa hal yang agak merungsingkan beliau kerana setelah masuk Islam, perkara (kenikmatan) berikut perlu dikorbankan, iaitu:

- Bangun awal pagi (solat Subuh) dan waktu bekerja juga perlu dijaga agar solar Zuhur dan Asar tidak terlepas.
- Menyambut Krismas dengan rakan-rakan (parti, minum dan ehem-ehem).
- Balik kampung dan berdepan dengan abang-abang serta kedua orang tua.

Saya tidak tahu apakah saudara kita Juan turut mengalami cabaran yang seperti ini, atau mungkin lebih berat lagi. 

Namun, kehidupan sebagai seorang Muslim di UK ini juga menuntut pengorbanan yang besar seperti:

1) menjaga pemakanan dengan mencari makanan dari sumber yang halal lagi bersih (di Malaysia, isu susah nak cari makanan halal mungkin tidak timbul)

2) penampilan kita sebagai orang Islam (minoriti) di kalangan penduduk yang majoritinya Kristian (di Malaysia, orang Islam tidak minoriti) - isu persepsi dan diskriminasi.

Harapnya saudara Juan dan rakan saya Louis@Helmi akan kekal istiqamah dan diberikan kekuatan oleh Allah Taala untuk terus mendalami ajaran Islam dan akhirnya menjadi Muslim yang terbaik, insyaAllah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment