Saturday, 12 February 2011

Perbaiki khidmat tren antara bandar

Tidak dapat dinafikan pelan transformasi pengangkutan awam (tambahan jajaran baru LRT/MRT) sebagaimana diumumkan kerajaan adalah suatu tindakan yang mengikut kehendak semasa.

Sekalipun ianya masih di peringkat konsultansi bagi mendapatkan pendapat awam dan profesional bidang pengangkutan untuk menentukan lokasi baru stesen-stesen, kehendak dan permintaan semasa daripada warga Lembah Klang memungkinkan kejayaan perlaksanaan pelan ini.

Untuk posting ini, saya tidak ingin mengulas berkenaan kelemahan-kelemahan semasa yang ditunjukkan oleh sistem pengangkutan awam rel di ibu kota. Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah perlunya kerajaan  memikirkan bagaimana untuk mentransformasikan sistem pengangkutan rel antara bandar, terutama yang di luar Lembah Klang supaya lebih efisyen (dalam erti katanya, menepati kekerapan perkhidmatan dan waktu tiba+berlepas), seterusnya lebih pantas tiba di setiap destinasi.

Tren antara bandar yang saya maksudkan adalah perkhidmatan rel bandar-bandar utama di luar Lembah Klang (dan termasuklah juga Wilayah Lembah Klang II - Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Morib etc) menuju ke ibu negara (stesen KL Central). Contohnya, khidmat tren dari Ipoh ke KL, Seremban ke KL, Melaka ke KL, malah mungkin dari Johor ke KL.

Perkhidmatan ini pula akan digunakan oleh majoritinya para pekerja yang pejabat mereka ini di KL, tetapi menetap bersama keluarga mereka di Ipoh, Seremban, Melaka dan sebagainya.

2 faktor yang saya sandarkan sebagai hujahan iaitu:

1) harga hartanah (Rumah) yang terlalu mahal di KL dan sekitar Lembah Klang. Tidak semua orang muda yang baru memulakan kerjaya mampu membuat pinjaman bank untuk membeli rumah di KL, bahkan mereka yang berumah tangga juga menghadapi dilema yang sama. Justeru, pilihan yang ada ialah dengan memiliki hartanah di luar metropolitan KL atau memilih untuk tinggal menyewa di kawasan 'mampu' (isu murah vs kualiti hidup).

2) menularnya 'skim weekend husband'. Kadang-kala suami isteri yang masing-masing berkerjaya tiada pilihan melainkan terpaksa tinggal berjauhan. Dalam banyak kes, si isteri akan menjaga anak (hantar ke pusat asuhan dan kemudian ke tempat kerja). Si suami tinggal 'bujang' di KL dan hanya pulang setiap hujung minggu menjengah anak isteri. Bukan si ayah tidak risau kerana "tidak masuk buku" si anak yang sedang membesar tetapi apakan daya KL dan Ipoh terlalu jauh untuk si ayah berulang-alik setiap hari.

Bukanlah sekarang ini tidak ada sistem tren antara bandar, cumanya tidaklah selaju dan secepat bagi memungkinkan seorang yang keluar jam 6.30am di Ipoh / Melaka, masih belum lewat masuk kerja di pejabatnya di KLCC (contohnya).

Malaysia mungkin dapat belajar dari beberapa buah negara maju terutamanya Jerman dan Jepun tentang bagaimana mereka berupaya membangunkan sistem tren antara bandar yang begitu efisyen, pantas dan menepati masa. 

Tidak kira anda tinggal di pinggir bandar mahupun di wilayah berjiran, anda masih belum lewat untuk tiba ke tempat kerja anda yang terletak di ibu kota.

Saya bagi contoh.

============================

 Sekadar hiasan
 
CONTOH:

- Laju tren ini +/- 570km/jam

- Jarak KL-Ipoh adalah +/- 200km (google map)
- Masa yang diperlukan untuk tren ini bergerak dari KL-Ipoh atau sebaliknya (tanpa henti) adalah 35 minit.

atau

- Jarak KL-Jasin, Melaka adalah +/- 150km (google map)
- Perjalanan untuk menghubungkan kedua destinasi ini (tanpa henti) adalah 26 minit! (hanya di bawah setengah jam)

atau - kita cuba lokasi yang lebih jauh

- Jarak KL-Skudai, Johor adalah +/- 317km (google map)
- Masa yang diambil untuk tiba ke Skudai dari KL (tanpa henti) adalah 55 minit! (masih di bawah 1 jam)

(tentunya tren ini perlu berhenti di stesen tertentu, tetapi secara realistiknya sasaran masuk kerja tepat pada masa masih boleh dicapai)
===========================

Seandainya kerajaan dapat memikirkan kaedah bagaimana untuk dipertingkatkan lagi kecepatan sistem tren antara bandar ini, ianya akan sedikit-sebanyak membantu meringankan beban dan tekanan golongan muda yang hanya mampu memiliki hartanah di luar Lembah Klang dan membantu mengembalikan sistem kekeluargaan ke landasan yang lestari.

Sekadar memberi pandangan.

No comments:

Post a Comment