Sunday 6 February 2011

Ada perkara mulanya dengan 'angan-angan Mat Jenin'

Anda tentunya sudah membaca ulasan yang diberikan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkaitan program 'Gelombang Merah' (baca SINI - majlis pelancaran GM dan baca SINI - komen Idris).

Sekalipun tidak saya nafikan ketika ini kedudukan PAS di Kelantan adalah kuat dan tampak seperti sukar digugat, ianya bukanlah 'tiket' untuk membenarkan para pemimpin PAS mengeluarkan pernyataan seperti "masuk bakul angkat sendiri" ini.

Dalam situasi politik dan penerimaan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat yang sukar dibaca ketika ini, adalah lebih afdal sikap berhemat bak "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar" ditunjukkan oleh pimpinan utama dalam PAS.

Seharusnya pemimpin 'matang' seperti Idris boleh tampil dengan hujah yang lebih cermat, bukannya dengan segera memperkecilkan program 'Gelombang Merah' yang baru dilancarkan UMNO dengan menggelarkannya sebagai 'angan-angan Mat Jenin'.

Ini bukanlah caranya untuk 'menyedapkan hati' para penyokong PAS. Atau apakah PAS tidak nampak sebarang keperluan untuk bekerja keras menyaingi usaha dan gerak kerja yang sedang diatur UMNO?

Seringkali kita membaca komen yang dibuat oleh pimpinan tertinggi PAS, terutama Ustaz Hadi bahawa setiap kali PR berdepan dengan UMNO dalam pilihanraya, calon Pakatan bukanlah berdepan dengan calon UMNO-BN, tetapi berdepan dengan seluruh jentera kerajaan.

Jika pernyataan Idris ini boleh 'menyedapkan hati' para pendokong PAS setelah kekalahan di Tenang (kubu lawan) dan di Galas (kubu sendiri), ianya adalah begitu menyedihkan sekali.

Idris dan pimpinan PAS wajar melihat kepada sejarah. Ada kejayaan yang ditempa sekalipun ia sekadar bermula dengan "angan-angan Mat Jenin".

Lihat contoh negeri Selangor. Tiada siapa menyangka disebalik 'cakap serupa  yakin - mat jenin' para pemimpin BN, yang menyifatkan Selangor tidak akan bertukar kerajaan, keputusan PRU ke-12 lalu jelas "memulangkan paku buah keras" kepada batang hidung pimpinan BN sendiri. Keadaan di Pulau Pinang juga hampir sama.

PAS seharusnya sentiasa bersikap 'waspada dalam tenang' kerana masih wujud pelbagai kelemahan yang perlu dikaji, difahami dan diperbaiki.

Jangan dengan cepat kita berkata 'tiada gelombang, tiada gelombang', atau 'itu sekadar angan-angan Mat Jenin' kerana takut-takut apabila telah datang gelombang itu, para penyokong PAS tidak sempat berbuat apa-apa kerana awal-awal lagi tidak bersiap-siaga!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment