Thursday, 2 December 2010

Coret-coret

Tangguh pemilihan - Pro

Dua hari lalu, Presiden UMNO telah mengumumkan bahawa parti terbesar yang mewakili Orang Melayu itu telah membuat keputusan bagi menangguhkan proses pemilihan parti sehingga tempoh 18 bulan yang akan datang (setahun setengah) (sumber).

Langkah yang diumumkan itu, menurut DS Najib, adalah untuk memperkukuhkan parti, dengan mengelakkan wujudnya sebarang bentuk konflik dalaman/gangguan yang tidak sihat terhadap parti (terutama daripada aktiviti lobi-melobi calon tertentu yang berhajat untuk merebut tempat/jawatan di dalam pertandingan, sekiranya pemilihan diadakan mengikut pelan asal).

Langkah terbabit juga, barangkali, akan dapat meredakan serba-sedikit cakap-cakap yang tidak sedap didengar daripada orang-orang di bawah, setelah mereka menyaksikan pemilihan PKR, yang didakwa diselubungi oleh pelbagai kontroversi.

Sekiranya diperhalusi, langkah (penangguhan) ini dari satu segi mungkin ada betulnya, iaitu waktu ini bukanlah masa yang sesuai untuk para pemimpin (calon) UMNO bercakaran, menyingsing lengan, menggerakkan jentera kempen dan pelobi mereka menyusup ke segenap pelusuk negara untuk mempromosikan individu tertentu sebagai calon untuk jawatan tertentu.

Waktu ini haruslah dimanfaatkan untuk UMNO kembali ke landasan sebenar, membina kekuatan dalaman parti, membawa penyatuan ahli-ahli untuk bersama memahami dan mendokong misi penting parti, terutama menjelang PRU ke-13 yang akan datang ini.

Tangguh pemilihan - kontra

Dari sudut yang kontra pula, di kalangan pemerhati politik, ada yang melihat langkah UMNO menangguhkan proses pemilihan parti sebagai menunjukkan mereka tidak begitu berminat untuk memanfaatkan peluang (yang terhasil oleh kecelaruan pihak pakatan pembangkang akhir-akhir ini - pemilihan PKR, isu ketuanan Melayu, isu TPM pakatan), untuk tampil 'lebih bersih' berbanding PR di mata rakyat, iaitu dengan menjalankan pemilihan barisan kepimpinan yang baru.

Ini kerana, tiada jaminan bahawa pengukuhan parti boleh berlaku sekiranya pemilihan tersebut ditangguhkan.

Bahkan, lebih buruk lagi, penangguhan pemilihan tersebut hanya akan dinilai rakyat (ahli UMNO terutamanya) tidak lebih sebagai satu lagi langkah ke arah menyelamatkan jawatan dan kedudukan 'kayu-kayu mati' di dalam parti.

---------------------------

Kayu-kayu mati ini boleh dianggapkan sebagai:

- para pemimpin yang telah ditolak rakyat/pengundi semasa PRU yang lalu, tetapi akhirnya diangkat juga menganggotai kabinet melalui kabel 'Senator'.

- pemimpin yang bergelar YB, tetapi setelah menempuh suatu jangka masa, mereka telah dinilai sebagai pemimpin yang tidak produktif, gagal mencapai KPI, tidak dilihat 'bersih' oleh rakyat, beban kepada parti, selain tidak berupaya untuk bersama-sama menjayakan aspirasi Presiden parti).

---------------------------

Sepatutnya, inilah masanya yang terbaik bagi UMNO membuktikan ungkapan 'transformasi' yang mereka laung-laungkan selama ini bukanlah suatu rethorik atau omongan kosong, tetapi mampu disertakan dengan tindakan yang serius oleh parti dan kepimpinan yang ada. 

Semakin lama kayu-kayu mati ini dipelihara oleh parti, selagi itulah sukar untuk rakyat dan pengundi yakin bahawa UMNO kini telah menjadi 'lebih bersih'.

Justeru, adalah penting kayu-kayu mati ini dibuang dan disapu keluar daripada parti.

Benarkanlah tunas-tunas baru pula disemai, dibajai dan berkembang menjadi pelindung yang lebih baik buat parti dan pendokongnya.

Lagi isu Ketuanan Melayu

Setiap kali isu Ketuanan Melayu dibangkitkan, orang-orang Melayu akan bergaduh.

Ucapan Presiden PKR tempoh hari, dengan tidak semena-menanya telah menyentuh perihal Ketuanan Melayu.

Sama ada beliau (Wan Azizah) terlampau yakin bahawasanya minda kebanyakan Orang Melayu telah berubah dan sudah boleh menerima bahawa agenda 'Ketuanan Melayu' perlu ditinggalkan.

Atau suatu bentuk keterlanjuran kata-kata, namun akhirnya telah membuatkan 'sesetengah' Orang Melayu menjadi 'tawar hati' dengan Pakatan.

Seperti 'memberi peluru kepada musuh', tindakan balas adalah dijangkakan. 

Bukan sahaja daripada UMNO, malah badan-badan bukan kerajaan (NGOs) juga turut menyatakan ketidakpuashatian mereka. 

Bezanya, ruang untuk membela diri PKR berkenaan isu yang mereka cipta dan timbulkan ini tidaklah sebalik yang dikecapi pihak yang menghentam mereka, setiap hari, siang dan malam. 

Apakah ini waktu yang sesuai, yang  PKR rasakan mereka perlu mewar-warkan kepada umum (termasuklah orang-orang Melayu) berkenaan hasrat parti untuk meninggalkan perjungan yang menyokong agenda 'Ketuanan Melayu'?

Atau bolehkah ianya hanya diangkat untuk dibincang secara tertutup di peringkat parti? Atau masjlis permuafakatan Pakatan?

Yang nyata, kerosakan telah dibuat. Saya percaya tidak semua ahli PKR yang Melayu menentang, tetapi jika ada segelintir yang menolak saranan Presiden, ianya sudah cukup untuk menimbulkan perpecahan baru di dalam parti yang baru sahaja selesai menjalankan pemilihan pimpinan.

Jika kita kenal PKR, 'sejarah' telah menyediakan bukti-buktinya.

Selangor 'jantung' negara

Sebagai negeri penyumbang KDNK terbesar negara (sumber), kedudukan negeri Selangor adalah begitu strategik.

Pendek kata, Selangor boleh saya anggap sebagai 'jantung' kepada negara kita.

Justeru, sesiapa yang 'memegang' Selangor, bolehlah dianggap sebagai memegang 'kunci' utama kekayaan negara (mungkin saya sengaja memperbesarkannya).

Siapa yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan negeri Selangor ketika ini? Kerajaan Pakatan di bawah PKR.

Makanya, daripada pelbagai sebab PKR diserang ketika ini, salah satunya adalah untuk melemahkan pemerintahan kerajaan PKR di negeri Selangor.

Dan apabila PKR mampu dilemahkan, adalah tidak mustahil 'pisang Perak' berbuah dua kali...(faham ke?).

Sakit jantung, sakitlah seluruh badan. 

No comments:

Post a Comment