Thursday, 16 December 2010

Bertandang ke Raub

Hari ini kami bertujuh memulakan misi 2 dalam 1, iaitu mengunjungi Inap Desa Kg Kuala Medang, Kuala Lipis dan menziarahi kenalan rapat mak dan ayah di Raub.


Perjalanan dimulakan secara rasminya pada jam 8.00 pagi, selepas semua orang selesai bersarapan di restoran Fawwaz, Subang Jaya.

Seperti dijangka, perjalanan ke Kuala Medang (melalui PLUS - DUKE - Bentong/Karak Expressway) mengambil masa kira-kira 3 jam, di mana kami selamat tiba di sana sekitar jam 11 pagi.

Selama lebih kurang 1 jam di sana (mengambil gambar dan meninjau keadaan kampung), kami berpatah balik ke pekan Raub (dari Raub akan ke Kuala Lumpur).

Perjalanan dari Kuala Medang ke Raub mengambil masa kira-kira 45 minit (berpandukan keadaan trafik) dan kami tiba di rumah Pakcik Shahabudin dan Makcik Fauziah di Raub sekitar jam 1.45 petang.

Pakcik, yang lebih mesra dipanggil 'cikgu' kini telah bersara. Beliau sebelum ini merupakan pengetua di beberapa buah sekolah. 

Makcik Fauziah juga baru-baru ini turut menyertai cikgu sebagai orang bersara.

Alhamdulillah, Mak dan Ayah nampaknya seronok dapat meluangkan masa yang ada (masing-masing ada banyak masa dah sekarang ini sebab turut jadi pesara....hoho), bersembang bukan main.

Yelah, setidak-tidaknya dapat diluangkan juga sedikit masa bagi menziarahi sahabat-sahabat lama, bertanyakan khabar dan berkongsi pelbagai cerita.

Sedar tidak sedar, hampir 3 jam kami di sana. Selain dijamu makan tengahari yang sedap, dan kemudiannya minum petang, kami berkunjung pula ke rumah orang tua cikgu yang terletak hanya selang sebuah rumah dari situ.

Di belakang rumah ibunya, cikgu menunjukkan kolam ternakan ikan, yang kini menjadi sebahagian daripada hobi dan kesukaan baru beliau setelah berpencen.

Menariknya, sumber air untuk kolam ikan ini diambil terus daripada air bukit, dialirkan ke kolam dan dikeluarkan terus ke longkang (air sentiasa mengalir).

Kata orang, jika ada tanah, banyak benda boleh diusahakan. Bidang pertanian sekarang ini jika ditekuni, memang terbukti boleh menjana pendapatan yang lumayan.

Akhirnya, kami meminta diri untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 5.05 petang dan telah selamat tiba sekitar jam 7.15 malam.

Beberapa foto yang sempat dirakam menggunakan telefon bimbit untuk tatapan semua.

 Sembang petang sambil menikmati tapai pulut dan betik

 Sembang pasal pencuri, melancong ke Jordan, etc.

 Budak kecik sorang ni pulak asyik berlari ke sana sini

 Lawatan ke kolam ternakan ikan

 Adik sedang menguji kekuatan platform yang disediakan

 Ikan tilapia dan patin

 Buat masa ini 2 kolam sudah dibina dan beroperasi, akan datang mungkin ditambah sebuah lagi

 Cikgu turut menyediakan bangku panjang untuk duduk-duduk di sekitar kolamnya

 Macam pakarlah baling makanan ikan

 Mak sedang memerhati anak-anak ikan di kolam atas

 Menunggu waktu makan...

 Tiba waktu makan petang

 Berkerumun, inilah penghibur setiap petang bagi pasangan pesara ini

 Cikgu beri makan ikan yang sudah besar di kolam bawah


Terima kasih daun keladi, ada umur berjumpa lagi!

No comments:

Post a Comment