Wednesday, 10 November 2010

Antara gecko dan walit

Berita Harian hari ini telah menyelitkan berita berkenaan 'penangan cicak Gecko', terutama di kalangan pemburu dan pengumpul spesis cicak ini di wilayah Pantai Timur (sumber).

Tawaran harga yang mengarut tingginya seperti yang dilaporkan boleh mencecah sehingga RM35k untuk seekor cicak yang seberat 320gram!


Justeru, ganjaran wang segera yang lumayan ini telah menaikkan minat terutama di kalangan warga desa di Kelatan dan Terengganu untuk menyelongkar kawasan-kawasan belukar, semak, hutan, kaki bukit dan gunung-ganang bagi memburu cicak-cicak yang berkeliaran.

Barangkali juga, ibubapa sudah boleh menarik nafas lega kerana anak-anak mereka sekarang ini begitu rajin 'mengerjakan' kawasan semak di sekitar rumah, hingga menjadi terang-benderang mencari gecko.

Selepas ini, bolehlah pula saya suruh Ayoh buat cerita yang dia terserempak dengan 10 ekor gecko sebesar penumbuk di kebun dukunya dekat masjid.

Lepas tu semua orang akan meredah semak-samun di kebunnya, dan teranglah segala semak-samun yang ada. Jimat duit tak payah upah orang tebas!

Prospek dan khasiat perubatan tradisional yang dimiliki hempedu cicak ini dikatakan tinggi dan mendapat permintaan tinggi di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

Walaupun spesis cicak ini dikatakan berada di luar kawalan Mergastua/Perhilitan, dan tidak dianggap sebagai spesis terancam, adalah tidak mustahil kegiatan pemburuan cicak gecko secara berterusan boleh menggugat kelangsungan spesis ini pada masa hadapan.

Tidak seperti tumbuhan yang 'patah akan tumbuh', haiwan yang telah pupus pula 'hilang tidak berganti'.

Hal ini sama seperti yang saya alami sewaktu menjalankan kajian di petempatan Orang Asli (lihat Wiki) pos Legap dan Kuala Mu, Kuala Kangsar beberapa tahun dahulu di mana disebabkan permintaan tinggi para pengusaha sayur di Cameron Highland, menyebabkan habis licin sumber buluh kasap (runcing) di kawasan mereka.

Akhirnya, untuk keuntungan yang tidak sampai setahun itu, kampung-kampung mereka pula diancam hakisan sungai kerana tiada lagi pokok-pokok buluh yang selama ini menjaga tebingnya.

Berbalik kepada kisah gecko. Sekalipun spesis cicak ini, sebelum ini, tidaklah begitu signifikan fungsinya di dalam mempengaruhi kehidupan kita, ternyata hari ini ia boleh menambah pula pendapatan dan ekonomi warga desa.

Begitupun, kegiatan mencari dan menjual cicak ini adalah bersifat 'one-off' iaitu sekali ambil, terus hilang selama-lamanya.

Mengapa warga desa tidak melihat kepada potensi lain yang tidak bersifat 'one-off', terutama bidang yang rancak berkembang kini iaitu industri burung walit (layang-layang).

Sarang burung ini semakin hari semakin mendapat permintaan yang tinggi di pasaran. Sarangnya kita ambil dan jual, tetapi burungnya tidak pula kita bunuh. Justeru, hasilnya (pengeluarannya) adalah secara jangka panjang dan untungnya juga adalah secara jangka panjang.

Menurut webblog ini (KLIK),  seseorang yang memiliki rumah burung walit, bolehlah dianggap memiliki 'bank persendirian'.

Sedang harganya pula masih berlegar dalam lingkungan RM 3000 hingga RM 6000 per kilogram.

Bangunan yang menjadi rumah burung walit pula tidak usahkan dibina bertingkat-tingkat seperti rumah 'tok wakil' yang kaya-raya itu, malah seperti foto di bawahpun sudah mencukupi. 



Cuma, lokasinya sahaja perlu sesuai agar bangunan yang dibina tidak terlalu dekat hingga mengganggu ketenteraman penduduk seperti yang terjadi di sebelah stesen minyak di Kg. Pela.

Jangan sampai insiden yang berlaku di Marang dan Kuala Terengganu berulang di tempat kita di mana akibat penduduk sekitar marah dengan bunyi bising, bangunan burung walit tersebut telah dibakar, dan punca air minuman yang disalur turut diracun.

Bagi masyarakat desa, memulakan industri burung walit secara persendirian memang sukar, disebabkan 2 faktor: 1) modal dan 2) kemahiran - termasuklah ilmu dan pengalaman berkaitan penjagaan burung ini.

Begitupun, adalah tidak mustahil untuk jawatankuasa kampung membuat kertas cadangan projek, yang kemudiannya diajukan kepada ADUN untuk sokongan dan jabatan kerajaan yang berkaitan untuk bantuan modal dan khidmat nasihat serta latihan.

Pengalaman saya dengan Hj Razaki di Kg. Kuala Medang dan Tn Syed di Kg Telok Ketapang (Homestay Programmes and Rural IKS) membuktikan tiada apa yang mustahil (syarat kena sepakat, kena rajin cari peluang dan pasaran) untuk warga desa mengupayakan diri dan komuniti (empowerment), memajukan desa mereka agar menjadi lebih maju, menarik dan menguntungkan.

No comments:

Post a Comment