Wednesday, 29 September 2010

Wang Ihsan: Orang Melayu makin sedar?

Sumber: berita harian online

Biar rugi, asal hati senang

Setakat yang saya tahu, inilah julung kalinya orang Melayu yang menerima wang ihsan, buat majlis khas dan secara beramai-ramai memulangkan wang bantuan yang diterima.

Mengapa saya berkata demikian?

Pemerhatian terhadap situasi yang berlaku semasa Terengganu ditadbir PAS selepas PRU ke-11 menunjukkan pola songsang (terbalik), bilamana ketika itu bayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri di bawah PAS (juga orang Melayu/Islam) telah ditukar kepada 'wang ihsan' oleh pihak Pusat, yang pengurusannya pula diserahkan terus kepada JKKP.

Waktu itu, 'borang yang cari orang', dan bukannya orang yang bersusah payah memohon borang untuk mendapatkan wang ihsan. 

Waktu itu, tidak kedengaran pula mana-mana pihak yang buat majlis untuk memulangkan wang ihsan yang boleh dikatakan juga sebagai 'hasil yang dicurigai', bilamana kerajaan negeri yang dipilih rakyat telah dinafikan hak menguruskan wang terbabit untuk pembangunan negeri dan rakyat.

(nota: selepas PAS tewas di Terengganu pada PRU-12, bayaran royalti dikembalikan kepada kerajaan negeri)

Senario terbaru yang berlaku di Pulau Mutiara ini pada saya amatlah positif.

Mengapa? Kerana melalui tindakan sebegini, mesej yang cuba mereka sampaikan adalah jelas, iaitu setiap orang Melayu wajar menolak mana-mana wang bantuan, wang ihsan dari sumber yang diragui (senang kata - tidak halal).

Dalam konteks yang lebih umum, tidak salah untuk menjustifikasikan bahawa wang dan hasil tidak halal tidak hanya terbatas kepada wang judi, pajak gadai, pusat hiburan, cukai rokok dan minuman keras.

MALAH hasil yang dijana melalui penindasan, merampas hak, amalan rasuah, 'ali baba' dan ketirisan di dalam menguruskan kewangan juga termasuk di dalam kategori yang sama.

Sekalipun dinafikan oleh Guan Eng bahawa wang sumbangan kegiatan judi lumba kuda untuk kegunaan majlis penghargaan warga emas (wang tersebut hanya digunakan untuk program pembasmian kemiskinan - yang sebenarnya ramai orang jadi miskin disebabkan berjudi lumba kuda).

Alhamdulillah, hati dan sanubari orang-orang Melayu nampaknya kian terbuka untuk  insaf dan sedar, dan tidak lagi mahu bersekongkol dengan mereka-mereka yang cuba memperalatkan wang yang sumbernya 'dicurigai' ini.

Begitupun, saya merasakan pada peringkat awal ini adalah tidak adil untuk masyarakat terbanyak terus menuding jari, menyalahkan kerajaan negeri di atas isu ini.

Penjelasan terperinci pastinya menyusul tidak lama lagi dan sekiranya apa yang didakwa itu benar, adalah menjadi tanggungjawab orang Melayu/Islam untuk bertindak demi 'membersihkan' darah-daging kita daripada memakan sumber yang haram, diragui kerana di dalam Islam 'yang haram itu jelas dan yang halal itu juga jelas'.

Namun, Islam juga turut menyeru kita supaya berlaku adil dan tidak zalim. 

Harapan saya jangan pula ada orang Melayu, khususnya di Pulau Pinang selepas ini yang hanya 'buka sebelah mata, dan tutup sebelah lagi' di dalam perkara berkaitan wang ihsan ini.

Kerana tiada jaminan hanya tangan orang Melayu sahaja mampu menghulurkan wang ihsan yang 'tidak dicurigai'!

Sekian.

(nota: bacaan tambahan yang berguna - hukum menerima bantuan dari WANG HARAM)

No comments:

Post a Comment