Friday, 24 September 2010

Beramal berkebajikan

Syarah oleh Maulana Munir, Imam Oxford Central Mosque hari ini begitu menarik. Di sebalik apa yang beliau kupas itu terselit pengajaran yang berguna untuk kita teladani.

Makanya, sebelum apa yang telinga saya dengar ini pantas dilupa, elok dicoretkan di sini sebagai perkongsian ilmu yang bermanfaat bersama para pembaca.

Kisah 3 sahabat di dalam gua
Dikisahkan ada 3 orang sahabat sedang dalam perjalanan merentasi satu padang pasir.

Di tengah-tengah perjalanan, muncul angin ribut pasir yang kuat, sehingga memaksa ketiga-tiga mereka bergegas mencari tempat berlindung.

Dengan susah payah akhirnya ternampak akan mereka satu ruang seakan-akan gua di balik bukit berbatu.

Bergegas mereka dan mendapati pintu masuk yang kecil, tetapi pada bahagian dalamnya luas dan selesa. Masuk dan berlindunglah mereka di dalamnya.

Sebalik ketiga-tiga mereka berada di ruang yang luas, tiba-tiba sebuah batu besar runtuh dan langsung menutup pintu gua yang sempit itu.

Bergelap mereka di dalam gua. Dengan kudrat yang ada, cuba ditolak bongkah batu itu dengan harapan akan terbukalah pintu gua, namun hampa. Terlalu berat batu itu.

Berkumpullah mereka dalam gelap, menggandaikan nyawa mereka akan berakhir di dalamnya.

Kata salah seorang sahabat itu, eloklah kita bermunajat dan berdoa kepada Allah, jikalau ditakdirkan kita mati di sini, moga Allah terima amal kebajikan yang telah kita lakukan.

Berdoalah mereka seorang demi seorang. Yang pertama berdoa; 

Ya Allah, aku sehari-hari bekerja memerah susu kambing. Setiap hari akan ku bawa pulang susu untuk diberi minum kepada 1) kedua ibubapa, 2) anak-isteri, 3) ahli keluarga yang lain.

Satu malam aku pulang lewat dan aku dapati kedua ibubapaku telah tidur. Maka aku terus berjaga sepanjang malam menunggu kalau-kalau ibubapaku terjaga untuk aku beri mereka minum. Sedangkan waktu itu anak-anakku juga menangis inginkan susu yang ku bawa.

Pagi esoknya kedua ibubapaku terjaga dan melihat aku masih disamping mereka dengan susu itu. Mereka bertanya dan aku menjawab: Aku jadi patuh, kerana itu perintah Allah untuk aku patuh kepada kedua orang tua.

Maka, di atas kepatuhan itu, terimalah amal kebajikan aku itu, Ya Allah.

Dengan tidak semena-mena, batu yang mehalang pintu gua tersebut berganjak sedikit, membenarkan pancaran cahaya menembusi kegelapan gua tersebut.

Kemudian, sahabat kedua berdoa. "Aku telah diuji dengan kemiskinan, Ya Allah". Di tempat tinggalku ramai orang yang hidup tiada makanan dan mereka terpaksa melakukan apa sahaja demi mendapatkan makanan.

Waktu itu aku berduit, tetapi jiran wanita berhampiran rumahku tiada makanan. Dia datang merayu kepadaku dengan menawarkan 'hubungan berdosa' sebagai ganti untuk wang.

Pinta beliau begitu sukar untuk aku tolak, dan apabila tiba masanya untuk aku buat hubungan dosa itu, wanita tersebut berkata kepadaku 'Takutlah kamu akan Allah', lantas aku terus meninggalkannya.

Di atas perbuatanku yang meninggalkan dosa kerana takutkanMu Ya Allah, maka terimalah amal kebaikanku itu.

Sekali lagi batu yang menghalang pintu gua berganjak dengan ruang yang lebih luas. Namun tidak cukup untuk mereka keluar.

Kemudian, sahabat yang akhir berdoa.

"Ya Allah, aku telah menggaji seorang pekerja. Setelah bekerja denganku 1 hari beliau telah pergi tanpa mengambil bayaran upahnya".

Susahnya hatiku menunggu bilakah si polan itu akan kembali menuntut wang gajinya. Amanah (wang orang) ini terlalu sukar untuk aku jaga.

Waktu berlalu dan bekas pekerjaku masih belumjuga datang menuntut wang gajinya.

Disebabkan takut termakan wang yang bukan milikku, aku belikan seekor kambing, imbalan dengan kadar gajinya.

Masa terus berlalu, dari seekor, menjadi 2, menjadi 4 hinggalah terpaksa aku pindahkan ia ke hutan setelah jumlahnya beratus-ratus ekor.

Suatu hari, si polan itu muncul di depanku. Wahai tuan, ingatkah tuan kepada saya yang telah bekerja tanpa mengambil upah? Jawabku "Ya". 

Tuan, hari ini saya kembali kerana perlukan bantuan. Saya ingin menuntut wang upah yang sepatutnya menjadi milik saya.

Lalu aku membawanya ke hutan. "Inilah upah saudara, kesemua kambing yang beratus ekor ini".

Makanya Ya Allah, di atas kesungguhan aku menjaga amanah (wang upah) suadaraku itu, terimalah amal kebaikanku ini.

Akhirnya batu besar yang menutupi pintu gua tertolak dan ketiga-tiga sahabat tersebut dapat keluar dengan selamatnya.

Pengajaran

Menurut tuan Imam, menerusi kisah ini, ada 3 pengajaran penting iaitu:

1) patuh dan hormat kedua ibubapa
Tuan Imam cuba bandingkan layanan kita (anak) hari ini terhadap kedua ibubapa kita. Bagaimana kita bercakap dan 'menjawab' kepada mereka. Adakah dengan penuh hormat atau kasar?

Adakah Allah akan berkati dan terima amal kebajikan kita jikalau tidak patuh kepada ibubapa?

2) Menghindar diri daripada maksiat
Tuan Imam cuba bandingkan dengan keadaan kita hari ini. Apakah kita dapat lindungi diri daripada menghampiri maksiat di sebalik kesulitan hidup yang kita hadapi?

Apakah Allah akan menerima amal kebajikan dengan dosa-dosa dan maksiat yang kita lakukan?

3) Jaga amanah (wang orang terutamanya)
Jika tidak amanah, boleh sahaja si majikan buat-buat lupa akan bayaran untuk si polan itu. Atau hanya membayar upah yang dihutangnya.

Tetapi tidak. Setelah kambing yang dijaga beliau membiak hingga beratus ekorpun, sebenarnya merupakan wang amanah si pekerjanya.

Apakah kita boleh mengekalkan sifat amanah terhadap wang orang yang kita pegang/jaga?

Apakah Allah akan terima amal kebajikan kita jika gagal memegang amanah orang?

----------------

Moga beroleh manfaat.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment